Trip Last Minute ke Port Dickson: Pantai Teluk Kemang

Selepas puas berehat dan solat di hotel D’Wharf, kita meneruskan aktiviti pertama kita di Port Dickson, iaitu bermain di pantai dan sudah tentu, Pantai Teluk Kemang.

Pantai Teluk Kemang

Sejak kecil lagi, jika ke Port Dickson, pantai utama yang akan Atok bawa ABAH dan adik beradik adalah ke Pantai Teluk Kemang. Memang seingat ABAH, pantainya meriah serta lambakan restoran dan gerai makan. Kali terakhir kita ke sini, terdapat aktiviti keluarga yang menarik di dataran yang berada di Pantai Teluk Kemang ini.

Perjalanan dari D’Wharf hotel ke Pantai Teluk Kemang walaupun hanya dalam 15km, tapi memakan masa hampir 20 minit juga sebab kita melalui jalan kampung yang banyak traffic light.

Disebabkan ABAH dan Mama masih belum makan tengahari, sampainya kita di Pantai Teluk Kemang (dan berjaya menemui parking kosong), kita singgah di Anjung Selera yang terletak hanya di sebelah bahagian pantai. Taqi sudah tidak sabar ingin bermain di pantai, tapi ABAH kata sabar, tunggu dulu, kita makan dulu. Amir dan Amirah pun gembira dapat keluar daripada SSC Andrea mereka dan duduk di kerusi baby.

Pantai teluk Kemang

ABAH order nasi goreng Pattaya daging bersama air bandung soda. ABAH dah lupa dah Mama order apa, nampak sangat ABAH dah lapar sangat. Mama juga tidak melupakan Cooler Bag Natural Moms Grey Iznik beliau yang mengandungi susu-susu anak-anak tersayang.

Bermain di Pantai

Sekitar jam 5:30PM, kita bergerak ke pantai setelah ABAH dan Mama selesai makan. ABAH sewa satu khemah di tepi pantai berserta meja dan kerusi. Air sudah sedikit pasang. ABAH cepat-cepat tukar baju Taqi kepada baju mandi. Amir dan Amirah pula dibuka seluar dan hanya pakai baju.

Seronok Taqi dengan membawa semua peralatan bermain pasirnya. Ada baldi, pengorek, cangkul dan macam-macam lagi. Ada kelibat beberapa lagi budak yang bermain di sekitar pantai. Taqi seperti biasa, mudah mesra dan ajak friends bermain bersama. ABAH dan Mama sangat risau dan sentiasa perhatikan Taqi agar Taqi tidak pergi jauh daripada ABAH dan Mama serta tidak juga ditarik ombak ke tengah laut.

Amir dan Amirah juga tidak kurang seronok apabila kaki menyentuh pasir. Pada mulanya, Amir agak sedikit takut dan kekok apabila kaki menyentuh pasir pantai. Amirah walau pada awalnya tenang, namun, ABAH dan Mama yang cemas sebab Amirah cuba memasukkan pasir ke dalam mulut. Tapi dalam 10 minit, Amir dan Amirah sudah faham yang pasir tidak boleh dimasukkan ke dalam mulut. Sesekali air ombak kuat mengenai Amir dan Amirah yang terkejut.

Menjelang Maghrib, ABAH ajak Taqi untuk balik ke hotel. Taqi sangat baik dan mengikut kata. OK, Taqi kata, lalu Taqi memakai kasut dan pegang tangan ABAH pulang ke kereta.

Dalam perjalananan ke kereta, sempat ABAH dan Mama beli 2 set pelampung kecil untuk Amir dan Amirah bermain di kolam renang di hotel esok pagi.

Sekarang, mari kita balik hotel, mandi dan bersiap untuk makan malam!