Vaksin Pneumococcal di Ampang

Mengapa

Pertengahan Ramadan tahun ini, Amir dan Amirah dimasukkan ke hospital Gleneagles KL. Amir disahkan bronchiolitis, dan Amirah disahkan pneumonia. Kerana hal ini, kita bermalam di hospital selama 5 hari dalam bulan Ramadan ini. Sejak hari itu, ABAH dan Mama lebih peka dengan penyakit pneumonia dan vaksin pneumococcal ini.

Pneumonia

Pneumonia adalah penyakit jangkitan paru-paru yang diakibatkan oleh bakteria atau virus yang boleh membawa penyakit ini. Secara amnya, orang dewasa yang sihat boleh dirawat dari rumah sahaja dan akan sihat sepenuhnya dalam waktu 2-3 minggu. Namun, pesakit berisiko tinggi seperti bayi, orang tua serta pesakit respiratori mungkin memerlukan jagaan yang lebih rapi di hospital.

Jika lambat atau tidak dirawat dengan baik, pneumonia boleh menjangkiti otak yang dikenali sebagai meningitis. Ini boleh membawa maut!

Kredit imej: Prevnar

Simptom Pneumonia

Pneumonia bermula sepertimana selsema biasa pada awalnya. Ianya diikuti dengan batuk, pedih pada dada dan kesukaran bernafas. Batuk adalah berkahak yang berwarna kuning gelap atau hijau.

Vaksin Pneumococcal

Oleh sebab Amir dan Amirah sudah pernah dijangkiti penyakit ini (atau virus bakteria yang mengakibatkannya), ABAH dan Mama rasa Amir dan Amirah sangat berisiko untuk kembali dijangkiti. Apatah lagi, Taqi sekarang dalam 6 jam di school yang bercampur dengan rakan-rakan, kemungkinan untuk Taqi dijangkiti dan kemudiannya menjangkiti adik-adik adalah lebih besar. ABAH dan Mama berkeputusan adalah menjadi prioriti untuk Amir dan Amirah mengambil vaksin pneumococcal.

Cumanya, menjadi masalah apabila vaksin pneumococcal bukanlah vaksin wajib di dalam jadual imunisasi Malaysia. Bila ABAH survey sekitar hospital dan klinik di Ampang ini, ada 2 masalah:-

  1. Kebanyakan klinik tidak melakukan suntikan vaksin pneumococcal;
  2. Jika ada, harganya yang sangat mahal

 

Vaksin Pneumococcal di Ampang

ABAH ada juga mencari-cari klinik-klinik swasta di sekitar Ampang yang menawarkan suntikan vaksin pneumococcal. Susah juga, kebanyakan klinik tiada khidmat ini kerana kurang permintaan agaknya. ABAH tahu di hospital seperti KPJ Ampang Puteri dan Gleneagles KL pasti ada suntikan ini, namun ABAH mahu elakkan kerana:-

  1. Harganya sekitar RM300-400 (dan tidak dilindungi Guarantee Letter)
  2. Pengalaman di kedua-dua pediatrik hospital ini, ramai pesakit dan masa menunggu akan lebih sejam

Jadi, selepas menelefon agak banyak klinik, akhirnya, sebuah klinik bernama Klinik Fauziah dan Rakan-rakan berkata mereka mempunyai servis vaksinasi pneumococcal dan ada stok. ABAH bertanya harganya, dan harganya adalah RM215 per dos. Alhamdulillah, agak murah. ABAH memberitahu Mama dan rancang untuk terus memvaksin kesemua anak-anak ABAH.

Klinik Fauziah Ampang

Selepas Maghrib, kita terus bersiap untuk ke Klinik Fauziah. Walaupun jaraknya hanya 1km dari kawasan rumah kita, namun, pada malam hari bekerja ini, jalan boleh jadi akan sesak dengan trafik orang balik kerja. Dan ternyata, memang jalan agak sesak. Kita sampai ke klinik Fauziah Ampang sekitar jam 8:30 malam.

Kelihatan dalam klinik sekitar 10 orang sedang menunggu. Menurut petugas di kaunter, ada 6 lagi giliran pesakit sebelum sampai giliran kami. ABAH memberikan ketiga-tiga kad vaksinasi anak-anak ABAH untuk diproses. Klinik Fauziah ini memang agak ramai orang sebab klinik ini ada peralatan scan 4D bayi dalam kandungan. Bahkan, Amir dan Amirah pun dulunya pertama kali discan di sini, dan pada hari bertuah itulah ABAH dan Mama mengetahui bakal menerima kembar! Mujurlah ada baby carrier SSC ergonomik Andrea yang didapati daripada Cozy Baby ini, memudahkan kita menenangkan anak-anak di kala ramai orang ni.

Dalam 45 minit menunggu, tibalah giliran kita masuk ke bilik perundingan nombor 1. Kelihatan doktor bertugas di dalam bilik. Kita bermula dengan menyuntik Amir. Seluar Amir diselak, lalu dengan pantas doktor mencucuk jarum dan menyuntik vaksin kepada Amir. Ada lebih kurang 5 saat Amir senyap terkejut sebelum menangis kuat. ABAH kembali ambil Amir dan masukkan kembali dalam baby carrier. Amir tenang sedikit lalu beransur-ansur kurang menangis.

Giliran seterusnya Amirah dan perkara yang sama berlaku.

Taqi giliran terakhir. ABAH ingatkan Taqi akan tahan, namun, kuat juga Taqi menangis. Doktor memujuk Taqi dengan memberikan gula-gula. Tapi Taqi sekejap je nangis, tak sampai 15 saat dah boleh tersenyum. Kuat anak ABAH ni.

Kos satu dos vaksin pneumococcal di sini adalah RM215. Darablah 3 untuk kira jumlah bayaran ABAH malam ini.

Berkenaan Klinik Fauziah & Rakan-rakan:

Alamat: 15, Persiaran Desa Ampang, Taman Seri Ampang, 68000 Ampang, Selangor, Malaysia

No Tel: +603-4292 7917

Waktu Operasi: 10 pagi – 10 malam

Nota: Klinik hanya menerima bayaran tunai. Kad kredit atau debit tidak diterima.

Alhamdulillah, selesai dos pertama. Insyaallah, bulan hadapan kita datang lagi untuk dos seterusnya. Anak-anak ABAH kena sihat!