Bookxcess Cyberjaya: Kedai Buku 24 Jam

Lebih kurang 2 bulan lepas, ketika Bookxcess Cyberjaya baru dibuka, memang viral betul. Mana taknya, Bookxcess  ini adalah kedai buku 24 jam yang pertama di Malaysia! Dah macam 7-Eleven dah. ABAH dan Mama memang dah lama tertarik nak ke sini, tapi masa pula mencemburui. Jadi, alang-alang kita sedang bercuti di Putrajaya, apakata singgah sebentar ke kedai buku ini?

Mengenai Bookxcess Cyberjaya

Kedai buku ini adalah milik Bookxcess.com. Ini adalah pihak yang sama menganjurkan jualan buku the Big Bad Wolf. Taqi pernah juga ikut Mama ABAH ke salah satu jualan buku the Big Bad Wolf beberapa tahun lepas, waktu tu ianya dianjurkan di the Mines.

Lokasinya adalah di Tamarind Square, di Cyberjaya. Berdekatan dengan Multimedia University (MMU).

Jom Pergi Kedai Buku

Dari hotel Pulse Grande Putrajaya, kita hanya mengambil masa 20 minit untuk tiba di kedai buku ini. Ini sebenarnya pertama kali ABAH memandu masuk ke kawasan Cyberjaya. Baru pertama kali nampak D’pulze Shopping Mall, MMU dan banyak juga pembangunan terancang di Cyberjaya. 

Sampai je di Tamarind Square (terima kasih Google Maps), ABAH macam keliru sedikit nak ke mana, sebab bangunan Tamarind Square ni macam separa siap, masih ada kawasan dalam pembinaan lagi. Akhirnya, kita memasuki kawasan parking di tingkat bawah bangunan. Memang tiada papan tanda lain di bawah parking tu, ABAH nekad untuk parking di satu kawasan yang nampak meriah dengan kereta parking situ.

Dari kawasan parking, kita menaiki lif ke ground floor. Dari situ, ABAH terperasan gambar mata yang seakan-akan logo Bookxcess, jadi, ABAH hanya mengikuti logo tersebut.

Dari ground floor itu, ternampaklah keadaan rumah kedai yang memang banyak kosong. Ada juga yang dalam fasa renovation. Tapi terkejutlah juga ada juga beberapa kedai makan hipster dan kedai dobi terselit di celah-celah bangunan separa siap ni. Kita berjalan dalam 100 meter dan nampak kedai buku Bookxcess di tingkat 2 blok seberang jalan. Terdapat escalator untuk naik ke tingkat 2 berhadapan dengan kedai buku.

Jauh jugalah kita berjalan dari parking nak ke Bookxcess, mujurlah ABAH dan Mama pakai SSC, takdelah rasa berat sangat anak-anak ni di tangan.

Kedai Buku Bookxcess Cyberjaya

Secara visualnya, memang gaya susunan kedai buku ini adalah gaya hispter minimalis. Tema hiasannya memang macam gudang, cumanya lebih baik daripada keadaan hiasan Big Bad Wolf. Cuma yang lebih baik di kedai buku ini, buku disusun mengikut genre dan tidaklah bersepah judul buku di merata-rata macam buku longgok.

Antara tujuan utama kita ke sini adalah untuk mendapatkan buku untuk Taqi. ABAH ada membelikan banyak buku untuk Taqi, tapi kebanyakannya level yang terlalu mudah bagi Taqi. ABAH kena cari buku yang lebih mencabar pembacaan lagi.

Memang besar kedai buku ni. Cumanya, yang menarik perhatian ABAH, kedainya ni dibina atas kawasan yang sepatutnya menjadi parking bangunan. Jelas lagi tanda kotak parking di lantai kedai. 

Kawasan buku kanak-kanak juga tidak kurang besarnya. Taqi sangat suka nampak banyak buku. Taqi yang tadinya kata dah penat nampak kembali segar. Ada juga sudut bacaan untuk kanak-kanak membaca. Taqi ambil beberapa buku dan mula membaca.

ABAH membelikan 5 buku untuk Taqi. Buku-buku di sini semuanya harga 50%-75% diskaun daripada harga asal. Cumanya tak banyak buku terbaru, sebab banyak buku-buku di sini adalah buku baru tapi edisi lama. Bukunya pula hampir semua adalah berbahasa Inggeris. Tapi untuk Taqi, memang berbaloi sebab buku kanak-kanak ni evergreen tajuknya.

Kesimpulan

Secara umumnya, buku di Big Bad Wolf adalah lebih murah, terutamanya buku kanak-kanak. Tapi di Big Bad Wolf, memang susah sikit nak cari sebab susunan yang biasanya dalam longgokan. Di sini harganya masih dianggap murah, jadi, kalau anda malas nak bersesak di Big Bad Wolf, kedai buku Bookxcess ini berbaloi untuk dikunjungi.

Taqi dah tak sabar nak membaca buku-buku barunya. Baru masuk kereta dah buka satu. Bagus anak ABAH ni, moga terus konsisten dengan minat membaca.