Beraya di Kelantan – Day 2 – Nasi Air Jalan Klinik

Perut sudah lapar. Matahari pun makin terik. Setelah penat membeli belah di sekitar Pantai Timur, Zon Ria dan Hari-Hari, Mama menerima panggilan daripada Atok Ma yang sudah berada di warung nasi air Jalan Klinik. Warung ni memang kegemaran Mama sejak kecil katanya.

ABAH melalui jalan bandar hingga ke simpang masjid, belok kanan ke jalan Klinik dan kelihatan kereta Persona kita yang Atok Ma pinjam telah diletakkan di hadapan warung tersebut. Atok Ma dan TiYing telah berada di situ dan nampaknya telah memesan beberapa mangkuk nasi air.

Mama kamu bersinar mata mendapat nasi air kegemarannya. Amir dan Amirah duduk di kerusi kanak-kanak (mujur ada), di sebelah ABAH dan Mama manakala Taqi duduk di sebelah ABAH. Taqi pada asalnya meragam tak mahu keluar daripada kereta, letih katanya. Namun, ABAH memujuk Taqi dengan ABC dan Taqi bersetuju untuk turun.

ABAH pesan nasi ayam dan teh beng (teh ais) dan ABC untuk Taqi. Warung ni kecil je, di perkarangan rumah pemiliknya. Warung ni dibina daripada kayu-kayu, tapi bayangkan, turun temurun sejak zaman Mama belajar sehinggalah hari ini, perniagaan ini telah diwarisi generasi anak-anak pemilik asalnya. Jangan pandang rendah perniagaan kecil!

 

ABC Taqi pun sangat berwarna warni. Taqi makan sikit je, lepastu dah tak mahu. Terpaksalah ABAH berkorban menghabiskan ABC Taqi. ABC sini sedap, tak manis sangat. Isinya juga banyak. Nasi ayam ABAH macam biasa je. Sedaplah walaupun tidaklah luar biasa. ABAH order nasi ayam ni pun sebab tak minat sangat nasi air. 

Lepas dah kenyang makan tengahari, kita pulang berehat di rumah atok.