Trip Sekeluarga ke Zoo Negara

Semalam, Taqi meraikan sambutan kelahiran bersama-sama kawan-kawan di sekolah. Taqi cukup seronok tersenyum je sampai ke rumah pada malamnya. Jadi hari ini pula, sepertimana yang ABAH telah janjikan, ABAH akan membawa kita sekeluarga ke Zoo Negara.

Sebenarnya Taqi dah pun ke sini 2 tahun lepas, waktu adik-adik masih baru lahir lagi. Tapi waktu tu, disebabkan Mama dalam pantang dan adik-adik masih kecil waktu tu, jadi, ABAH dan Taqi je yang ke Zoo Negara. ABAH waktu tu ambil cuti sehari khusus untuk bawa Taqi ke Zoo Negara, Taqi sungguh gembira sebab masa tu dah agak lama Mama dan ABAH keletihan dengan kehadiran adik-adik yang baru lahir.

Kali Ini Cukup Kuorum Sekeluarga ke Zoo Negara

Tahun ini lebih seronok, sebab Mama, Amir dan Amirah turut ikut. Lebih-lebih lagi kita ke sini untuk raikan Birthday Boy Taqi.

Awal kita bertolak dari rumah, dalam jam 8:30 pagi. Zoo dibuka pada jam 9:00 pagi. Kita terpaksa menempuh saki baki trafik orang nak ke pejabat atau ke sekolah. Alhamdulillah, perjalanan lancar dan kita tiba di pintu masuk Zoo Negara sekitar jam 9:05 pagi.

Amir dan Amirah juga turut nampak seronok. Memang asal jalan je, Amir dan Amirah akan seronok. Sempat juga kita sekeluarga ambil gambar di tugu haiwan sebelum masuk ke Zoo Negara. Terima kasih kepada pak guard yang sporting sudi ambilkan gambar kita sekeluarga.

trip sekeluarga ke zoo negara

Taqi tu dah besar pun nak naik stroller juga sebab penat, katanya. Orang ingat anak ABAH ni OKU pulak.

Selepas membeli tiket masuk dan menyewa satu stroller (tambahan kepada satu stroller kita sedia ada), kita terus masuk ke zoo. Cuaca hari ini nampak baik, keadaan berawan tapi tidaklah mendung. Sesuai untuk aktiviti luar sebegini sebab tidak terlalu panas.

Amir Amirah berkongsi Stroller

Belajar Ilmu Haiwan

Kawasan pertama yang kita lawati adalah kawasan monyet dan beruk. Ada beberapa monyet yang berbulu lain daripada biasa, jadi, Amir dan Amirah pun boleh nampak dan tunjukkan monyet-monyet tu dengan tangan.

Di Children’s World, Taqi, Amir dan Amirah melihat secara dekat kuda padi, keldai, kambing, arnab dan landak. Tapi semuanya di dalam sangkar masing-masing dan tiada aktiviti memberi makan di sini.

Dari situ, kita berjalan menuju ke kawasan badak air (hippo) di sebelah kiri satu jambatan kecil. Di sebelah kanan pula merupakan kawasan buaya. Terdapat 3 badak air yang kelihatan dan Taqi nampak kagum tengok saiz badak air tu. Ada seekor badak air besar dan seekor lagi badak air kecil bergerak menuju ke dalam air untuk berendam. 

Di kawasan buaya, kelihatan buaya-buaya ini sedang bersantai tidak bergerak, seolah-olah patung pula. 

ABAH sedang menerangkan bagaimana mulut buaya bergerak 

Puas melihat buaya yang tak bergerak tu, ita berjalan melalui sangkar lebah menuju ke kawasan Mamalia. Di sini terdapat lembu-lembu yang besar-besar, ada capybara di mana Taqi berminat tengok dia mandi, ada cipan (tapir), rusa dan kancil yang pelbagai rupa dan bentuk.

Di kawasan beruang, Taqi membaca tempoh umur (lifespan) beruang matahari iaitu sekitar 30 tahun, kemudian Taqi menerangkan kepada ABAH yang berat beruang ini boleh mencapai sehingga 100kg.

Taqi sedang melihat kawanan rusa

Dari kawasan rusa itu pula, kita melalui kawasan wallaby, yang kelihatan sama dengan kangaroo tetapi bersaiz jauh lebih kecil. Di sini juga terdapat landak dan kura-kura gergasi.

“Tunjukkan ABAH mulut kura-kura”
Amirah asyik tengok kancil dan cipan

Dari kawasan ini, kita bergerak menuju ke Savannah. Dari jauh kelihatan padang luas dengan gazelle, zebra, ostrich dan zirafah berlari riang. Di tepi padang itu, dalam kurungan berasingan, terdapat badak sumpu (rhino) sedang makan dan bersantai. Di sini kita duduk sebentar berehat sambil melihat rhino dan zirafah.

Di ruangan savannah ni, ada satu platform yang dibina menuju ke tengah padang ini untuk pengunjung tengok dengan lebih dekat haiwan-haiwan meragut rumput dan berlari. Kita ke platform ini untuk melihat haiwan walaupun tinggi juga perlu dipanjat.

Dari atas platform Savannah

Persinggahan seterusnya adalah Giant Panda. Mama ingat lepas Panda ni dah nak habis, tapi ABAH kata, ada separuh lagi ni. Waktu ni dah jam 11 pagi, matahari mula menjadi terik.

Dalam kawasan Giant Panda ni, terdapat pantang larang untuk diam di dalam. Kawasan Panda ni sejuk berhawa dingin, rasa nak tidur baring pulak di sini.

Sebelum masuk ke kawasan kurungan panda tu sendiri, kita melalui sudut informasi berkenaan beruang dan panda itu sendiri. Sempatlah ambil gambar sikit.

Bergambar dengan Panda dengan skala sebenar

Tahun lepas, waktu ABAH ke sini dengan Taqi, panda-panda ni semua tengah tidur, jadi, tak nampak bergerak pun. Tapi kali ini, kita bertuah sebab nampak Panda tu tengah menguap tukar posisi tidur, sempatlah juga panda tu menjeling Taqi, Amir dan Amirah. Amirah siap berjoget-joget macam panda.

Kamera fokus ke Panda, bukan Taqi dan Amirah

Amir pula yang ABAH carry di belakang ABAH dah mula menunjuk-nunjuk Panda sambil cuba untuk memanggil Panda. Disebabkan suara Amir semakin nyaring, ABAH terpaksa berjalan ke depan untuk keluar dari dewan pameran tu sebab pegawai yang jaga tu tengok semacam je.

Taqi baca info panda

Selesainya kita di kawasan panda, Amir dah ngantuk dan terlelap di belakang ABAH. Baru saja kita nak pergi tengok gajah ni Amir. Amir kan suka betul buat bunyi gajah. Tapi apakan daya, dah letih sangat gayanya.

Di kawasan gajah, Taqi dan Amirah sempat tengok gajah masuk dalam air berendam sambil gunakan belalainya untuk menjirus air ke serata badan. 

“Gajah pun rajin mandi”, kata ABAH kepada Taqi

Selepas gajah, disebabkan semua dah letih dan dah hampir 3 jam kita di zoo ni, kita dengan pantas melihat singa, harimau belang, harimau bintang sebelum beransur-ansur ke pintu keluar.

3 Jam Yang Bermakna, Tapi Meletihkan!

Kita tidak pergi ke taman rama-rama, taman burung, reptilia dan akuarium sebab nak jimat masa. Ini pun dah pancit ABAH dan Mama ni. Lainkali kita pergi lagi habiskan mana yang belum ye.