Bangi-Putrajaya Hotel – Percutian Singkat Kita

Rasanya masih belumlah lama sangat kita bercuti di Hotel Pulse Grande Putrajaya beberapa minggu lepas, tapi Mama dan ABAH lihat anak-anak sangat suka bermain di bath tub dan swimming pool, jadi, Mama pun ajak sekali lagi pergi ke hotel berdekatan, memandangkan ABAH pun sedang bercuti setahun ini. Setelah dicari di internet, akhirnya, ABAH dan Mama berkeputusan untuk membawa Taqi, Amir dan Amirah ke Bangi-Putrajaya Hotel kali ini.

Mengenai Bangi-Putrajaya Hotel

Bangi-Putrajaya Hotel? Itulah yang pertama kali ABAH ucap waktu Mama cadangkan kita bercuti di sini. Sejujurnya, ABAH memang tak pernah dengarlah hotel ini. Tapi, setelah ABAH buat carian Google sedikit, barulah tahu sedikit sebanyak mengenai Bangi-Putrajaya Hotel ini.

Hotel ini dahulunya adalah salah satu jenama hotel Equatorial. Entah mengapa sekarang ni dah dibuang jenama Equatorial tersebut. 

Hotel ini merupakan hotel 5-bintang, menurut laman webnya. Hotel ini terletak bersebelahan dari Bangi Golf Club dan memang hotel ini dikelilingi oleh padang golf. Jika minat golf, mungkin ini penempatan yang selesa dan bagus kalau nak bermalam sambil main golf. Selain itu, hotel ini juga banyak menjadi tempat untuk konferens atau majlis perkahwinan, jadi, sentiasa sibuk nampaknya.

ABAH biasalah, cheapskate sikit, jadi, ABAH tengok dulu laman web seperti Agoda, Booking.com untuk harga semalam hotel ini. Kemudian, ABAH check pula di laman web hotel ini, kemudian, ABAH call pula hotel dan akhirnya, ABAH buat reservation di hotel melalui telefon dengan harga RM144 satu malam, tanpa sarapan.

Perjalanan ke Hotel

Seawal pagi lagi kita sudah bertolak keluar dari rumah, sebab banyak perhentian hendak dituju sebelum ke hotel. Kita sempat makan tengahari di Paramount Coffee House di Bangi Sentral yang tak sengaja kita nampak di sebelah kedai Tudung People. 

Yang ABAH tak berapa gemar dengan Bangi ni adalah banyaknya lampu isyarat yang perlu dilalui dan pada hujung minggu, agak sesaklah sebab banyak kedai pakaian, tudung di Bangi Sentral ni.

Tapi alhamdulillah, pada jam 2 petang kita selamat sampai ke hotel.

 

Review Bangi-Putrajaya Hotel

Setibanya kita ke hotel, kita disambut dengan mesra oleh pekerja yang menjaga pintu. Semua beg-beg kita dibantu untuk diangkat ke troli. ABAH turunkan Mama, Taqi, Amir dan Amirah dahulu di lobi hotel bersama barang-barang untuk ABAH letakkan kereta di parking yang terletak dalam 100m jaraknya dari lobi.

1. Proses Check In

Receptionist minta IC ABAH, selang 10 minit, kita sudah menerima keycard ke bilik kita. Kita ditempatkan di bilik 334, di tingkat 3 yang hanya satu aras dengan lobi. Untuk ke bilik kita, kita perlu berjalan ke kanan daripada kaunter reception, melalui satu pintu keselamatan yang memerlukan keycard untuk dibuka, pusing ke kanan lalu sampai bilik kita yang pertama belah kanan hallway itu.

2. Fasiliti di Bilik

Secara umumnya, jika dikatakan hotel 5-bintang, sudah tentu terdapat satu expectation mengenai fasiliti hotel dan bilik hotel.

Apabila kami masuk sahaja ke bilik, antara first impression pertama ABAH adalah perabot dan hiasan dalaman yang nampak sedikit usang, mungkin kerana ini hotel lama. Bilik bermotifkan kayu dan rotan termasuk rangka katil berlantaikan permaidani berwarna jingga krim. Terdapat cermin besar di tepi meja kerja yang ABAH rasa kurang sesuai kerana perempuan khususnya, suka berdiri di hadapan cermin, kalau ada meja di situ, susah lah sikit jaraknya untuk melihat.

Katilnya merupakan katil bersaiz King (memang ini yang kita tempah), nampak selesa dengan 2 bantal empuk dan selimut yang nampak gebu. Tak sabar nak berbaring.

Cumanya, antara yang meletihkan adalah suis lampunya tiada yang ditempatkan di satu tempat, semuanya terletak berdekatan lampu masing-masing. Jadi, untuk menutup semua lampu, perlu bergerak ke seluruh pelusuk bilik untuk ke setiap suis. Mungkin ini design bangunan lama.

Bilik ini boleh diterangkan dengan cahaya matahari semulajadi melalui pintu kaca besarnya. Pintu ini tiada langsir, tetapi boleh ditutupi menggunakan tirai kayu yang mudah digerakkan. Amir dan Amirah cukup suka bermain buka dan tutup tirai kayu ini. Pintu kacanya boleh dibuka untuk keluar ke beranda, tetapi boleh juga dikunci dari dalam untuk keselamatan. Setakat ini, hanya Taqi yang boleh buka tutup kunci ini. Agak bahaya kalau tak perasan anak kecil main pintu ini kerana kita berada di tingkat 3.

Tandasnya nampak selesa dan cukup luas dengan tab mandi di sebelah kiri pintu dan mangkuk tandas di sebelah kanan bilik air. Sinki basuh muk dan cermin bilik air terletak berhadapan pintu. 

Kelengkapan dalam bilik air seperti yang dijangka daripada hotel 5 bintang. Ada sabun mandi buku, shower bath foam, body lotion dan conditioner. Satu kekurangan kelengkapan di sini adalah berus dan ubat gigi. 

Perkara yang ABAH suka mengenai fasiliti di bilik Bangi-Putrajaya Hotel ini juga adalah peti sejuk mini yang sungguh sejuk. Sesuai untuk ABAH yang mempunyai anak-anak yang minum susu segar (bukan susu UHT) yang mana perlu sentiasa sejuk untuk tahan lama.

Jika dilihat, katil hanya ada 2 bantal, memang tak cukup untuk kita sekeluarga yang sudah berlima ini. Jangan risau, dalam almari bilik ada 2 lagi bantal lebih untuk digunakan. Bagi yang memerlukan pakaian digosok juga jangan risau kerana ada disediakan seterika dan meja gosok di dalam almari hotel. Terdapat juga peti keselamatan bagi mereka yang perlu menyimpan dokumen penting seperti passport atau wang tunai.

3. Fasiliti Luar Bilik

Di sini, kita tidaklah memanfaatkan sepenuhnya fasiliti di luar bilik, yang kita gunakan hanyalah kolam renang dan kolam ikan yang ABAH akan ceritakan dalam post seterusnya.

Kesimpulan

Hotel Bangi-Putrajaya ini adalah pilihan yang baik untuk hotel yang selesa yang terletak berdekatan Kuala Lumpur. Untuk keluarga dengan anak kecil macam keluarga kita ni, memang meletihkan sikit kalau nak travel jauh-jauh macam keluarga orang lain. Biarlah kita belanja lebih untuk penempatan dan makanan, walaupun tempatnya hanya dekat dan tidaklah glamer. Sebab anak-anak ni, yang utama adalah apa aktiviti bersama ibu bapa, bukannya ke mana kita pergi.