Bercuti di Pulse Grande Hotel, Putrajaya

Di Bandung, ABAH masih ingat ABAH berjanji pada Taqi untuk kita berjalan di Farmhouse di mana kita boleh jalan-jalan tengok haiwan dan bergembira. Namun, tanpa dijangka, urusan bisnes ABAH dan Mama mengambil masa penuh sehari dan kita terpaksa batalkan hasrat ke Farmhouse di Bandung.

Kenapa Trip Ke Pulse Grande Hotel ini Boleh Terjadi?

ABAH dan Mama rasa bersalah sangat. Jadi, ABAH dan Mama ingin menebus kembali janji kepada Taqi ini, ABAH dan Mama mencari satu hotel yang berdekatan Kuala Lumpur untuk kita sekeluarga berehat dan bersantai dan fokus kepada aktiviti anak-anak.

Antara ciri yang perlu ada untuk hotel ini adalah bilik dengan katil bersaiz King dan bilik yang dilengkapi bath tub. Hasil pencarian menemukan ABAH dengan Pulse Grande Hotel di Putrajaya.

Perjalanan Ke Pulse Grande Hotel, Putrajaya

Kita bertolak keluar dari rumah sekitar jam 1:15 petang. Destinasi pertama adalah restoran Tanjung Seafood, Ampang Waterfront bagi mengisi perut untuk makan tengahari. ABAH dan Mama macam dah order makanan yang sama je, ABAH makan nasi goreng daging dengan air bandung kurang manis, Mama order bihun tomyam ayam kurang pedas. Untuk Taqi, ABAH order bihun sup dan air tembikai kosong. Amir dan Amirah pun minum air tembikai kosong yang dibahagikan kepada 2 gelas kecil. Orang kedai pun dah biasa dengan permintaan ABAH ini.

Di Tanjung Seafood, Taqi, Amir dan Amirah tidak makan sangat. Mungkin semua dah minum susu sebotol sebelum keluar rumah tadi. Bihun sup Taqi pun ABAH terpaksa bungkus kerana tak habis.

Di Tanjung Seafood, Taqi pergi tandas 2 kali: pertama untuk buang air kecil, kedua untuk buang air besar.

Destinasi kedua, pasaraya untuk ABAH beli lampin XL Amir Amirah beserta susu UHT. Kemudian, kita singgah ke Butik Cozy Lady untuk mengambil beberapa barang, akhirnya, menjelang jam 3 petang barulah kita memulakan perjalanan ke Pulse Grande Hotel, Putrajaya.

Mengenai Pulse Grande Hotel Putrajaya

Sejujurnya, memang ini kali pertama ABAH mendengar nama Pulse Grande Hotel. Hotel apakah ini? Baguskah? Boutique Hotel ke?

Namun, carian Google mendapati bahawa Pulse Grande Hotel Putrajaya ini dahulunya adalah Shangri-La Putrajaya. Mulai 1 Januari 2018, nama hotel ini telah ditukar sebagai sebahagian daripada branding exercise. Pulse Grande Hotel Putrajaya di Precint 1 ini adalah hotel pertama dan dijangka akan dibina hotel lain dengan jenama Pulse Grande pada masa hadapan.

ABAH tak pasti samada hotel ini masih dimiliki oleh Shangri La atau sudah dijual.

Walaupun telah bertukar nama kepada Pulse Grande Hotel, ianya masih mengekalkan taraf 5 bintang yang diberikan kepada Shangri La Putrajaya. Terdapat 118 bilik hotel yang boleh diduduki. Ada deluxe room, family room dan suite, bergantung kepada bajet.

Lokasi Pulse Grande Hotel Putrajaya ini adalah di Presint 1 Putrajaya. Bagi yang pernah ke Putrajaya, nak bagi senang cerita, Pulse Grande Hotel Putrajaya ini terletak di dalam taman Putra Perdana, taman yang terletak di dalam kawasan bulatan besar di tengah-tengah Putrajaya ni. Orang yang jarang-jarang datang Putrajaya macam ABAH memang menyampah dengan bulatan ini sebab selalu keliru nak keluar mana.

