Pantai Teluk Cempedak: Pantai Bersih dan Mesra Aktiviti Keluarga

Pantai Teluk Cempedak: Sebab Tiada Apa di Gambang

Setelah berehat-rehat sesampainya kita ke Gambang, ABAH dan Mama berbincang dengan Tinish apa aktiviti untuk dibuat petang ini? Tinish mencadangkan beberapa nama tempat makan dan tempat untuk melawat, malangnya, semuanya berada di Kuantan, bukannya di Gambang.

ABAH dan Mama bersama Tinish dengan semua anak-anak ABAH pun bertolak ke Kuantan dalam pukul 3:30 petang. ABAH Mama sengaja tak benarkan Amir dan Amirah tidur dulu sebab nak Amir Amirah tidur dalam perjalanan, bagi rehat sikit sebelum kita beraktiviti. Antara rancangan petang ini adalah untuk berjalan-jalan di sekitar Pantai Teluk Cempedak, kemudiannya makan malam bersama rakan-rakan ABAH dan Mama yang bertugas sebagai pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang.

Perjalanan Ke Pantai Teluk Cempedak

Jika dilihat jarak Pantai Teluk Cempedak daripada Gambang, sekitar 40 km sahaja, jadi, ABAH anggarkan kita akan sampai ke Pantai Teluk Cempedak sekitar jam 4:15 petang. ABAH tidak sangka pula jalan dari Gambang ke Kuantan sesak dengan trafik. Mungkin kerana hari Sabtu, hari semua orang keluar rumah untuk kenduri, berbelanja dan sebagainya.

Menjelang 4:30 petang barulah kita sampai ke Pantai Teluk Cempedak setelah mengharungi trafik yang tidak kurang sesaknya. Elok sahaja 10 minit nak sampai Pantai, anak-anak semua dah tertidur. Jadi, ABAH ditugaskan untuk melihat dulu dengan berjalan kaki, aktiviti dan kawasan sesuai di sekitar Pantai, manakala Mama dan Tinish duduk dalam kereta menjaga Taqi, Amir dan Amirah yang sedang tidur nyenyak.

Pantai Teluk Cempedak: Pantai Yang Mesra Keluarga

Tak lama lepas tu, ABAH dan Mama mengejutkan anak-anak, sebab taknak bagi terlepas menikmati suasana pantai. Kita berjalan menelusuri pantai dan Tinish mencadangkan kita melalui laluan jambatan di pesisir tebing pantai di mana katanya ada banyak monyet. Taqi sangat seronok nak melihat monyet.

Dan benar, pemandangan di laluan pesisiran tebing itu sangat cantik, dengan kawasan hutan berbukit di belah kiri dan kawasan pantai berbatu di sebelah kanan. Ombak memukul pantai bertalu-talu, bunyinya sungguh menenangkan.

Di sepanjang laluan pesisir pantai ini, perlu berhati-hati sikit, sebab ada banyak monyet berkeliaran. Akan jadi tumpuan monyet kalau kita membawa banyak makanan di badan. Memang berkerumunlah monyet. ABAH pegang Taqi, Amir dan Amirah dengan erat takut dicakar monyet-monyet ini.

Laluan pesisir pantai ini menghala ke sebuah lagi pantai yang terpisah daripada pantai utama. Tapi kita tidaklah meneruskan perjalanan sehingga ke pantai satu lagi ini, sebab kesuntukan masa. Kita berpatah balik ke pantai utama.

Laluan Pulang

Pantai Teluk Cempedak ini antara pantai paling bersih ABAH pernah datang. Mungkin kerana tak banyak gerai jalanan makanan, yang banyak gerai jual pakaian dan permainan. Untuk makanan, kebanyakannya adalah di restoran dan warung yang mempunyai tempat makan yang sesuai. Mungkin ini penyebab orang ramai tidak memegang apa-apa bungkusan makanan yang memungkinkan dibuang merata-rata.

Di pantai utama pula, terdapat macam ada satu teluk yang agak redup, dan di sini ramai keluarga yang duduh dan berehat. Di sini ada juga aktiviti berbayar seperti istana belon dan orang-orang menjual sabun buih. Taqi nak sangat main istana belon, tapi ABAH tak benarkan, sebab kita nak duduk sini sekejap sahaja sebab nak pergi ke tempat lain pula. Taqi dan Amir hanya sempat main-main pasir sahaja.

Menjelang 630 petang, kita bertolak meninggalkan pantai dan menuju ke restoran Ana Ikan Bakar Petai untuk bertemu rakan-rakan ABAH dan Mama.