23 Ramadan – Dan Mama Kamu Nak Diet

Hari Bapa

Harini merupakan Hari Bapa. Walaupun ABAH sendiri tak ingat Hari Bapa sebab sibuk dengan urusan kehidupan, mujur ada kawan-kawan di Facebook yang ingatkan harini adalah Hari Bapa.

Hari ini bermula awal, sekitar jam 4:30 pagi. Taqi bangun dulu dan biasalah, bercakap-cakap lalu mengejutkan Amir dan Amirah. Jadi, menjelang jam 4:45 pagi, tiga beradik ni dah pun bangun. Mama dah bangun lebih awal untuk mengepam susu. Oleh sebab malam semalam ketiga-tiga beradik pakai baju tidur sedondon, tapi tak sempat nak ambil gambar sebab abang Taqi dah terlalu ngantuk, maka, mata mama bercahaya anak-anak bangun awal untuk ambil gambar sedondon.

Peneman ABAH Sahur

ABAH yang masih mengantuk pun bangunlah juga untuk bersahur. Harini hari ke-23 Ramadan. Sekejap sangat rasanya sebab seminggu pun dihabiskan di hospital Gleneagles sebab Amir dan Amirah diwadkan. ABAH ke dapur panaskan ayam masak merah yang Mama sudah masak dan makan dengan nasi panas.

Elok je ABAH habis sahur dan ABAH Mama selesai solat Subuh, Amir dan Amirah pun tidur semula diikuti abang Taqi. ABAH dan Mama pun turut tidur bila dah tengok anak-anak tidur. Mama janji pada Taqi untuk bawa Taqi dan adik-adik berjalan di Tingkat 5 kondominium kami. Sebelum Taqi tidur semula, Taqi kelihatan gembira.

7:15 AM. Taqi bangun. Taqi selak langsir bilik dan dilihatnya sudah terang. Lalu dia melompat dan mengejutkan Mama.

“Mama, dah ada “sun”. Jom main kat “five”

Mama masih mengantuk.

“Nantilah Taqi, mama ngantuk lagi.”

Dan suara Taqi pantas mengejutkan adik-adiknya. ABAH bangun sebab nak melayan anak-anak yang dah bangun serta memberi peluang kepada Mama untuk berehat.

Jam 8:00 AM. Mama nampaknya dah agak cukup berehat dan mula bangun dari tidur. Anak-anak sudah segar. Taqi berulang kali ajak ABAH dan Mama ke ‘five’. Mama kata tunggu sekejap, Mama perlu pam susu untuk adik.

Proses pam susu biasanya mengambil lebih kuran 30 minit. Menjelang jam 9 pagi, Mama selesai mengepam. ABAH dan Mama carry adik dan Taqi pun duduk di dalam strollernya dengan gembira.

Mama sebenarnya sedih kerana rasa dirinya sudah semakin gemuk dan berisi. Dia mengajak ABAH dan anak-anak ke ‘five’ untuk menemannya ‘brisk walk’ sambil menolak stroller Taqi. ABAH macam biasa, duduk di tempat yang teduh menguruskan bil TNB serta menghubungi en Aziz ejen pembantu rumah kami.

Mama mendukung Amir sambil menolak Taqi dalam stroller

Hampir 40 minit dengan rutin tersebut, Taqi ajak untuk bermain di taman. Walaupun pada asalnya ABAH dan Mama keberatan, namun, sebab Taqi dah terlalu gembira, kami OKkan sahaja.

Dah lama rasanya kami tidak bawa Taqi ke taman di tingkat 5 ni. Walaupun permainannya ringkas sahaja, tamannya pun tidaklah besar mana, tapi cukup untuk menggembirakan seorang kanak-kanak 4 tahun. Taqi bermula dengan bermain buaian di mana ABAH yang menolaknya, kemudian berlari-lari menaiki gelongsor serta jongkang-jongket.