Mahal ke kadar harga bilik hotel? ABAH rasa, untuk hotel 5 bintang, harga yang ditawarkan adalah berpatutan. ABAH dapat harga sekitar RM240 untuk satu malam. Di Booking.com rasanya sedikit mahal. Dan dengarnya, kalau pegawai kerajaan, ada kadar yang istimewa, cuma kena telefon bahagian reservation untuk tanya lanjut. Beruntung kerja kerajaan.

Sampai ke Destinasi

Mujur trafik sepanjang perjalanan agak lancar. Jam 3:40 petang, kita selamat tiba di hotel. ABAH pada mulanya tidak pasti nak letak kenderaan di mana. Jadi, ABAH terus pandu ke pintu lobi dan bertanya pengawal yang bertugas di sana. Rupanya, perlu untuk meletak kenderaan di kawasan parking yang terletak jauh sedikit dari lobi hotel, kemudian akan ada buggy yang akan ambil ke lobi.

Alang-alang kereta dah sampai ke pintu lobi, ABAH menurunkan barang-barang. Mama, Amirah dan Taqi pun turun ke lobi. Amir masih nyenyak tidur. Pegawai hotel membawa troli barangan untuk mengangkat barangan kami. ABAH kembali memandu ke kawasan parking yang terletak lebih kurang 400 meter daripada pintu lobi. ABAH meletakkan kenderaan dan kelihatan satu buggy telah bersedia untuk mengambil ABAH. Sejurus ABAH meletakkan kenderaan, Amir terbangun dan biasalah, terus menangis. ABAH bergegas mendukung Amir, ambil beg galas dan menaiki buggy untuk bertemu Mama dan Taqi ke lobi.

pulse grande hotel putrajaya
Di Lobi Hotel

Proses check-in tidak mengambil masa yang lama. ABAH memberikan kad pengenalan kepada pegawai bertugas. Cuma yang lainnya, pegawai terus cucuk kad pengenalan ABAH dalam mesin pembaca cip dan terus print maklumat ABAH yang diekstrak daripada kad pengenalan ABAH. ABAH tidak perlu lagi mengisi maklumat peribadi. Sangat memudahkan.

Kad kunci bilik diterima, tetapi Mama berbisik kepada ABAH yang masih ada barang tertinggal di kereta. Jomlah semua naik buggy ke kereta, ABAH ajak. Satu pengalaman baru. Buggy dipanggil untuk membawa kita sekeluarga ke parking kereta. Taqi suka sangat nampaknya dapat naik buggy walaupun dekat.

Excited naik buggy

Selepas kita kembali ke hotel, kita terus menuju bilik. Barangan kita dibantu untuk dibawa ke bilik oleh pegawai hotel. Sepanjang koridor luar bilik dipasangkan karpet berwarna oren yang nampak sangat selesa. Disebabkan kita berada di tingkat paling atas, bumbung koridor direka dengan bahan lutsinar yang membolehkan cahaya matahari masuk. Di bahagian bawah pula kelihatan taman hiasan dengan pohon hidup. Di koridor bilik, diletakkan beberapa kerusi dan sofa perbincangan.

Sampai ke bilik, pintu dibuka. Alhamdulillah, nampak selesa. Bilik kita menghadap ke Perdana Putra, iaitu bangunan simbolik pejabat Perdana Menteri Malaysia. Saat ABAH menulis ini juga ABAH berlatarbelakangkan pejabat Perdana Menteri ini. Telah banyak yang berlaku 2 bulan ini kepada negara kita Malaysia.

Kita sempat berehat, bersolat dan explore bilik kita ini. Semua anak-anak nampak excited, maklumlah, di tempat baru. Aktiviti pertama hari ini, mandi di swimming pool!