Cabaran Anak Kembar

ABAH tak nafikan, sebagai ibu dan bapa, ABAH dan Mama terasa cabaran anak kembar ni. Tapi, ABAH dan Mama sangat sayang Amir dan Amirah, walaupun kadang-kadang tu rasa penat, tapi terasa rindu pula kalau dah tidur, macam saat ABAH menulis blog ini. ABAH rakamkan sedikit perasaan ABAH dan Mama sepanjang besarkan Amir dan Amirah.

Pagi 14 Mei 2016. Waktu ini memang ABAH dan Mama sudah mengetahui yang Mama mengandung berdasarkan ujian air kencing yang dibeli di farmasi. Tapi pada masa ini ABAH hanya tergerak hati untuk membawa Mama untuk scan kandungan buat pertama kali. Kandungan masa ni dalam 9 minggu, memang confirm tak nampak apa sangat, tapi sekadar nak tahu semuanya OK atau sebaliknya, Nauzubillah.

Scan Kembar

ABAH, Mama dan Taqi ke Klinik Fauziah, Ampang untuk scan bayi. Seperti biasa, walaupun datang awal pagi, klinik ni memang ramai orang datang untuk scan bayi macam Mama. Apabila tiba giliran Mama, nama dipanggil dan kita masuk berjumpa doktor untuk dibuat pemeriksaan.

Doktor yang memeriksa mama adalah Dr Halimah. Beliau minta Mama berbaring di atas katil yang disediakan lalu meletakkan gel di atas sensor mesin ultrasound tersebut. 

Tak sampai 1 minit dia letak sensor tu di perut mama, doktor berkata, “wah, tahniah, ini kembar, ada 2 kantung”

ABAH dan Mama terkesima. Tak terfikir pula akan dapat anak kembar. Inilah kali pertama ABAH tengok Amir dan Amirah dalam perut. Takdelah nampak apa-apa, tapi nampak 2 kantung yang separated. Masih belum boleh dipastikan jantina pada waktu ini.

Alhamdulillah. Insyaallah kami akan menerima sepasang 'fraternal twins' – kembar tidak seiras menjelang hujung tahun…

Posted by Muhammad Huzaifah on Sabtu, 14 Mei 2016

Cabaran Anak Kembar

ABAH bahagikan cabaran ini kepada beberapa fasa.

Fasa pertama, fasa mengandung. Secara umumnya, fasa ini, Mama yang banyak merasakannya. Berbanding mengandungkan Taqi dulu, memang nampak jauh beza kepenatan Mama. Mana taknya, mengandungkan dua bayi yang masing-masing membesar dengan pesatnya dalam rahim mama. Kedua-dua Amir dan Amirah memerlukan nutrien yang banyak daripada mama.

Dalam fasa ini, Mama memang cepat lapar dan cepat penat. Apabila dah dekat dengan due date, memang besar nak meletup perut mama tu. Macamanalah Amir dan Amirah boleh bertolak-tolakan dalam tu ye.

Dalam fasa ini juga, Taqi banyak berkorban. ABAH ke pejabat dari pagi sampai ke petang. Mama pula tak larat sangat nak bermain dengan Taqi seperti dulu. Jadi, Mama terpaksa memasang televisyen untuk Taqi sepanjang hari. Sampai ke hari ini ABAH dan Mama rasa bersalah kepada Taqi. Memang Fasa ini Taqi terabai.

Fasa Kedua, fasa bersalin. Sejurus selepas mengetahui Mama mengandungkan kembar, doktor Halimah terus refer mama ke hospital. Selepas sedikit research, ABAH memilih Dr Jean Woo daripada Gleneagles sebagai pakar sakit puan untuk menguruskan urusan bersalin Mama. Menurut review di internet, beliau memang berpengalaman menyambut kelahiran kembar, mungkin sebab beliau juga banyak buat terapi hormon dan kesuburan bagi pasangan yang tiada rezeki anak.

Untuk kandungan kembar, ianya dikategorikan sebagai berisiko. Jadi, selepas berbincang dengan doktor, atas nasihat pakar, ABAH dan Mama bersetuju untuk Mama bersalin secara C-section, iaitu pembedahan. 

Bayangkan perut dibelah untuk mengeluarkan bayi, luka tu sangat besar dan dalam, memerlukan bulan malah ada yang sampai tahun untuk betul-betul pulih dan sembuh. Kesakitan C-section ini adalah selepas bersalin akibat luka bersalin tersebut. Inilah pengorbanan Mama yang tidak terhingga, Taqi, Amir dan Amirah perlu sentiasa sayang Mama.

Fasa ketiga dan terakhir, adalah fasa membesarkan. Ini adalah fasa paling mencabar buat ABAH dan Mama. 

Selepas kelahiran Amir dan Amirah, alhamdulillah, berkat pengalaman dengan Taqi dulu, ABAH Mama adalah sedikit persiapan ilmu dan persiapan mental. Namun, ternyata cabaran anak kembar ni lain sikit. Seminggu pertama Amir dan Amirah di rumah tu memang ABAH Mama tak tidur. Mama sibuk nak menyusukan Amir Amirah sebab nak melawan demam kuning, ABAH pun turut bangun untuk membantu mama menguruskan perkakasan menyusu Mama. Tapi pula terganggu tidur dek tangisan adik selang sejam. Memang waktu ini sangat stress.

Mama pula lebih tertekan sebab menjelang pagi, ABAH perlu ke pejabat, tinggal Mama untuk menguruskan 3 anak berseorangan.

Cabaran mengurus kembar ini lebih terasa kerana ABAH dan Mama juga ada Taqi selaku anak sulung. Taqi sebenarnya banyak berkorban sepanjang tempoh Mama mengandungkan Amir dan Amirah dan termasuklah sewaktu setahun awal adik-adiknya. 

Dan dalam fasa inilah ABAH berkeputusan untuk bercuti tanpa gaji daripada PNB.

Fasa membesarkan ini tidak akan berakhir. Di setiap fasa umur anak-anak, pasti akan ada cabaran dan dugaan. Jika pada setahun pertama umur Amir dan Amirah, ABAH dan Mama lebih sibuk menguruskan keperluan fizikal seperti susu, cukup makan, sakit dan sebagainya, fasa selepas satu tahun hingga ke dua tahun ini ABAH dan Mama perlu juga untuk menguruskan lebih banyak keperluan emosi Amir dan Amirah. Berebut barang, bergaduh sesama kembar dan dengan Taqi, merajuk, ingin bermain dan berjalan dan sebagainya.

Menjadi ibu bapa ini adalah suatu perjalanan yang memenatkan. Tetapi ABAH percaya, perjalanan ini walau sepenat mana pun, ianya adalah berbaloi demi menjadikan anak-anak ABAH manusia yang bermanfaat.