Trip ke Pasar Kubur

Hari ini, ABAH dan Mama ada satu misi seawal pagi, untuk ke pasar kubur bagi membeli barangan segar. Selama ini, ABAH dan Mama hanya membeli barangan dapur secara online ataupun hanya ke pasaraya besar seperti Tesco atau Aeon Big kerana ingin menjimatkan masa dan kedua, kerana kawasannya yang selesa untuk membawa anak-anak kecil.

Tapi, di pasaraya-pasaraya besar ni, kekurangannya, produk-produk basah tidaklah sebanyak atau sesegar pasar-pasar tani ini. Demi barangan yang segar, ABAH dan Mama rasa anak-anak sudah bersedia ke pasar ini.

Ke Pasar Kubur Ampang

ABAH sebenarnya tak pasti nama sebenar pasar ini, cumanya orang tempatan seperti ABAH ini memang panggil pasar kubur, sebabnya, pasar ini terletak berdekatan sahaja dengan tanah perkuburan Islam Taman Kosas. Kawasan ini berdekatan sahaja dengan jalan menuju ke Kampung Dato Mufti Shuib atau yang orang tempatan panggil Kampung Tengah.

Selepas memandikan Taqi, Amir dan Amirah, sekitar jam 8.30 pagi, kita terus bertolak ke pasar. Seperti dijangka, oleh kerana hari ini hari Ahad, sekitar jam 8.40 pagi ini sudah terdapat banyak kereta memenuhi ruangan parking tepi jalan.

Setelah meletakkan kereta kita, ABAH bawa Amir dalam SSC dan Mama bawa Amirah dalam SSC Mama, manakala Taqi ABAH pimpin.

Disebabkan kita parking sedikit jauh daripada pasar, kita terpaksa melalui beberapa gerai yang dibuka sepanjang jalan ke pasar itu. Kebanyakannya adalah gerai makanan, ada makanan siap untuk sarapan seperti nasi berlauk, kuih muih dan sebagainya, Ada juga yang menjual bahan-bahan mentah seperti ikan bilis dan sayuran.

Mama pula di sini sudah terliur dengan pelbagai makanan yang nampaknya unik dan sukar didapati di tempat lain.

Beli Bahan Mentah Dapur

Kita terus menuju ke pasar utama, di belah kiri pintu masuk utama adalah kawasan ikan, terdapat 2 gerai menjual ikan. Di belah kanan pintu adalah gerai sayur-sayuran dan jika terus ke hadapan, gerai ayam dan daging.

Kita singgah ke gerai ikan dahulu sebab ini adalah fokus utama kita ke sini. Abah mencari ikan selar yang besar, sebab Mama nak menggoreng ikan ini untuk dipadankan dengan kuah masak lemak pucuk paku. Di pasaraya besar, ikan-ikan selarnya kecil-kecil belaka. Di sini, walaupun ikan selarnya tidaklah besar sangat, tetapi agak sederhana dan masih sesuai untuk dimakan dengan puas. ABAH mengambil 5 ekor ikan selar lalu diberikan kepada penjual untuk dibersihkan.

Ni rupa ikan selar kalau Taqi tak ingat.

Gambar kredit: Iluminasi

Taqi agak excited sebab dapat tengok banyak ikan, udang dan ketam. Ada ikan besar, kecil, ada ikan lebar macam ikan pari, ada ikan panjang macam ikan tongkol. Nanti Taqi kena belajar nama-nama ikan tau, persiapan untuk ke alam rumah tangga nanti, hehe.

Amir dan Amirah yang bertenggek di belakang Mama ABAH sekali sekala berbunyi sebab excited tengok ramai orang dan banyak ikan.

Selain itu, Mama turut membeli 4 kepingan ikan tenggiri untuk dimasak di rumah.

Kemudian, kita ke bahagian sayuran pula, di sini, mama membeli beberapa bahan untuk dimasak.

Kita tidak membeli ayam sebab masih ada dalam peti sejuk di rumah, tetapi waktu Mama sedang sibuk memilih sayuran, Taqi terlihat gerai ayam. Di sini, ayam disembelih fresh sebelum dicabut bulu dan dibersihkan lalu dijual. Taqi tertarik melihat ayam-ayam hidup dalam sangkar yang menunggu giliran untuk disembelih.

Taqi kata kesian ayam-ayam ni, lalu ABAH kata, memang ayam dibela untuk manfaat manusia dengan manusia memakannya, cuma kita nak sembelih dengan cara terbaik.

Sarapan di Gerai Berdekatan

Dengan berplastik di tangan, kita terus menuju ke warung yang terletak di bersebelahan sahaja dengan pasar utama. Perut dah berkeroncong, jam menunjukkan pukul 9 pagi. 

Warung-warung di tepi pasar ini sangat ringkas dan tiada sebarang hiasan khusus, tetapi semua warung penuh dengan pelanggan.

Entah mengapa, ABAH memilih warung di hujung paling jauh sekali daripada pasar. ABAH sebenarnya tak pernah lagi bersarapan di sini, sebab selama ni pergi terus balik, jadi, ABAH memang tak tahu warung mana yang sedap atau tidak. Kita cuba ye.

Kita duduk di satu sudut. ABAH dan Mama berkeputusan tidak mengambil kerusi bayi walaupun ada, sebab risau ada virus HFMD, huhu. Amir hanya kekal bertenggek di belakang ABAH dalam SSC, Amirah Mama lepaskan di kerusi sebelah Mama.

Kita memesan bihun sup untuk Mama, Roti Goyang untuk ABAH, Kuey Teow sup untuk Taqi dan Kuey Teow goreng untuk ABAH. Yang sampai dahulu adalah bihun sup Mama, diikuti kuey teow goreng Amir Amirah, kemudian kuey teow sup Taqi lalu barulah roti goyang ABAH.

Bihun Sup Mama

Roti goyang ABAH

Walaupun makanan humble di warung, makanannya tetap sedap dan mengenyangkan. Sebab tu ABAH tulis di Facebook ABAH yang rahsia makanan tersedap duni adalah di warung-warung kampung begini, bukan di hotel-hotel mewah.

Alhamdulillah kenyang. Mama nak sangat ke pasar ini lagi setiap hujung minggu, tapi kita tengoklah macamana, bukannya setiap hujung minggu kita ada di Ampang. Taqi pun nampaknya belajar banyak benda melalui trip singkat ke pasar ini.