Trip Sekeluarga ke Muar – Sarapan Sate di Muar

Setelah penat seharian dengan aktiviti semalam, Taqi, Amir dan Amirah tidur nyenyak. ABAH dan Mama pun tidur mati. Pagi ini, misi utama (malah misi utama perjalanan ke Muar ini) adalah untuk mencari sarapan sate di Muar.

Taqi, Amir dan Amirah jangan pelik, kalau di Kuala Lumpur atau kawasan lain, sate dijamu ke arah petang hingga malam, tapi di Muar, sate dijamu pada waktu sarapan. Kalau lambat ke tengahari, memang sate dah tidak dijual, seperti yang kita lihat semalam.

Tempahan hotel kita disertai dengan makan sarapan pagi untuk 2 orang. Oleh sebab dah dapat makanan percuma, ABAH dan Mama pun bawa anak-anak turun ke kafe di tingkat 3 untuk makan. Sepatutnya kafe ni dibuka jam 7 pagi, tapi kita sampai jam 7:10 pagi pun masih tidak berbuka. Ada beberapa orang lagi yang juga sudah menunggu di luar kafe. Dalam 7:20, barulah pintu kafe dibuka. Ini menjadikan review Muar Traders Hotel kita berkurangan.

Sarapan di Hotel

Sarapan yang disediakan boleh tahan, walaupun tidaklah terlalu banyak pilihan seperti hotel-hotel yang pernah kita duduk yang lain. Terdapat dua makanan utama: nasi lemak dan mi goreng. Terdapat juga sosej dan baked beans serta salad dan cereal. Minuman, ada jus oren, kopi dan teh selain air kosong.

Tarikan utama sarapan di Muar Traders Hotel ni bagi ABAH adalah kuih bomnya. Pertama mungkin kerana kuihnya masih panas baru digoreng. Kedua, bila kita gigit kuih itu, terasa rangupnya kulit luarnya dan lembutnya isi dalam. Bila digigit, ternampak inti kelapa berwarna hijau yang tidak terlalu manis. ABAH beri Mama rasa sikit dan Mama turut bersetuju dengan kesedapan kuih bom tersebut.

Taqi khusyuk makan buah tembikai. Untuk Amir dan Amirah, Mama ada sediakan bubur pes buah. Amir dan Amirah biasalah, kalau di tempat ramai orang, susah nak fokus. Makan pun tak banyak asyik nak tengok sekeliling.

Sarapan Sate di Muar

Jam 9 pagi, kita berjalan kaki untuk ke blok hadapan hotel untuk mencari sate. Awalnya ABAH agak risau sebab pagi tadi hujan turun dengan lebat. Jam 8 pagi hujan masih lebat dan tiada tanda nak berhenti. Alhamdulillah menjelang jam 9 pagi, hujan mulai reda dan hanya turun rintik-rintik.

Kita melintasi jalan di hadapan hotel. Jalan itu jalan utama, agak mencabar untuk lintas terutama dengan memimpin Taqi. Namun mungkin masih awal pagi, tiada masalah ebsar sangat.

ABAH dan Mama mencari restoran Haba. Ada banyak restoran yang menjamu sate. Kita berada di hadapan satu kedai yang kelihatan agak ramai orang beratur. Dalam kedai nampak tiada tempat duduk kosong. Tapi, terlihat satu pasangan agak berumur yang telah habis makan, dan mereka pun angkat tangan kepada kami untuk kami mengambil tempat mereka. Terima kasih!

Kami order sate campur-campur (ayam, daging dan perut). Style di sini yang mungkin berbeza dengan di Kuala Lumpur, kita order dulu sate dan hanya akan dicaj berdasarkan jumlah sate yang dimakan pada akhir sesi.

Mama pula order bihun soto. ABAH sakit tekak sikit, jadi ABAH order teh halia. Tak sampai 5 minit, sate yang kita order sampai. Wah, kelihatan sangat juicy dan menyelerakan.

ABAH dan Mama makan sate, lepas satu cucuk, ditambah satu lagi. Sate Muar ni sangat juicy dan lembut, malah sate dagingnya pun mudah sahaja di makan, tidak liat langsung! Taqi pun sangat bagus, makan 3 cucuk sate ayam.

sarapan sate di muar

Alhamdulillah, seronok dapat makan sate. Tercapai matlamat utama ke Muar.

Balik sahaja makan sate, kita kembali ke hotel untuk berkemas-kemas dan terus bertolak balik ke Ampang.

Kemaskini: Selepas setahun, kita kembali sarapan sate di Muar dan masih berpuas hati. (BACA: Perkara Wajib Buat di Muar: Sarapan Sate)