Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam

ABAH memang pening kepala fikir nak bawa anak-anak ABAH berjalan ke mana setiap minggu. Kalau duduk di rumah je, mulalah semua stress sebab kebosanan. Kanak-kanak ni perlu sentiasa diisi dengan aktiviti yang tidak membosankan mereka. Apatah lagi umur-umur seperti Taqi, Amir dan Amirah ini, memang penuh bertenaga. Perlu dirancang aktiviti-aktiviti yang menghabiskan tenaga anak-anak ABAH, secara positif!

Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam

Kebetulan, di FB ABAH, ABAH ada terlihat kawan ABAH berkongsikan gambar-gambar di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam, khususnya ruangan perpustakaan kanak-kanaknya. Wah, nampak sangat menarik dan sangat mesra kanak-kanak. ABAH berbincang ringkas dengan Mama, dan tanpa banyak persoalan, ABAH dan Mama bersetuju untuk bermalam di Shah Alam minggu ini.

Persiapan dilakukan dan pagi sabtu kita bertolak ke Shah Alam.

ABAH dan Shah Alam

Secara peribadi, ABAH suka Shah Alam kerana bandarnya bersih, tersusun serta rasa lebih tenang di sini. Sudah tentua ada perkara yang membencikan, seperti banyaknya roundabout di sekitar Shah Alam ini dan banyak Seksyen di Shah Alam yang memeningkan orang yang tidak biasa di sini.

Mengisi Perut Dulu

Kita sampai di Shah Alam elok-elok nak pukul 1 petang, elok-elok waktu tu waktu untuk makan tengahari. Disebabkan ABAH tak tahu tempat makan best di Shah Alam ini, ABAH mencari-cari di Google Maps, restoran yang berdekatan dengan Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Melalui cadangan Google Maps, kita dibawa ke sebuah restoran makanan kampung. Harganya agak mahal, tapi makanannya sedap dan asli makanan kampung.

Selepas perut terisi, kita meneruskan perjalanan ke Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam yang terletak tidak jauh dah daripada tempat kita mengisi perut.

Perpustakaan Mesra Kanak-kanak

Perpustakaan ini sangat besar dan mempunyai pelbagai seksyen. Mata ABAH sudah tenti melilau mencari perpustakaan kanak-kanak. Tak susah nak cari perpustakaan kanak-kanak ni. Masuk saja dari pintu besar perpustakaan, selepas kaunter maklumat, perpustakaan kanak-kanak hanya terletak di sebelah kanan.

Perlu ke bayar apa-apa untuk masuk ke perpustakaan kanak-kanak ini? Tidak, kalau tidak ingin meminjam apa-apa buku.

Masuknya ke perpustakaan kanak-kanak, mata ABAH tertarik pada ruangan tengah yang dibina binaan pokok yang cantik di atas kawasan sedikit berbukit. Di sini adalah kawasan santai untuk ibu bapa dan anak-anak ingin berehat sambil membaca buku. Turut kelihatan ibu bapa juga ada yang berbaring di kawasan ini.

Disebabkan ini perpustakaan kanak-kanak, memang tidak boleh diimpikan suasana senyap macam perpustakaan sebenar. Memang suasana hingar bingar, dengan suara hilai tawa kanak-kanak serta kanak-kanak berlari ke sana sini.

Terdapat banyak koleksi buku untuk kanak-kanak. Saiz ruangan perpustakaan ini juga besar dan selesa. Cukup kerusi untuk kanak-kanak dan ibu bapa. Cumanya, untuk kanak-kanak bawah 2 tahun, mungkin agak terhad bahan bacaan yang cukup menarik minat mereka. Adalah ABAH dan Mama jumpa satu dua buku untuk Amir Amirah. Tapi dalam banyak masa, Amir dan Amirah lebih suka melihat gelagat kanak-kanak lain.

ABAH ada juga cubaan untuk membacakan buku pada Amir dan Amirah, tapi antara Amir Amirah hilang fokus atau akan jadi sesi gigit menggigit buku. Takpe, ABAH faham, umur Amir dan Amirah memang itu reaksi normal, tak boleh expect Amir Amirah duduk diam membaca buku, seperti yang ditulis artikel ini:

Anak Kecil Yang Dibacakan Buku Kelihatan Tidak Sukakan Buku. Ini Fakta Yang Ibu Bapa Perlu Tahu.

Taqi pula, asyik berlari ke sini ke sana. Ada masa, tengok TV, lepas dah bosan, Taqi join kelas kraf di atas pentas. Aktiviti hari ini adalah membuat ladybug daripada kertas. Taqi khusyuk sangat nak siapkan ladybug Taqi.

Ringkasan Review Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam

Kita meluangkan hampir 1 jam setengah di sini. Secara keseluruhannya, ini review ABAH mengenai Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam ini, terutamanya perpustakaan kanak-kanaknya:-

1. Parking (2 daripada 5)

Waktu kita sekeluarga melawat perpustakaan ini, macam ada sesi naiktaraf parking sedia ada, jadi pelawat terpaksa untuk letak kenderaan di tepi jalan sahaja dan ada yang terpaksa berjalan jauh. Kurang praktikal bagi yang membawa kanak-kanak bersama.

2. Harga (5 daripada 5)

Ni sebab percuma dengan kemudahan yang disediakan

3. Saiz (5 daripada 5)

Saiz perpustakaan kanak-kanak cukup besar walaupun waktu kita sekeluarga datang, agak ramai orang, namun, masih cukup ruang dan tempat untuk membaca bersama anak-anak masing-masing.

4. Kemudahan (5 daripada 5)

Ada kemudahan solat dalam perpustakaan kanak-kanak, kerusi meja pun mencukupi untuk kanak-kanak dan orang dewasa, ada bean bag untuk anak-anak duduk santai, ada kemudahan TV yang memaparkan rancangan kanak-kanak dan buku yang banyak untuk dibaca, sudah tentu.

5. Aktviti (3 daripada 5)

Ada disediakan aktiviti pada sela masa yang agak jauh. Lebih baik andai dipendekkan jarak masa agar anak-anak sentiasa ada aktiviti untuk dipilih.

Secara umumnya, kami sangat berpuas hati dengan Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam dan akan ke sini lagi.

Bagi ibu bapa yang lain, jangan serik memperkenalkan anak-anak anda untuk mencintai buku, kerana jika tidak dibiasakan dari kecil, mana mungkin mereka yang tidak kenal buku akan mencintai buku. Pupuk budaya membaca dari kecil.

Boleh layarai laman web Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang menyelia perpustakaan awam di Selangor: http://www.ppas.gov.my/