Kafe Neighbours Ampang

ABAH dan Kafe Hipster

Keluarga ABAH bukanlah kaya sangat. Kita hidup sederhana, tetapi mencukupi. Kalau ikutkan, ABAH memang jarang ke kafe hipster yang dah menjadi trend di bandar-bandar di Malaysia kebelakangan ini. Namun, sekali sekala, ABAH dan Mama berminat juga untuk mencuba kehispteran kafe-kafe ini. Tidaklah selalu, mungkin hanya sekali sebulan.

Kafe Neighbours Ampang

Petang tadi, disebabkan Amir dan Amirah tidur petang dan kembali bertenaga, ABAH dan Mama teringin untuk lepak mengopi di mana-mana restoran atau kafe yang best. Namun, memandangkan ini hari Sabtu dan waktu pun sudah menunjukkan jam 4:30 petang, keadaan trafik di Ampang ini sedikit memeningkan ABAH untuk memandu jauh.

Jadi, ABAH terfikir satu kafe hipster di Bukit Indah, Kafe Neighbours Ampang. ABAH dan Mama sudah lama mengetahui kewujudan kafe ini, namun, masih tidak berkesempatan untuk mencuba. Nampak dari luar je biasanya.

Jadi, selepas solat Asar, kita sekeluarga berlepas ke Bukit Indah yang hanya sekitar 5 km jaraknya dari rumah kita.

Lokasi Kafe Neighbours Ampang

Bagi penduduk sekitar Ampang, mungkin mengetahui di mana restoran Hidayah Maju atau di mana Pasaraya Bukit Indah Supermarket. Kedua-dua landmarks ini terletak seberang jalan daripada Masjid Bukit Indah.

Kafe Neighbours Ampang terletak sebaris dengan restoran Hidayah Maju ini, iaitu dalam 3 kedai di belah kiri restoran Hidayah Maju.

Alamat Kafe Neighbours Ampang adalah di 17G, Jalan Bukit Indah 5, Taman Bukit Indah, 68000 Ampang, Selangor.

Waktu operasi kafe Neighbours Ampang pula, melalui bacaan ABAH di internet adalah daripada 12 tengahari sehingga 11 malam.

Sampai ke Kafe Dengan Harapan Menggunung

Sekitar jam 5 petang, kita tiba di kafe Neighbours Ampang. Alhamdulillah, ABAH dapat parking kereta di hadapan kafe. Apa agaknya ada di dalam kafe?

Ketika kita sekeluarga tiba, tiada orang di dalam kafe ini. ABAH dan Mama minta 2 kerusi bayi seperti biasa untuk Amir dan Amirah duduk. Alamak, kerusi bayi mereka tiada tali pinggang, Amir dan Amirah (lebih-lebih lagi Amir) pasti akan panjat dan berdiri di atas kerusi kalau cukup lama duduk.

Kita duduk di meja nombor 11. Taqi duduk di sebelah ABAH. Seorang waiter datang memberikan menu dan borang pesanan. Di sini, kita perlu menulis apa yang ingin dipesan di atas borang yang diberi.

Tidak banyak pilihan menu yang ada di sini. Difahami sebab kafe kecil. Cumanya ABAH menyangka ada kek atau apa-apa manisan disediakan, tetapi hampa apabila tiada di dalam menu.

Anyway, ini menunya:

Jadi, dalam pilihan yang terhad itu, ABAH memesan Ice Blended Caramel Latte dan Mama memesan Latte panas. Untuk makanan, disebabkan ABAH dan Mama tidak terlalu lapar, ABAH hanya memesan satu pizza yang dinamakan “Neighbours Pizza”, ala-ala signature dish dia la kut sebab nama kedai dia, tapi waiter dia pun macam tak yakin sangat nak menerangkan pizza ni apa sebenarnya.

Pesanan diambil ke dapur dan kita pun menunggu makanan tiba.

Suasana Kafe Neighbours Ampang

Sambil menunggu makanan, ABAH dan Mama berborak sambil melayan Taqi, Amir dan Amirah. Mata ABAH pun menerawang juga di sekitar kafe untuk melihat hiasan dalaman serta ‘ambience’ dalam kafe.

