Ke TESCO Ampang Kita

Hari ini ABAH ke Butik Cozy Lady berseorangan sebab ada 2 temuduga untuk mencari pekerja baru Cozy Baby. Taqi pula tidak ke sekolah, sebab batuk-batuk kuat dan berhingus. Lebih-lebih lagi di rumah ada Tima dan Tiji untuk main dengan Taqi, Amir dan Amirah. Mama pula tinggal di rumah untuk jaga Taqi, Amir dan Amirah sambil menunggu ABAH habis sesi temuduga di Cozy Baby.

Temuduga pertama sepatutnya pada jam 9.30 pagi, tapi ABAH menanti calon pekerja tu datang tapi tak juga kunjung tiba. Sambil-sambil tu ABAH buatlah kerja-kerja lain di pejabat. Menjelang jam 10:20 pagi, calon seterusnya tiba untuk sesi temuduga pada jam 10:30 pagi. Nasib baik, kalau tak habis ABAH dah bad mood sebab buang masa ABAH datang tapi tiada orang datang temuduga.

Temuduga berakhir sekitar jam 11:20 pagi. ABAH terus keluar pejabat, pergi ke Petronas di sebelah pejabat untuk ambil duit tunai, dan seterusnya ke Medan Selera tempat ABAH Mama biasa makan tengahari, untuk membungkus lauk makan tengahari. Di sini, ABAH dan Mama suka makanan ayam panggangnya beserta kuah pencicah yang enak. ABAH bungkus 5 ketul ayam dan sebungkus sambal tempoyak kegemaran Mama.

Ke TESCO Ampang Kita Sekeluarga

Sampainya ABAH di rumah, Amir dan Amirah baru bangun tidur. Taqi seperti biasa, tidak tidur tengahari. Kuat juga Taqi, sebab pagi tadi ABAH ada suapkan ubat batuk dan selsema. Memang umur budak sekitar ni keazaman untuk bermain tu kuat sampai boleh ada tenaga macam tiada had.

Jom ke TESCO Ampang, ABAH ajak semua bersiap-siap. Sekitar jam 1 PM, kita sudah di dalam kereta menuju ke TESCO Ampang. Kali ini ada Tima dan Tiji ikut sekali, jadi ramai orang untuk memegang Amir dan Amirah.

Sesampainya di TESCO Ampang, Mama back-carry Amirah menggunakan SSC Andrea Batman, dan Amir digendong secara front carry oleh Tiji. Tapi, bila kita berjalan ke pintu masuk TESCO Ampang, apabila ABAH nak ambil troli dan nak angkat Taqi masuk ke troli, Amir pun turut menunjuk ke troli. Tanda Amir pun nak duduk di troli.

Satu lagi troli diambil dan Amir diletakkan di atas kerusi di troli ini. Amir nampak gembira betul, ini kali pertama Amir diletakkan di atas troli.

ABAH menolak troli dengan Taqi di dalam dan Tiji menolak troli dengan Amir di dalam.

Masuk sahaja ke pintu pasaraya, kita terus menuju ke ruangan alat tulis. Mama ingin membeli beberapa fail untuk kegunaan pejabat. Tak sempat sampai kawasan fail, di sebelah kanan terdapat beg kanak-kanak dipamerkan. Disebabkan Taqi dah lama menggunakan beg GabaG ke sekolah, dah lusuh dan koyak, jadi Mama dan ABAH membelikan beg baru untuk Taqi. Beg berwarna biru jenama SWAN dan mempunyai lukisan Ultraman. Taqi sangat suka dapat beg baru, terus nak pakai beg tu walaupun takde barang lagi.

Selepas itu, barulah kita bergerak ke tempat tujuan sebenar ke TESCO Ampang, membeli barangan dapur. Antara benda wajib dibeli adalah berbelas kotak susu segar sebab Taqi, Amir dan Amirah sangat kuat minum susu segar. Sehari boleh habis sehingga 3 kotak susu segar. Telur, sayur dan buah, ayam mentah, lampin, pejam celik dah nak RM300 kos semua ni. Huhu. Inilah kos ibu bapa zaman ini nak membesarkan anak-anak. Inipun Mama ABAH pilih jenama yang asas sahaja.

Cari Donut Panas

Sesudah urusan di TESCO Ampang, dan sesudah mengangkut semua barang ke dalam bonet kereta, waktu dalam kereta, ABAH rasa nak makan donut panas di Taman Kosas, seberang sahaja dengan rumah kita. Hari Ahad haritu ada juga ABAH dan Mama cuba cari di situ pada jam 4 petang, tapi semua donut dah habis. Harini baru jam 2:30 petang, ABAH pun tak pasti sudah ada donut panas atau belum.

Dan yeayy, donut sudah ada dan masih panas (suam sebenarnya). Di kedai tepi jalan ni, ada tertulis ‘Donut Panas” besar-besar atas banner, kedainya di sebelah BHPetrol yang ada McDonald’s tu. Ada 3 perisa donut: donut gula biasa, donut caramel dan donut coklat. Harganya RM1.50 sebiji, tapi agak besar juga saiznya. Abah beli sebiji setiap perisa, nak merasa semua. Taqi nak donut gula. 2 lagi perisa ABAH main koyak-koyak berkongsi dengan Mama dan Aunty Taqi. Boleh tahan sedap donutnya, fluffy, tidak padat dan masih suam-suam, buat penambah selera. ABAH secara peribadi sukakan donut coklatnya, Mama lebih suka donut caramel. ABAH rasa donut caramel tu manis sangat untuk lidah ABAH. Amir dan Amirah seperti biasa, mengendeng Mama ABAH.

Sesudah donut, kita singgah pula di gerai jambu yang terletak lebih kurang 400 meter di hadapan kedai donut tadi, pada jalan yang sama. Gerai jambu ini terletak betul-betul di hadapan SMK Taman Kosas. Memang Mama selalu beli jambu di sini. Jambu batu Muar ni memang kegemaran Mama. ABAH beli RM3.50 jambu untuk Mama dan Aunties.

Sesudah jambu, kita pulang ke rumah. Masa tidur Amir sudah semakin hampir.

Kegembiraan ABAH

Sesampainya di rumah (dan selepas sesi mengangkut barang daripada kereta ke rumah), Mama menegur ABAH, katanya ABAH kelihatan gembira hari ini.

Betul, rasa seronok harini, mungkin sebab kita sesekali keluar daripada rutin ABAH Mama bekerja dan Taqi, Amir, Amirah ikut ke tempat kerja. Benar, bila ABAH fikir balik, kita bukannya buat apa pun, setakat ke TESCO membeli barang, lepas tu makan makanan jalanan (street food) yang tak sampai pun RM10 sekeluarga.

Benarlah kata orang, tidak perlu wang yang banyak untuk berseronok. Cukup sekadar dapat meluangkan masa bersama keluarga, itu lebih utama. Dan ABAH rasa itulah definisi kegembiraan bagi ABAH.

ABAH ada 10 bulan sahaja lagi sebelum kembali ke alam korporat. ABAH akan lalui baki masa ini dengan sebaiknya.