Happy Birthday Taqi!

Pejam celik sahaja rasanya, anak sulung ABAH ni dah 5 tahun mengisi kehidupan ABAH dan Mama, mencorakkan senyuman, tawa riang, tangisan dan kadang-kadang geram ABAH dan Mama, hihi. Happy Birthday Taqi, anak sulung ABAH yang soleh sekali.

Flashback 5 Tahun Lepas

ABAH masih ingat, pagi 11 September 2013. Waktu itu ABAH dan Mama yang sarat mengandung menetap di rumah sewa di Flat Seksyen 10, Wangsa Maju. Pagi itu, sebelum Subuh lagi, dalam jam 5 pagi, Mama mengejutkan ABAH dengan muka cemas. Air ketuban dah pecah. Taqi sepatutnya kalau ikut perkiraan akan lahir 2 minggu lagi, jadi, memang ABAH dan Mama cemas.

Lepas bersiap ala kadar, ABAH dan Mama segera memecut ke Ampang Puteri, lalu Mama terus dimasukkan ke Labour Room. 

Gambar pertama Taqi

Menjelang Maghrib hari yang sama, barulah ABAH mendengar tangisan anak kecil yang berjaya dikeluarkan daripada perut mama. Itulah kali pertama ABAH mendengar suara Taqi. Sekarang dah puas dah dengar, hehe, ABAH gurau je.

Menyambut Ulangtahun Kelahiran Taqi 2018

Tahun ini satu Malaysia bercuti pada ulangtahun kelahiran Taqi yang ke-5, sebab tarikhnya jatuh bersamaan tarikh Tahun Baru Hijrah. Tahun ini, lebih istimewa apabila ABAH pun turut dalam tempoh bercuti setahun daripada dunia korporat, maka, fleksibel sikit untuk sambut hari istimewa Taqi ini.

Bangun pagi, ABAH dan Mama ucapkan happy birthday kepada Taqi. Kesian Taqi, awal pagi perlu ikut ABAH dan Mama ke pejabat sambil ABAH dan Mama menyiapkan kerja.

Menjelang petang, barulah ABAH dan Mama membawa Taqi ke Coffee Bean berdekatan Ampang Point sebab Taqi nak makan kek. ABAH belanja sempena hari jadi Taqi.

Taqi Nak Happy Birthday Taqi Di School

Hari Rabu, walaupun sekolah Taqi dah buka, ABAH pelawa untuk Taqi ponteng sekolah untuk ABAH bawa Taqi ke Zoo Negara melihat haiwan-haiwan. Tapi Taqi berkeras ingin sambut birthday di school dulu. Zoo boleh pergi Khamis, kata Taqi. Baiklah Taqi.

Jadi, seperti diminta, awal pagi, seperti rutin, ABAH hantar Taqi ke school. ABAH ada mesej teacher Taqi untuk buat sedikit sambutan dengan kek harijadi untuk Taqi dan Teacher mengalu-alukan.

Jam 11 pagi, ABAH ke Secret Recipe berdekatan untuk belikan kek untuk Taqi. ABAH dan Mama berkeputusan untuk beli sebiji kek New York Cheese dan 6 potong kek Chocolate Cheese, takut tak mencukupi untuk semua. Mama minta ditulis pada atas kek tu:

HAPPY BIRTHDAY TAQI <3

happy birthday taqi
Taqi dan kek New York Cheese

Dalam jam 11:30 pagi, ABAH, Mama, Amir dan Amirah sampai ke sekolah Taqi membawa kek-kek yang dibeli. Kami disapa oleh cikgu Taqi dan kemudiannya menjemput ABAH dan Mama masuk ke sekolah sambil Taqi dan kawan-kawan menghabiskan aktiviti. Taqi seronok memperkenalkan Amir dan Amirah kepada kawan-kawan, siap pegang tangan adik-adik bawa jumpa kawan-kawan.

“Ni nama dia Amir, ni nama dia Amirah,” sebut Taqi berulang kali memperkenalkan adik-adik Taqi kepada kawan-kawan. Amir dan Amirah pun tidak kurang teruja tengok ramai kawan-kawan, sampai dah tak mencari Mama dan ABAH.

Majlis sambutan harijadi Taqi dimulakan dengan teacher meminta semua beratur dan mengambil kerusi masing-masing untuk duduk di sekeliling meja makan. Amir dan Amirah perhati je semua orang buat begitu dan Amir dan Amirah pun turut mengambil kerusi dan terus dibawa ke meja makan. Taqi mengambil tempat di meja depan sekali sebagai yang diraikan, kek sudah tersedia di atas meja. Amir dan Amirah pun elok je bawa kerusi duduk di sebelah Abang Taqi.

Dua Pengapit

Sebelum kek dipotong, memang ABAH dan Mama nak ambil gambar dengan Taqi, Taqi biasalah, bila disuruh senyum, memang nampak plastik benar senyum tu. Kemudian, kawan-kawan Taqi menyanyikan lagu Happy Birthday Taqi beramai-ramai.

Kemudian, teacher memotong kek kecil-kecil dan Taqi selaku birthday boy diberi tugasan menghidangkan kek kepada rakan-rakan lain. Memang budaya begitu di sekolah Taqi ni.

Taqiyuddin, Membesarlah Menjadi Hamba dan Anak yang Soleh

Nama Taqi diberi bersempena nama ulama besar, Taqiyuddin bin Taimiyah, yang lebih dikenali sebagai Ibnu Taimiyah. Besarlah harapan ABAH kalaupun Taqi tak jadi sehebat ulama ini, cukuplah Taqi menjadi Hamba Allah dan anak yang soleh lagi muslih.

Maafkan juga ABAH dan Mama atas kekurangan, kekasaran dalam membesarkan Taqi. Walaupun Taqi nampak ABAH dan Mama letih membesarkan Taqi, ketahuilah, ABAH dan Mama sangat enjoy membesarkan Taqi dan sangat sayang Taqi dan adik-adik.