Aqiqah di Ampang: 3 Ekor Kambing Tumbang

Memang dah lama ABAH dan Mama berhasrat untuk melaksanakan Aqiqah untuk Amir dan Amirah. Untuk Taqi, ABAH dan Mama dah selesai lakukan menggunakan khidmat EZQurban. Untuk Amir dan Amirah, hasrat ABAH untuk buat majlis di Malaysia. Namun, Amir dan Amirah dah hampir berumur 2 tahun, masih belum buat. Alang-alang Hari Raya Korban pun dah nak tiba, ABAH dan Mama berkeputusan untuk buat Aqiqah di Ampang sahaja.

Aqiqah di Ampang: Masjid Taman Kosas

Memang setiap tahun, ABAH akan berkorban di Masjid Taman Kosas, berdekatan sahaja dengan rumah Atok. Komuniti di sini sangat bagus, walaupun banyak lembu dan kambing dikorbankan, petugas memang ramai sehingga tak sampai tengahari, semua daging korban telah selesai dilapah dan menanti untuk diagihkan.

Tahun ini, ABAH minta Atok uruskan untuk Aqiqah 3 ekor kambing dengan pihak masjid. Untuk Amir 2 ekor, untuk Amirah 1 ekor kambing. 

Pagi Hari Raya Korban

Awal pagi lagi, ABAH menyiapkan Taqi. Solat Hari Raya akan dijalankan di Masjid Taman Kosas pada jam 8 pagi. ABAH memakaikan Taqi baju melayu merah, baju hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Amir dan Amirah pun dah bangun, tapi tidak ikut ABAH sebab ABAH nak terus ke rumah Atok dan tengok proses penyembelihan.

Di Masjid, selepas meletakkan kenderaan, ABAH dan Taqi segera masuk ke kawasan solat melalui pintu belah kanan masjid. Kita duduk di pertengahan dewan solat, sambil laungan takbir raya dibacakan. Taqi pun memang dah pandai, senang je Taqi ikut bacaan takbir raya.

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Lailahaillallahuallahuakbarm Allahuakbar walillahilhamd”

Sambil Bertakbir Raya

Sempatlah dua pusingan takbir, kemudian imam berdiri dan menrangkan cara untuk solat hari raya.

Jemaah berdiri. ABAH dan Taqi turut ikut berdiri. ABAH kata kat Taqi, ikut je apa ABAH dan orang lain buat ye.

Taqi menurut dengan baik, walaupun sekali sekala kepala bergerak ke kiri dan kanan.

Menjenguk Haiwan Aqiqah

Selepas solat dan khutbah Raya, ABAH dan Taqi berjalan kaki ke rumah Atok. Malas nak bawa kereta dengan keadaan orang ramai bersesak berjalan kaki, dan risau juga parking di masjid penuh nanti.

ABAH dan Taqi makan di rumah atok. Atok mak masak lontong dan rendang. Taqi pula hanya nak makan nasi himpit kosong sebab sibuk nak bermain dengan Hannah.

Menjelang jam 9 pagi, ABAH dan Taqi cepat-cepat ke masjid semula untuk bersama-sama dalam ibadah korban dan aqiqah di Ampang ni.

Lembu-lembu korban memang dah tersedia di bahagian kanan masjid, seperti tahun-tahun lepas. Kambing pula diletakkan di ceruk sebelah kiri masjid. ABAH dan Taqi pergi menjenguk kambing-kambing ini, terdapat 7 ekor keseluruhannya dan 3 daripadanya adalah untuk aqiqah Amir dan Amirah.

Sambil-sambil menunggu proses menyembelih bermula, ABAH dan Taqi hanya duduk-duduk sahaja di sekitar masjid. Taqi sebab dah bosan, mulalah membaca papan-papan kenyataan di masjid. Rajin betul Taqi membaca.

Menjelang jam 9:30 pagi, kambing-kambing dibawa ke kawasan penyembelihan. ABAH dan Taqi melihat ketiga-tiga kambing aqiqah kita disembelih dengan lancar. Alhamdulillah.

Setelah selesai ketiga-tiga kambing aqiqah kita ditumbangkan, kita bergerak balik ke rumah. Selalunya tahun-tahun sebelum ini, ABAH akan membantu di masjid bagi melapah dan memotong daging, tapi tahun ni ABAH tidak dapat sertai sebab nak bergegas bersiap untuk perjalanan ke Kuantan pula tengahari ini.

Alhamdulillah selesai urusan aqiqah di Ampang ini. Maka, insyaAllah, kelahiran Amir dan Amirah sudah ditebus. Moga anak-anak ABAH membesar menjadi hamba Allah yang soleh dan muslih.