Trip Sekeluarga: Ada apa di Gambang?

Permulaan Rancangan ke Gambang, Pahang

Bila kita sibuk bekerja dan kerja rutin seharian terlalu lama, tiba masanya kita rasa puas dan merasakan perlunya bercuti. Bercuti bukan untuk bermewah-mewah, tidak perlu duduk hotel-hotel mahal, tidak perlu makan gilang gemilang, cukuplah percutian itu keluar sebentar daripada rutin kebiasaan.

Pada satu malam, Mama bertanya ABAH, ke mana seterusnya kita pergi. Sudah tentu, dengan 2 anak kecil (Amir dan Amirah) ditambah dengan seorang toddler (Taqi), perjalanan kita pasti terbatas. Antaranya perjalanan tidak boleh terlalu lama kerana anak-anak ABAH akan kebosanan dan akan meragam dalam kereta.

Tapi ABAH buntu. Mana yang sesuai?

Lalu Mama memberi cadangan, apa kata kita sekeluarga ke Gambang, Pahang?

ABAH tanya, ada apa di Gambang, Pahang?

Walaupun mama tidak boleh menjawab ada apa di Gambang, selain adanya adik Mama, Hanisah (Tinish). Lalu Mama hubungi Tinish dan bertanya ada apa di Gambang, Pahang dan minta untuk mencadangkan aktiviti di sana.

Di Mana Gambang?

Menurut bacaan di internet, Gambang adalah satu pekan kecil di Pahang. Gambang terletak lebih kurang 200 km dari Kuala Lumpur, perjalanan dari KL dijangka mengambil sekitar 2 jam. Gambang juga terletak 30 km dari bandar Kuantan, ibukota negeri Pahang.

Perjalanan ke Gambang, Pahang

Hari Sabtu, 10 Februari, jam 10:30 pagi, barulah kita memulakan perjalanan ke Gambang, Pahang setelah selesai semua urusan (80% urusan adalah siapkan barang anak-anak).

Ada sebab kenapa ABAH dan Mama memilih untuk memulakan perjalanan pada jam 10:30 pagi, sebab waktu tu adalah waktu biasa Amir dan Amirah untuk tidur pagi. Alhamdulillah, kita melalui MRR2 dengan lancar, menuju ke lebuhraya Karak. Rasanya waktu kita melalui Bukit Tinggi, Amir dan Amirah dah tertidur.

ABAH sebenarnya janggal sikit memandu di Lebuhraya Karak ni, sebab tak biasa lalu sini. Alhamdulillah, lepas sesi-sesi jalan berliku dan turun naik bukit, kita sampai ke permulaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Trafik lancar mungkin kerana bukan cuti sekolah atau apa-apa perayaan, LPT pun sangat kosong dan tiada masalah untuk dilalui.

Sampai di Gambang

Setelah jumlah perjalanan hampir 2 jam 30 minit, akhirnya kita sampai ke Gambang sekitar pukul 1 petang dan disapa oleh pintu gerbang Gambang Resort City. Kolej Matrikulasi Pahang terletak tidak jauh dari resort ni, dalam lebih kurang 3km sahaja.

Setibanya di kolej Matrikulasi Pahang, kereta terus dipandu menuju ke kuarters pensyarah. Wah, lain rasanya berada di kawasan kolej / universiti. Dah lama ABAH dan Mama tidak melawat kawasan institusi pendidikan. Di kuarters pensyarah, kita dijemput oleh Tinish dan terus dibawa ke rumah Tinish.

Amir dan Amirah punyalah seronok tengok tempat baru, tersenyum riang, habis satu rumah dia merangkak untuk terokai. ABAH pula lega dapat berehat sejenak, meregangkan urat-urat setelah pemanduan lebih 2 jam. Rancangnya petang ni nak ke Pantai Teluk Cempedak dan kemudiannya makan malam bersama kawan-kawan ABAH dan Mama.

Comments

comments