Aktiviti di Hotel Bangi-Putrajaya

Kita sampai di hotel sekitar jam 2 petang dan selesai check in dengan lancar. ABAH dan Mama tidak menunggu lama untuk terus menjalankan aktiviti di hotel ini.

Aktiviti di Hotel – Mandi Kolam Renang

Pada asalnya, ABAH rancang untuk kita mandi di kolam renang selepas Asar, sebab nak tunggu cuaca sedikit redup. Tapi, bila ABAH perhati kolam renang di luar bilik, terdapat ramai juga yang sedang mandi manda di dalam kolam itu. Kolam renang hotel ini juga dikelilingi pokok yang agak rimbun, menjadikan kawasannya nampak tidak terlalu panas.

Jadi, setelah berehat sebentar di bilik, sekitar jam 3:30 petang, ABAH dan Mama berkeputusan membawa Taqi, Amir dan Amirah untuk terus mandi di kolam renang hotel. Anak-anak pun nampaknya dah tak keruan tiada aktiviti di hotel ini sejak sampai tadi.

Kolam renang terletak di bahagian luar hotel, pada tingkat Ground. Ada dua cara daripada bilik kita di tingkat 3 untuk ke kolam renang, menggunakan lif dan menggunakan tangga. Untuk kali pertama ini, ABAH dan Mama saja nak bawa anak-anak turun tangga. Tangga utama di kawasan tengah hotel ini memang cantik, ala-ala tangga di rumah agam atau istana. Di tingkat 2 ada surau untuk orang awam dan di ground floor terletaknya bar, restoran, dan dewan konferens.

Taqi, Amir dan Amirah bercahaya mata apabila nampak kolam renang. Di kolam renang pada ketika ini, ada beberapa mat salleh juga sedang bersantai dan mandi di kolam. ABAH dan Mama mempersiapkan Taqi, Amir dan Amirah ke pakaian mandi dan ABAH dan Mama juga menyalin pakaian untuk turun ke kolam renang.

Semu dah bersedia nak terjun ke kolam

Semua sudah lengkap dengan alatan masing-masing. Taqi dengan pelampung orennya dan swimboard beli dari Mr DIY, Amir dan Amirah masing-masing dengan pelampung hijau dan merah jambu.

Di sini ada juga swimming pool kanak-kanak yang sangat cetek, budak-budak pun boleh berdiri di sini, tapi ABAH dan Mama nak smua anak-anak belajar goyangkan kaki dalam air, pertama untuk galakkan berenang dan kedua untuk membuang tenaga anak-anak.

Hampir sejam juga kita berendam di dalam swimming pool tu, sampai menggigil anak-anak ABAH. Dalam jam 4:45 petang, kita mengeringkan badan masing-masing untuk sama-sama bersiap pula untuk makan malam di Little White Cafe yang terletak dekat Bangi Sentral.

Memberi Makan Ikan

Satu lagi aktiviti menarik untuk anak-anak di hotel Bangi-Putrajaya ini adalah memberi makan ikan. Tak pastilah anak orang lain macam mana, tapi Taqi, Amir dan Amirah cukup suka aktiviti ini.

Di hotel ini, kolam ikannya cukup besar dan terletak hanya bersebelahan dengan kolam renang. Ada jambatan yang melintangi kolam ikan tersebut dan ada ruang di mana kolam ikan itu hanya bersebelahan sahaja dengan tempat berjalan dan memang kawasan itu adalah hotspot orang memberi ikan makan.

Tapi awas, jangan beri makan sebarangan. Ada notis di situ untuk hanya memberi ikan makanan khas yang boleh dibeli di Kiosk hotel yang terletak di Ground Floor hotel ini.

Taqi, Amir dan Amirah melakukan aktiviti beri makan ikan ini pada hari kedua kita di hotel. ABAH membeli sebungkus makanan ikan di kiosk dengan harga RM5. Makanan ikan ini berbentuk palet berwarna hijau keperangan. Taqi paling awal memberanikan diri memberi ikan makan dan diperhatikan Amir dan Amirah. Sekali Taqi campak makanan ikan itu, berkumpul semua ikan sampai terlompat-lompat dan saling menindih ikan-ikan tersebut. Lapar sungguh rupanya.

Selang seminit, Amir dan Amirah mula berminat dan memberanikan diri memberi ikan-ikan ini makan. Mama kamu penggeli sikit tengok banyak-banyak ikan melompat ni. Awal-awal tu menjerit jugalah Mama lihat ikan berkumpul macam tu.

Taqi memulakan sambil diperhatikan adik-adik
Amir dan Amirah dah mula nak mencuba
aktiviti di hotel
edf

Memandangkan anak-anak nampak sangat seronok memberi ikan makan, ABAH pun membeli lagi 2 bungkus makanan ikan untuk kita habiskan esok pula.

Mandi Bathtub

ABAH memang sengaja booking bilik yang ada bathtub sebab ABAH tahu anak-anak ABAH takkan puas mandi di swimming pool. Swimming pool di hotel ini juga tutup awal, pada jam 7 malam dan hanya akan dibuka semula pada jam 7 pagi. Jadi, kalau anak-anak ABAH nak mandi lagi, bolehlah sambung malam-malam dalam bathtub di bilik.

Kesimpulan

ABAH suka hotel ini kerana ada aktiviti lain selain mandi boleh dilakukan. Kawasannya juga luas untuk anak-anak berlari-lari di padangnya. Kalau rasa malas nak mencari program dan aktiviti di Bangi, bolehlah menghabiskan masa di hotel buat aktiviti dengan anak-anak. Aktiviti ringkas, tapi menyeronokkan anak-anak.