Trip Sekeluarga ke Muar: Review Muar Traders Hotel

Selepas makan di Tanjung Emas, kita terus bergerak ke Muar Traders Hotel yang tidaklah jauh daripada Tanjung Emas itu sendiri, dalam 1 km sahaja.

ABAH tahu mengenai Muar Traders Hotel ni sudah lama, sejak kecil lagi. Mana tidak, setiap kali ABAH balik kampung dengan Atok dan Atok Mak dulu, mesti melalui hadapan hotel ini. Lokasinya agak strategik, terletak betul-betul di laluan masuk ke pusat bandar, jadi, memang boleh berjalan kaki ke bandar, dalam masa yang sama, trafik masih belum cukup sesak di kawasan ini.

Kelebihan Muar Traders Hotel

Kenapa ABAH memilih untuk menetap di sini? Berikut adalah kelebihan Muar Traders Hotel ini yang mendorong ABAH mengambil keputusan ini:-

  1. Lokasi yang strategik – boleh berjalan kaki untuk bersarapan sate yang terletak di blok bertentangan
  2. Tempat letak kereta yang mencukupi di perkarangan hotel
  3. Harga berpatutan untuk hotel 3 bintang
  4. Mempunyai premis restoran Domino’s dan Secret Recipe di tingkat bawah hotel. Kalaulah Taqi, Amir atau Amirah mengamuk teruk, kita terus balik hotel sambil ABAH beli makanan di bawah hotel sahaja.

ABAH menempah hotel ini hanya dengan membuat panggilan telefon. Kita book bilik Deluxe King – Katil King sebab nak muat semua anak-anak ABAH atas katil.

Muar Traders Hotel

Alamat: No. 16, Pusat Perdagangan Muar, Jalan Peteri, 84000, Muar, Johor, Jalan Peteri, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor, Malaysia
No telefon: +60 6-953 8100

Review Muar Traders Hotel

Waktu kita sampai, banyak parking kosong betul-betul di hadapan hotel. Seorang pegawai hotel mendekati dan offer untuk bawakan beg-beg kita yang banyak itu. Reception berada di tingkat 6 hotel. Sedikit kelainan berbanding hotel lain.

Dari luar, kelihatan bangunan berwarna kuning ni sedikit usang dan tidak begitu moden. Apatah lagi, ABAH dari kecil lagi dah tahu kewujudan hotel ini. ABAH tidak mempunyai expectation yang tinggi terhadap hotel ini. Tapi, melangkah masuk ke reception di tingkat 6, persepsi ABAH sedikit berubah. Hiasannya agak moden dan baru. Mungkin hotel ini baru menjalani proses upgrading.

Kita diberikan bilik bernombor 1012. Tingkat 10, bilik nombor 12. Kad kunci (keycard) hotel ini pun unik, ada cip, so, waktu nak buka pintu hotel pun perlu masukkan kad dengan posisi yang betul baru boleh berfungsi.

Masuk je ke dalam bilik, sekali lagi persepsi ABAH terhadap hotel ini bertukar. Biliknya moden, hiasan dindingnya menenangkan, duvet dan bantalnya bersih dan empuk, karpet berwarna silver pun agak selesa dipijak. Biliknya pun agak besar berbanding hotel lain yang kita pernah duduk. Bilik airnya tiada bath tub, hanya shower, tetapi showernya di siling bilik air dan air panasnya pun berfungsi baik. Toiletries yang disediakan seperti biasa, sabun, shower gel, shaver dan set berus gigi beserta ubat gigi. Selesa, cumanya pintu bilik airnya pun unik, macam pintu almari.

Taqi sangat seronok masuk ke tempat baru. Bilik hotel yang luas pula membolehkan Taqi melompat-lompat dan berlari-lari dengan seronok. Disebabkan karpet hotel nampak bersih dan agak tebal, ABAH rasa selamat untuk letakkan Amir dan Amirah di lantai bilik. Beri Amir dan Amirah seronok nak cuba merangkak atas permukaan yang agak rata dan keras.

Namun ABAH Mama tidak boleh berehat lama. Seluar Taqi dah basah sebab duduk terlalu lama dalam kereta sampai lampin bocor. Amir Amirah lapar susu dan buang air besar juga. Kemudian, Amir dan Amirah sudah mula menangis keletihan untuk tidur. Taqi dah segar sebab tidur sejam setengah dalam kereta tadi. ABAH dan Mama peluk Amir dan Amirah, sekejap saja tertidur dah. Dapatlah Amir dan Amirah tidur 40 minit sebelum terjaga. Kalau Abang Taqi tidak tidur, memang Amir dan Amirah susah nak tidur lama.

ABAH dan Mama pun selesai bersolat Jamak Qasar Zuhur dan Asar. Kita bersiap-siap nak berjalan petang setelah berehat sekejap. Destinasi seterusnya, kafe 434 Muar!