Trip Sekeluarga ke Muar: Makan Tengahari di Tanjung Emas

Setelah kita bertemu Aunty Sal di Senawang, perjalanan kita diteruskan terus ke Muar Johor. Dari Senawang, perjalanan dijangka dalam 2 jam. Nak keluar dari Senawang tu pun dah makan masa hampir 20 minit, sebab terlalu banyak simpang dan lampu isyarat kita kena tempuh.

Ke Muar

Dari Senawang, kita melalui PLUS merentasi Tampin, dan sekitar sini jugalah Taqi tertidur. Amir dan Amirah juga tertidur lebih awal, diikuti dengan Mama. Tinggallah ABAH memandu berseorangan di atas lebuhraya tersebut. Tapi ABAH dah biasa. Nak buka radio, takut bising Mama, Taqi, Amir dan Amirah terbangun pula. ABAH memandulah ditemani bunyi derauan enjin kereta Persona kita.

Ayer Keroh telah dilewati dan akhirnya, sampai juga di susur keluar ke Tangkak. Dari plaza tol Tangkak, ada lebih kurang 35km lagi sebelum ke bandar Muar. Sampai ke Sg Mati, jalan agak sesak di simpang biasa tersebut. Memang dari dulu lagi ABAH ingat sejak ABAH kecil memang tempat ni sesak sikit sebab jalan bersimpang siur.

Rasanya bila dah nak sampai Kesang Laut, Taqi terbangun. Kereta bergerak perlahan waktu tu sebab kita dah mula mendekati kawasan bandar. Mama pun sudah terjaga dari tidur. ABAH mencadangkan kepada Mama untuk kita makan tengahari di Tanjung Emas dulu, kemudian baru check-in ke Muar Traders Hotel. ABAH call Muar Traders Hotel maklumkan yang kita akan check-in lewat sikit.

ABAH berasa lega apabila akhirnya kita tiba di jambatan Sultan Ismail yang menyambungkan dua belah tanjung yang dipisahkan oleh sebuah muara. Di kawasan muara inilah pelbagai aktiviti ekonomi dan pelancongan Muar dijalankan. Di sekitar itulah juga terletaknya Tanjung Emas. Untuk ke Tanjung Emas, kita perlu melalui kawasan bandar Muar sebelum ke pinggiran bandar. ABAH sempat tunjukkan hotel Muarar99 yang atok pernah duduk dan tempat makan sate yang terkenal tu. Cumanya, kita sampai dalam pukul 1:25 PM, kelihatan sate dah tidak dijual. Sate di Muar dimakan pada waktu sarapan.

Medan Selera Tanjung Emas

Kita tiba di Medan Selera Tanjung Emas sekitar jam 1:30PM. Cumanya, lepas ABAH parking, Mama kamu nak bergegas untuk qadha hajat di tandas awam berhampiran. Rupanya harga tandas itu dah jadi RM0.30 sekali masuk, dulu rasanya RM0.20 je sekali masuk. Kurang 10 minit, mama kembali ke kereta untuk ambil Amirah. ABAH carry Amir dan lepaskan Taqi. Kita berjalan bersama-sama ke medan selera.

Taqi dah besar, Taqi duduk di kerusi biasa sahaja. Amirah duduk di kerusi baby dan Amir abah carry sahaja sambil makan.

Mama makan mihun bandung dan mihun sup dan ABAH makan mi bandung beserta rojak petis. Kita makan di gerai kedua dari kiri, ini gerai biasa yang ABAH makan sejak kecil lagi. Alhamdulillah, rasa rojak petisnya masih maintain dari dahulu. Makcik pemilik gerai pun masih ada dan kelihatan sihat dan ceria.

Alhamdulillah, rasa mi bandungnya pun masih maintain sedap. Mama kamu, sampainya mihun bandungnya telah kata sedap dah. Bau sahaja sudah cukup kuat bau udang keringnya. Taqi makan mi di atas piring asing, sebab taknak kuah. Taqi pun makan banyak. Abah minum teh ais dan Taqi minum air jus oren yang manis.

Di kaunter jualan makanan tersebut juga banyak barang mainan kanak-kanak digantung di situ. Taqi dari awal lagi asyik pandang ke sana. Lalu Taqi pun minta dengan ABAH nak mainan. ABAH kata Taqi kan dah banyak mainan. Akhirnya ABAH akur dan membenarkan Taqi memilih satu sahaja mainan. Taqi memilih sepasang teropong mainan berwarna biru berharga RM8.

Selepas makan, seperti yang ABAH janjikan, ABAH benarkan Taqi main kejap di padang bersebelahan. Mujur ada pokok besar di situ, keadaan agak redup dan sejuk, ditambah angin kuat yang bertiup dari arah muara sungai Muar. Taqi nampak taman permainan dalam 200 meter dari situ dan ajak ABAH ke sana untuk bermain. Tapi ABAH berkata cuaca masih panas, petang nanti kita datang lagi untuk bermain. Itulah janji ABAH kepada Taqi. Taqi faham dan tidak lagi meminta. Bagus sangat anak ABAH.

Taqi terus menggunakan teropong barunya untuk melihat ke sana sini.

“Ah, burung, ah daun” semua benda yang Taqi lihat akan Taqi sebut. ABAH dan Mama tersenyum.

Mama dan Amirah
Cuaca redup dipayungi pokok besar
Mama berkata “comellnya” sambil tengok Taqi

Di padang yang sama itu juga, ada satu replika kereta api yang tertulis “M.S.R.”. Walaupun ABAH tak tahu apa maksud M.S.R. itu, ABAH ambil dulu gambar kenangan Taqi.

(M.S.R. adalah Muar State Railway, satu syarikat kereta api yang beroperasi selama 39 tahun bermula tahun 1890. Syarikat ini berperanan menghubungkan kawasan strategik sekitar Muar yang membantu perkembangan ekonomi Muar.)

Selepas hampir 15 minit di situ, Taqi pun nampak dah puas membuang tenaga, kita masuk ke kereta dan nak check-in di Muar Traders Hotel