Taqi dan Tabiat Membaca Kanak-kanak

Hari ini ABAH nak menulis sedikit catatan pemerhatian ABAH terhadap perkembangan anak-anak dan bagaimana boleh memupuk tabiat membaca kanak-kanak.

Taqi dan Buku

Taqi sejak kecil lagi sudah kelihatan minat Taqi dengan buku. ABAH tak pasti dari mana Taqi boleh dapat minat ini, tapi ABAH sangat suka. Apabila Taqi sudah mula boleh membaca, ianya seolah-olah satu kunci bagi Taqi untuk membawa minat membaca ke satu tahap baru.

Memang sejak kecil lagi Taqi membesar dengan buku. Dulu sewaktu hanya Taqi seorang di rumah, memang ABAH masih ada masa membaca buku lagi. Balik dari kerja, lepas main dengan Taqi, mandikan Taqi dan tidurkan Taqi, memang ABAH ada dalam 1-2 jam untuk membaca. Kadang-kadang, waktu Taqi tidur lewat, memang Taqilah yang meneman ABAH membaca.

Dan pada waktu itu, ABAH masih aktif menjalankan usrah di kolej-kolej persediaan, memang ABAH selalu merujuk kepada bahan bacaan di kala Taqi memerhatikan. Sampai ada masanya Taqi tolong ABAH selak-selak buku macam faham je.

Kini, Taqi sudah hampir masuk umur 5 tahun. Banyak juga buku-buku yang ABAH terpaksa gantikan kerana ‘terlalu mudah’ bagi tahap Taqi. Dan Taqi juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap bahan bacaan yang ada peta, bendera dan nama negara.

Dalam kunjungan kita ke Bookxcess minggu lepas, ABAH berjaya mendapatkan beberapa buku yang mempunyai peta dan gambar bumi. Taqi sangat suka satu buku bertajuk Young Learner’s Atlas dan memang dibawa ke tidur lah. Sebelum tidur Taqi baca, selepas balik ke rumah pun baca buku tu, dan siap beritahu ABAH, di mana Malaysia, di mana Indonesia, Japan dan sebagainya. Pandai anak ABAH cepat faham. Di samping buku peta tersebut, ABAh turut membelika satu globe dunia dari Kaison. Taqi gemar mencari negara atau bandar yang dibaca dalam buku untuk disamakan dengan dalam globe.

tabiat membaca kanak-kanak

Memupuk Tabiat Membaca Kanak-kanak

Ramai juga kenalan yang bertanya, bagaimana untuk memupuk tabiat membaca kanak-kanak? Secara jujurnya, ABAH pun takdelah skema jawapan untuk diikuti, tapi berikut adalah beberapa cara dan tips yang ABAH amalkan, bolehlah tambah tolak ikut tahap dan kesesuaian anak kita, maklumlah, anak kita ni manusia, bukannya mesin.

1. Ibu bapa perlu ada tabiat membaca

Yang ini ABAH rasa paling penting. Sejak kecil, anak-anak memerhatikan apa yang ibu bapa lakukan dan ibu bapa adalah role model utama yang membentuk personaliti anak-anak. Jika ibu bapa asyik menonton televisyen, ada kemungkinan anak-anak membesar suka menonton televisyen kerana mengambil contoh ibu bapa. Di sini, mahu atau tidak, ibu bapa sendiri perlu membunyai minat dan tabiat membaca.

2. Perkenalkan buku kepada anak-anak sejak kecil

Yang ini ramai terlepas pandang kerana merasakan anak masih kecil dan tidak boleh membaca. Langkah pertama untuk anak minat membaca adalah untuk membiasakan dia dengan buku. Belikan buku jenis kain atau kalis air (dan kalis koyak) untuk anak biasakan dan boleh meniru perbuatan ibu bapa menyelak buku. Mereka akan merasakan seronok kerana dapat melakukan apa yang ibu bapa buat. Ini adalah langkah penting untuk anak suka kepada buku.

Jangan risau jika anak kelihatan tidak minat buku, menggigit buku serta cubaan mengoyakkan buku. Ini adalah normal bagi kanak-kanak bawah 4 tahun. Jangan terus menghalang mereka atau lebih teruk, memarahu mereka kerana mereka akan associatekan buku dan kemarahan ibu bapa.

3. Bawa anak ke perpustakaan

Mungkin keluarga macam kami di mana duduk di rumah yang sempit, tiada ruang luas yang khusus untuk mempamerkan buku. Jika ingin mendekatkan anak dengan suasana penuh buku, boleh bawa ke perpustakaan yang berdekatan. Di Malaysia, sudah terdapat banyak perpustakaan mesra kanak-kanak, antaranya perpustakaan di Shah Alam yang kita ada kunjungi beberapa bulan lepas.

4. Bawa anak ke kedai buku

Apabila anak sudah berumur 3 tahun, bolehlah mula bawa anak ke kedai-kedai buku. Pada tahap umur sebegini, anak-anak sudah membina personaliti dan autoriti. Mereka ingin terlibat dalam decision making yang melibatkan diri mereka. Biarkan mereka memilih bahan bacaan untuk dibaca dan dibeli (tapisan ibu bapa sudah tentu diperlukan), dan reward mereka dengan membelikan buku.

5. Jadikan membaca buku aktiviti keluarga

Antara kesalahan ibu bapa dalam memupuk semangat membaca kepada anak-anak adalah menganggap membaca ini adalah aktiviti pasif anak-anak. Ramai yang membelikan dan memberikan buku kepada anak-anak, lalu dibiarkan anak-anak itu membaca berseorangan. Ibu bapa sibuk melakukan kerja masing-masing. Sebaliknya, cuba untuk peruntukkan masa membaca bersama, berkomunikasi dengan anak dan bertanya soalan kepada anak-anak. Mereka akan rasa sangat dihargai, dan akan merasakan mendapat sepenuh perhatian ketika membaca, seterusnya menjadikan mereka tertunggu-tunggu aktiviti membaca bersama ibu bapa.

Kesimpulan

Tips-tips ABAH untuk memupuk tabiat membaca kanak-kanak ini bersifat peribadi dan terhasil berdasarkan pengalaman membesarkan Taqi. ABAH bukanlah pakar kanak-kanak tetapi jika dirasakan ada tips yang sesuai, bolehlah diamalkan.