Jangan Memandu di Lebuh Raya dengan Suhu Aircond Paling Sejuk

ABAH menghadapi situasi ini ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur pulang daripada Trip Sekeluarga ke Muar.

Semuanya normal ketika kita sekeluarga menaiki kereta Proton Persona 1.6(A) keluar dari Muar menghala ke Tangkak. Masuk sahaja ke lebuh raya, ABAH pun memandu secara normal dalam lingkungan kelajuan 120km/j sehingga 140km/j. Trafik pula agak lancar tanpa perlu bergerak perlahan sekali pun. Taqi, Amir, Amirah dan Mama pun dapat tidur aman dengan suasana yang nyaman.

Namun segalanya berubah sekitar jam 11:40 pagi. Kita pada waktu tu di Seremban. Hanya Mama yang dah bangun dari tidur. ABAH perasan suhu dalam kereta semakin panas. ABAH mula berpeluh. Mula-mula, ABAH ingatkan ianya hanya sebab cuaca di luar semakin cerah berbanding mendung sebelumnya. Tapi ini tidak normal apabila keadaan semakin panas. ABAH letakkan tangan di hadapan air cond kereta, terasa angin yang hanya sepoi-sepoi bahasa dan tidak sejuk sangat.

ABAH cuba matikan air cond dan buka semula, tapi tidak berhasil.

Sampai ke Nilai, ABAH akhirnya mengalah dan mengakui bawaha air cond kereta kita sudah rosak. Nampaknya, balik sahaja ke rumah, ABAH perlu untuk ke mekanik kereta untuk membaiki air cond kereta. Lambat lagi lah ABAH boleh berehat!

Kita sampai ke rumah dalam pukul 1:10 petang. Sejurus hantar anak-anak dan barang-barang ke atas dan solat Zuhur, ABAH turun semula dengan Taqi ke kereta untuk memandu ke bengkel berdekatan. ABAH terfikir bengkel di belakang Spectrum Ampang, itu bengkel yang biasa Atok hantar kereta. Waktu nak masuk kereta, ABAH sempat tengok ke depan kereta dan dapati ada agak banyak air mengalir dari bawah kereta. Alamak, ada benda bocor ke? Abah terfikir.

Di Bengkel Kereta

Tapi ABAH pelik sejurus menghidupkan enjin kereta dan menghidupkan air cond. Air cond kuat dan rasa sejuk seperti biasa. Apa cerita ni?

Takpe, ABAH teruskan juga pemanduan ke bengkel berdekatan. Sampai sahaja di bengkel, ABAH parking kereta di depan pintu bengkel dan panggil seorang mekanik. ABAH menyatakan masalah bahawa air cond kereta kita tidak sejuk setelah ABAH memandu di lebuhraya, tapi, bila kita matikan enjin dalam 30 minit, air cond kembali elok.

Lalu, mekanik itu pun minta untuk tengok setting air cond di dalam kereta.

Dia berkata: “You letak suhu aircond you paling rendah (20 darjah celcius). Jangan memandu di lebuh raya dengan suhu air cond paling sejuk, sebab you laju di highway, ruang penyejuk tu akan memang sejuk sebab angin masuk, kalau you letak suhu air cond paling sejuk, ada ais akan jadi pada salur gas tu dan akan block air cond. Kalau you nak drive di highway, letakkan suhu dalam 25 celcius minimum. You punya kereta ini tak rosak.”

ABAH menarik nafas lega. Sekali fikir kembali, malu pun ada sebab nampak sangat noob. Sekali lagi fikir, ABAH bersyukur kerana boleh sahaja mekanik tadi menipu lalu kata itu dan ini rosak dan caj macam-macam kepada kita. Sebaliknya, mekanik tadi berkata tiada masalah pada kereta kita. Sebab itu Atok kamu suka hantar ke sini rasanya.

Ilmu Baru Tentang Kereta

ABAH pun hari ini belajar ilmu baru tentang kereta. Balik ke rumah, ABAH google pasal air cond kenderaan dan secara asasnya, sistem air cond kita adalah seperti berikut:-

jangan memandu di lebuh raya dengan suhu aircond paling sejuk
Imej Kredit Nizam.Ariff

Kompresor akan menghantar gas panas ke kondenser yang terletak di hadapan muncung kenderaan. Kipas yang berada berdekatan kondenser pula akan menyejukkan gas panas ini sebelum dikembalikan untuk menyejukkan udara dalam kereta.

Namun, ketika memandu, udara yang masuk melalui lubang di muncung kereta turut berperanan menyejukkan gas panas yang berada dalam kondenser. Keadaan ini lebih terjadi sewaktu kereta dipandu laju, contohnya di lebuh raya.

Oleh itu, andai kita meletakkan termostat (kawalan suhu) kereta pada suhu yang terlalu rendah ketika memandu laju di lebuh raya, ada kemungkinan gas penyejuk itu menjadi terlalu sejuk (tindak balas tambahan penyejukan oleh angin yang masuk laju), lalu menyebabkan gas membeku lalu menghalang penyaluran efisien gas sejuk dan panas untuk menyejukkan ruangan dalam kereta.

Apa perlu buat andai ini terjadi kepada anda?

Cuba untuk tinggikan suhu air cond, atau berhentikan kenderaan dan matikan enjin dalam 30 minit. Anda akan dapati akan ada air yang akan menitis dari bawah kenderaan. Itu adalah ais yang mencair.

Jadi, pengajaran dan ilmu baru kepada ABAH hari ini, jangan memandu di lebuh raya dengan suhu aircond paling sejuk!

Comments

comments