Trip Ke Muar Lagi

Oleh sebab trip kita ke Muar awal bulan lepas tidak dapat cuba beberapa benda, maka, kali ini, ABAH berazam untuk bawa anak-anak ABAH kembali ke Muar lagi bagi melengkapkan lawatan kita.

Taklah, kali ini kita datang ke Muar sebab ada majlis perkahwinan sepupu ABAH, Aqilah. Aunty Aqilah merupakan anak kedua arwah Tuk Nina. Memang sewaktu kita melawat Tok Aziz dan Aunty Aqilah di rumah mereka di Tanjung Agas bulan lepas, Atuk Aziz ada menjemput kita sekeluarga ke majlis walimah ini. Maka, memenuhi jemputan walimah adalah wajib bagi kita. Kita perlu untuk sedaya upaya memenuhinya.

Majlis walimah aunty Aqilah dijadualkan pada hari ini, Sabtu, 26 Ogos 2017. Majlis diadakan di perkarangan rumah Aunty Aqilah dan Atuk Aziz di Tanjung Agas. Sepertimana biasa, majlis bermula sekitar jam 12 tengahari.

ABAH dan Mama bertungkus lumus sejak pagi lagi menyiapkan anak-anak ABAH serta barang-barang untuk dibawa. Walaupun trip kita ini hanya satu malam, namun, boleh tahan juga senarai barang-barang untuk dibawah. Kebanyakannya adalah barang-barang anak-anak ABAH. Sasaran awal untuk bertolak pada jam 8:30 pagi, namun, lepas bertungkus-lumus juga, akhirnya kita keluar rumah pada jam 9 pagi. Dalam perjalanan, kita singgah di restoran Pandan Indah, tempat biasa ABAH dan Mama bersarapan untuk memenuhkan perut. Mama bersarapan nasi ayam dan ayam masak merah dengan air Horlicks ais kurang manis manakala ABAH makan nasi lemak dan ayam goreng. ABAH sempat menyuap Taqi dalam 3 suap rasanya.

Akhirnya Perjalanan Sebenar Ke Muar Lagi Bermula

Selepas kenyang bersarapan (Alhamdulillah), kita meneruskan perjalanan. Seperti biasa, Taqi duduk di sebelah ABAH selaku co-driver di atas kerusi merah Taqi, Mama di belakang diapit oleh Amir dan Amirah masing-masing dalam carseat masing-masing.

Di MRR2, keadaan trafik sudah nampak perlahan. Melepasi susur Bandar Tun Razak, trafik kembali lancar, Alhamdulillah. Masuk ke lebuhraya PLUS, trafik masih lancar. ABAH berhenti sejenak di Petronas sebelum susur UPM untuk isi minyak dan beli air 100 Plus serta sedikit kopi. Kopi Wonda Original ABAH ada pula promosi, beli satu RM2.50, beli 2 RM3.00. ABAH turut beli air Ribena Taqi untuk Taqi basahkan tekak.

Kemudian, kereta kita meluncur laju di atas lebuhraya, namun tidak lama. Sekitar bandar Ainsdale (dekat-dekat Nilai), trafik sangat perlahan dan hampir berhenti. Mama, Amir dan Amirah sedang tidur waktu ini. Tinggal Taqi dengan ABAH berborak benda-benda mengarut, hehe. Tapi sebab sesak macam ni lah ABAH sempat tengok kiri dan kanan, kelihatan banyak pembangunan yang berlaku. Taqi tunjuk ABAH bendera Malaysia di sebelah kanan lebuhraya. Ada satu bendera Malaysia besar sedang berkibar dan beberapa lagi bendera yang bersaiz kecil. Taqi kata: yang besar tu ABAH, yang kecil tu Taqi. ABAH tersenyum melayan kerenah anak ABAH ni.

Rupanya kesesakan itu disebabkan satu kemalangan yang agak teruk melibatkan satu teksi eksekutif (MPV biru). Remuk juga bahagian depan MPV itu, nampak merempuh pembahagi jalan.

Selepas tapak kemalangan itu, jalan kembali lancar, walaupun banyak kereta. ABAH pelik kenapa banyak kereta, lalu ABAH baru teringat, Allah, harini hari pertama cuti sekolah!

Selepas siri-siri kesesakan, akhirnya kita sampai juga ke Muar pada jam 1:10 PM. Kita terus menuju ke rumah Aunty Aqilah dan Atuk Aziz untuk ke majlis mereka. Parking agak susah sebab ramai yang sudah datang lebih awal. Tapi akhirnya, kita dapat juga parking agak jauh di bawah pokok dalam 100m dari jalan rumah pengantin.

Baru sahaja ABAH nak angkat Amir dan Amirah, ABAH dapati kedua-dua Amir dan Amirah telah berak! Maka, ABAH dan Mama bertungkus lumus dalam 10-15 minit menyalin lampin Amir dan Amirah di kereta. Mesti Atuk pelik sebab tak sampai-sampai lagi kita ni.

Kita disambut oleh Atuk Mak dan sedara mara ABAH. Banyak atuk-atuk sedara pun pertama kali tengok Amir dan Amirah. ABAH dan Mama cepat-cepat makan lepastu bawa Amir dan Amirah pusing berjumpa sedara mara. Hannah seronok nampak Taqi, tapi lepastu, balik ke homestay sebab keletihan. Mama Long dukung Amir sambil ABAH makan, manakala Amirah, macam biasa, tidak mahu didukung orang lain selain Mama.

Selepas makan di bawah khemah, ABAH bawa Mama dan anak-anak ABAH ke dalam rumah Aunty Aqilah, di mana ramai sedara mara sedang berehat dan bertugas. Menjelang jam 2 petang, ABAH menelefon hotel yang telah ABAH tempah, bertanya samada bilik kita sudah sedia atau tidak. Alhamdulillah, pegawai hotel menyatakan bilik telah sedia untuk diduduki. Kita meminta diri daripada majlis untuk berehat di hotel.