Taqi dan Corak Tidur Kanak-kanak

Taqi Berumur 4 Tahun September Ini

Taqi akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-4 September ini. ABAH masih teringat pagi di mana Taqi dilahirkan. Air ketuban Mama pecah sebelum Subuh lagi. Agak mencemaskan sebab kalau ikutkan jadual, Taqi akan lahir 2 minggu lagi. Pagi itu, ABAH membawa Mama ke KPJ Ampang Puteri. Terus Mama dikejarkan masuk ke labour room. Menjelang Maghrib, suara tangisan Taqi kedengaran di dalam labour room itu. ABAH berada di situ melihat Taqi dikeluarkan. Bergenang sikit mata ABAH melihat anak sulung ABAH ini depan mata buat pertama kali.

Sekelip mata rasanya, sudah hampir 4 tahun berlalu. Taqi sudah besar dan mempunyai perangai sendiri. Awal tahun ini, ABAH dan Mama berkeputusan nak hantar Taqi ke playschool Kinderkaizen, memandangkan Mama terpaksa fokus kepada Amir Amirah dan Taqi akan kebosanan duduk di rumah seharian, eloklah Taqi dihantar ke sekolah bermain untuk menghabiskan tenaga Taqi melakukan aktiviti-aktiviti yang membina kognitif.

24 Julai – Taqi Cranky

Hari pertama dalam minggu ini. Taqi bangun pagi agak awal, tapi Taqi mulai menunjukkan tanda-tanda cranky awal pagi lagi sebelum ke sekolah. Apa-apa yang ABAH nak buat Taqi akan tolak dan nak buat perkara lain.

Di sekolah, teacher mengambil gambar Taqi melakukan aktiviti. Hari ini aktiviti luar, mengenal serangga serta aktiviti bayang-bayang. Taqi nampak seronok.

Cumanya ABAH sedikit risau, Taqi aktif bermain di luar sewaktu sekolah, sedangkan pagi tadi pun Taqi sudah sedikit cranky, bagaimana pula nak bertahan sampai malam ini?

Dan telahan ABAH tepat sekali. ABAH balik ke rumah dalam jam 6 petang, Taqi sudah agak cranky. Mendengar laporan Mama juga, memang sepanjang hari asyik menangis dan meragam. ABAH cepat-cepat mandikan Taqi (dan Taqi melawan taknak mandi) dan pakaikan baju tidur. Menjelang maghrib, Taqi sudah tertidur.

Corak Tidur Kanak-kanak

Menurut National Sleep Foundation, sebuah NGO di USA yang mengkaji tentang tidur serta masalah berkaitan tidur, kanak-kanak dalam umur 3-5 tahun perlu tidur malam sekitar 11-13 jam setiap malam! Yang ni ABAH akui, Taqi sedikit kurang tidur, sekitar purata 9-10 jam setiap malam.

Malah, kanak-kanak berumur 3-5 tahun juga perlu mendapatkan tidur tengahari sekitar 1-2 jam setiap hari. Selepas berumur 5 tahun dan ke atas barulah kanak-kanak tidak memerlukan lagi tidur tengahari setiap hari. Yang ni memang ABAH dan Mama sangat gagal. Kadang-kadang terlalu sibuk dengan macam-macam perkara sampai tak sempat nak tidurkan Taqi.

Tambahan pula, dengan kehadiran Amir Amirah, Taqi agak sukar nak ditidurkan sebab 1) terganggu dengan tangisan adik-adik 2) Terganggu rutin ABAH bacakan buku dan zikir sebelum tidur jika ABAH dan Mama sibuk uruskan adik-adik.

Kesan Kurang Tidur

Menurut bacaan ABAH, kesan paling ketara andai Taqi kurang tidur adalah Taqi menjadi cranky – diibaratkan seperti broken toys. Waktu inilah waktu mencabar apabila Taqi nak macam-macam yang tak munasabah, sepahkan mainan, buat bising dan sebagainya.

Jadi, penyelesaian yang paling utama adalah dengan mempercepatkan waktu tidur Taqi sebelum Taqi betul-betul overtired dan menjadi cranky. Cumanya, ada cabaran sikit, disebabkan ada Amir dan Amirah, ada kemungkinan Taqi akan terjaga jika Amir dan Amirah menangis. Waktu itu Taqi akan sukar nak tidur kembali.

Kesimpulan

Taqi jangan salah sangka. Membesarkan Taqi adalah satu perkara paling manis ABAH dan Mama lalui. Cumanya, ianya datang dengan cabarannya yang tersendiri. ABAH pasti, bila Taqi dah besar dan ada anak sendiri nanti, Taqi akan laluinya juga.

ABAH selalu pesan pada Mama, tiada cara mudah lagi nak lalui semua ini melainkan dengan sabar. Cuma ABAH faham, Mama seharian di rumah, mungkin telah terlalu letih dengan perkataan sabar.