Secara umumnya, hiasan dalaman kafe ini dibuat secara minimalis bujang, ditambah unsur-unsur hiasan muzik. Lampu dalam kafe juga dipasang agak malap dan mewujudkan suasana suram dan sunyi. Tapi sedikit kacau kerana muzik rock keras dipasang di dalam kafe. Hilang rasa ambience sunyi tu.

Sambil menunggu-nunggu makanan dan minuman tiba, ABAH dan Mama menonton video Tasty daripada Channel Youtube mereka yang dipasang di TV di kafe. Yang ABAH Mama tengok adalah penyediaan pelbagai jenis menu berasaskan Mac n Cheese. Nampak sangat menyelerakan.

Makanan dan Minuman yang Dipesan Tiba

Selepas hampir 10 minit, minuman yang dipesan ABAH dan Mama tiba. ABAH tiada masalah dengan ice-blended caramel latte ABAH, tapi memandang minuman latte Mama, ABAH tergelak.

Pertamanya, Alhamdulillah, rezeki Allah beri kami kopi ini. Tetapi beberapa komen mengenai kopi ini:-

1. Kopi dihantar bersepah, tumpah dan meleleh – Kalau dilihat gambar, mungkin ramai menyangka ini gambar setelah beberapa teguk kopi dihirup. TIDAK. Ini adalah gambar cawan kopi latte Mama sejurus sampai. Ada kesan tumpahan bertakung di atas piring cawan itu, malah ada kesan lelehan kopi yang sangat jelas pada cawan kopi.

2. Tiada corak seni kopi – biasanya kalau order kopi di kedai hipster, barista (pembuat minuman) akan adakan sedikit coffee art foam sebelum menghantar pesanan. Sekurang-kurangnya ada corak tulip atau corak hati. Tapi ini, memang kosong, tiada corak langsung.

Mujurlah rasa kopi ini tidak teruk. Boleh diminum dengan seronok.

Selang 10 minit selepas itu, pizza yang kami pesan tiba. Pizza dihidangkan di atas pinggan. Pizza ini bersaiz personal dipotong empat slices. Pizza signature Neighbours ini adalah pizza ayam. ABAH mengambil sepotong pizza dan mendapati base pizza ini seakan berminyak. Setelah diamati, ABAH yakin base pizza ini adalah base instant dan bukan handmade, malah ABAH rasa mereka menggunakan base yang dibekukan. Rasa pizza boleh tahan, cuma ABAH pernah rasa pizza jalanan yang jauh lebih sedap di hadapan Masjid Al-Azim, Pandan. Harganya pun lebih murah untuk kualiti sebegini.

Ringkasan Review Kafe Neighbours Ampang

1. Makanan (2/5): Mungkin tidak adil kerana kami hanya memesan satu makanan sahaja. Tetapi, expectation untuk menu yang dinamakan dengan nama kedai biasanya adalah menu signature dan sepatutnya itulah yang terbaik!

2. Kopi (3/5): Rasa kopi OK, tapi persembahan kopi yang nampak macam tak bersungguh. Mungkin juga barista tidak berpengalaman.

3. Suasana (3/5): Suasana minimalis dengan perabot yang rustic ditambah pula lampu yang malap sangat menenangkan. Namun, suasana ini dikacau dengan siaran muzik rock keras yang kuat.

4. Harga (2/5): Harganya, walaupun seperti dijangka daripada kafe hipster, memanglah agak mahal. Namun, dengan kualiti makanan yang kami terima, kami rasa harga yang ditawarkan adalah overpriced.

Secara keseluruhan, kami merasakan kafe Neighbours Ampang under expectation. Banyak perkara boleh diperbaiki untuk kafe ini kekal lebih lama, seperti mempelbagaikan menu, memperbaiki kualiti persembahan kopi serta melatih waiter supaya lebih berpengetahuan berkenaan menu.

Namun, kami pun hanya order beberapa je menu dan mungkin review ini tidak begitu adil untuk kedai.