ABAH seronok bila Taqi pun nampak seronok. Balik sahaja, adik-adik dan Taqi dimandikan, dan Amir Amirah terus tidur keletihan. Taqi pula, masih bertenaga dan tiada tanda untuk tidur…

Menjelang tengahari, ABAH menyuapkan Amir, Amirah dan Taqi dengan pes epal dan pear yang Mama sediakan. Taqi pun sibuk bermain dan menyepahkan ruang tamu rumah yang Mama baru kemas.

Mama, dalam usaha untuk diet, begitu tegas mengira jumlah kalori yang telah diambil harini. Baru makan sebiji telur sudah diisi dengan kalorinya.

Ke Rumah Atok

3 PM. ABAH, Mama, Taqi, Amir dan Amirah bergerak ke rumah atok di Taman Kosas. Sesampainya di luar rumah atok, Taqi taknak keluar daripada kereta. Taqi takut ditinggalkan di rumah atok, sebab minggu lepas beberapa kali ABAH dan Mama tinggalkan Taqi di rumah atok sebab nak uruskan adik-adik di hospital. ABAH dan Mama meyakinkan Taqi yang kali ini, ABAH dan Mama tidak akan tinggalkan Taqi. Taqi perlahan-lahan turun daripada kereta.

Di halaman rumah, sebuah kereta BR-V putih kelihatan. Siapa pula yang datang ni?

Rupanya Anis adik kepada Abang Azrin yang datang ziarah bersama anak kecilnya. Hannah seronok jumpa Taqi. Hingar bingar rumah atok dipenuhi suara jerit tawa kanak-kanak ini. Taqi kelihatan masih sukar untuk berkongsi barangnya dengan orang lain. Bukan salah Taqi sebab biasanya kalau Taqi memberi barangnya, budak-budak lain tidak mahu memulangkan kembali. ABAH tahu Taqi hanya ingin menegakkan hak Taqi.

Abah dan Emak seronok jumpa cucu-cucunya. Along pun turut ada. Masing-masing berlumba-lumba nak dukung Amir dan Amirah. Mungkin keadaan rumah yang agak bising ditambah dengan Amir Amirah yang mengantuk membuatkan mereka menangis didukung oleh orang lain. ABAH mengambil Amir dan carry Amir, lalu Amir tertidur nyenyak.

Menjelang 4:30 PM, ABAH dan Mama minta diri dari rumah atok. Atok membekalkan ABAH dengan santan serawa durian yang abah gemari beserta sup ikan merah yang nampak menyelerakan. Maklumlah, sedang berpuasa, semua nampak menyelerakan. Along dan Emak juga membekalkan dengan biskut-biskut raya untuk kami bawa balik ke Kelantan.

ABAH dan Mama sempat singgah di Giant Pandan Indah untuk beli botol susu Anakku yang tidak bocor dan agak berkualiti. Dan Mama tidak mampu menahan untuk membeli beberapa pastri di depan Giant tersebut.

Jam 6 PM, Mama mandikan Amir dan Amirah dan ABAH memakaikan baju tidur. Harini sedondon lagi.

Amirah Tersenyum Girang

Taqi pula, menjelang 6:45 PM, masih tidak mahu mandi. ABAH terpaksa dengan berat hati mengangkat Taqi masuk ke bilik air untuk mandi. Taqi menangis kuat.

“Taqi nak mandi Mama”

Taqi jerit sekuat hati.

Setelah mandikan Taqi secara paksa, Taqi menangis keluar daripada bilik air terus ke ruang tamu untuk mencari Mama. Mama sedang sibuk menggosok baju-baju kerja ABAH. Sebagai tindakan ‘rebel’ kepada apa yang ABAH lakukan, Taqi nak juga untuk mandi sekali lagi dengan Mama. Mama hanya mengikut kerenah anak sulungnya ini.

Jam 7:25 malam, Taqi tidur diikuti Amir dan Amirah. Abah berbuka lewat sedikit selepas tukar giliran di bilik tidur dengan Mama yang dah nak mula memasak untuk esok harinya.

Esok Taqi akan ke sekolah dengan atok. Taqi tidur lena ye.