Bekerja Dengan Anak – Dari Kaca Mata ABAH

Mama ada juga bercerita tentang bekerja dengan anak di dalam blog beliau, tapi ABAH pun taknak ketinggalan untuk menukilkan coretan bekerja dengan anak dari kaca mata ABAH sendiri.

Bekerja Dengan Anak – Satu Impian?

Sekali dengar memang menarik. Tapi tak dinafikan penuh cabarannya.

Bulan April ini menandakan sudah 2 bulan ABAH berehat daripada bertugas di dunia korporat dan sepenuh masa bekerja dengan Cozy Baby, membantu Mama. Dan rutin ABAH dan Mama juga setiap harilah mengangkut anak-anak ke kedai.

Amir dan Amirah baru nak masuk 16 bulan. Dalam umur begini, Amir dan Amirah perlu tidur selang 3-4 jam. Tidur pula kebanyakan masa nak berpeluk, kalau tidak, mudah terbangun. Bayangkan setiap 3-4 jam ABAH atau Mama perlu bergilir-gilir menidurkan Amir dan Amirah. Tapi ABAH dan Mama tak kisah, sebab menatap wajah anak-anak tidur ni suatu nikmat yang tak dapat diganti. ABAH pun dapat juga membaca buku dalam telefon bimbit ABAH sambil memeluk Amir dan Amirah (yelah, nak buat kerja lain susah pula takut terbangun).

Taqi menjadi rutin pergi ke sekolah dan ABAH akan ambil dari sekolah sekitar tengahari. Taqi dah nak masuk 5 tahun dan boleh bertahan tidak tidur tengahari dan petang. Taqi akan bertahan biasanya sehingga Maghrib dan akan tidur sekali dengan adik-adik. (Saat ABAH menulis ini, semua anak-anak dah tidur lena).

Beraktiviti di Kedai

Sudah tentu aktiviti anak-anak di kedai adalah bermain (dalam erti kata orang dewasa, menyepahkan kedai). Butik Cozy Lady terbahagi kepada 2 bahagian: butik dan bahagian online. Di bahagian online terdapat bilik Pengarah Urusan di mana di situlah ABAH dan Mama akan duduk bekerja (kalau tak tidurkan Amir Amirah). Tapi, Amir Amirah sangat tak suka duduk dalam bilik ni sebab memang akan kena tidur kalau masuk. Amir Amirah akan masuk kalau nak susu sahaja.

Amir dan Amirah lebih suka bermain di bahagian butik. Di situ ada ruangan buku dan permainan kanak-kanak yang sepatutnya untuk anak-anak pelanggan, tapi kebanyakan masa memang anak-anak ABAH juga yang sepahkan. Keadaan akan gamat kalau Taqi dah balik dari school. Tapi Amir dan Amirah suka. Kadang-kadang pergi panjat gelongsor, masuk dalam khemah, jalan-jalan pusing butik, naik kereta mainan, kalau dah letih, duduk dan baca buku. Kemudian, main lagi, begitulah anak-anak ABAH.

Hari ini tidak terkecuali. Petang hari, ABAH bawa Amir dan Amirah ke butik untuk bermain dengan Taqi. Adalah sesi-sesi merebut barang dan tangisan berlaku. Ada satu kali ni, Amir suka sangat main keychain katak yang ABAH beli untuk Taqi. Keychain ni kalau ditekan butang di atas katak tu, akan ada lampu menyala dan bunyi katak keluar. Taqi pun bila dah nampak Amir main dengan khusyuk, mulalah Taqi nak juga. Berakhirlah juga dengan sesi tangisan walaupun ABAH dah cuba beri mainan lain.

Amirah yang paling harmoni. Princess bak kata Mama. Selalu Amirah tengok je abang-abangnya bergaduh. Ada jugalah waktu Amirah berebut dengan Amir. Amirah paling pantang kalau Amir datang menyelit di tepi Amirah.

Malam ini – Belajar Tamadun

Malam berlabuh. ABAH dan Mama selesai memandikan semua anak-anak menjelang Maghrib, yeayy. Sebelum tidur, rutin biasa adalah membaca buku. Taqi memilih sendiri buku adventure yang mengisahkan pemgembaraan meneroka tapak pusat tamadun Inca di Peru. Entah kenapa Taqi suka sangat buku ini. Secara ringkasnya, ABAH ada menulis perbualan ABAH dan Taqi di status FB ABAH:-

Harini ABAH mengajar Taqi tajuk Tamadun. Topik harini adalah Tamadun Inca: geografi, binaan, haiwan liarnya, keunikan…

Posted by Muhammad Huzaifah on Wednesday, 4 April 2018

 

Sedang ABAH menulis ini, Taqi, Amir dan Amirah sedang nyenyak tidur. ABAH mengusap kepala semua. Good night, jumpa lagi esok!

Ni post Blog Mama pasal kerja dengan anak-anak:-

Seronok ke Bekerja Dengan Anak-anak?