Tips ke Zoo Negara Bersama Anak Kecil

Dalam entri yang lepas, ABAH ada kongsikan catatan pengalaman Taqi, Amir dan Amirah ke Zoo Negara. Kali ini, ABAH akan kongsikan pula tips ke Zoo Negara bersama anak kecil, bagi manfaat yang membaca.

Mengenai Zoo Negara

Zoo Negara terletak di dalam kawasan tanah seluas 110 ekar, di tengah-tengah kawasan perumahan Ulu Klang, Selangor. Bagi penduduk sekitar Wangsa Maju, Gombak, Melawati dan Ampang, pasti tidak akan terlepas pandang Zoo Negara yang hanya terletak di tepi Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). 

110 ekar ni adalah kawasan yang sangat luas dan besar. Memang sangat banyak tempat untuk diteroka bersama anak-anak. Cumanya, sebagai tips untuk ke Zoo Negara, bersedialah untuk berpenat lelah meneroka kawasan sebesar itu.

Berikut merupakan peta dalam Zoo Negara untuk rujukan:-

zoo negara map
Klik gambar untuk resolusi tinggi

Tips ke Zoo Negara Bersama Anak Kecil

ABAH datang ke sini bersama 3 orang anak: Taqiyuddin berumur 5 tahun dan sepasang kembar, Amir dan Amirah yang masing-masing berumur 2 tahun. Sudah tentu ABAH dan Mama tahu dari awal lagi ini akan menjadi sangat mencabar dan memenatkan, tapi untuk anak-anak belajar dengan alam ni, bukankah tidak ternilai?

1. Datang Awal Pagi

Zoo Negara dibuka seawal jam 9 pagi. Seeloknya untuk datang seawal mungkin bagi memaksimakan penerokaan dalam zoo sebelum matahari memancar terik.

Pada awal pagi juga biasanya haiwan baru diberi makan, jadi, mereka masih aktif lagi bergerak kerana menjelang tengahari, banyak haiwan dah kekenyangan dan tidur tidak bergerak, jadi, susah sikit untuk anak-anak lihat dan belajar.

2. Bawa Snek dan Minuman Sendiri

Terdapat banyak juga kiosk makanan dan minuman yang ada dalam kawasan zoo ni, tapi harganya sangat mencekik darah. Air tin di kiosk dicaj sebanyak RM5!

Jadi, anda dinasihatkan untuk membawa makanan ringan seperti biskut, sandwich dan roti beserta air minuman (terutamanya air mineral) bagi memastikan anak-anak boleh diisi kembali tenaga on-the-go dan bagi mengelakkan poket ABAH terkoyak.

3. Stroller Membantu Tetapi Ada Kesukarannya

Ya, bawa stroller sendiri membantu (jika tidak pun boleh sewa daripada Zoo), tetapi tidak semua permukaan kawasan zoo ni rata dan mesra stroller. Ada kawasan yang perlu diangkat stroller tu. Tambahan pula, setiap kali tiba di tempat kurungan haiwan, anak dalam stroller perlu diangkat supaya dapat melihat dengan lebih jelas.

Untuk alternatif, boleh juga untuk membawa baby carrier, gendongkan anak kecil pada ketinggian atas pinggang (high back carry) supaya paras mata mereka selari dengan mata orang dewasa, dan mereka boleh melihat haiwan-haiwan dalam kurungan dengan lebih jelas tanpa perlu dilepaskan daripada carrier. Keburukannya, ibu bapa akan cepat letih kerana perlu membawa beban tambahan di bahu.

ABAH menggendong Amir dengan SSC Andrea oleh Cozy Baby

Begitulah sedikit sebanyak tips ke Zoo Negara bersama anak kecil yang ABAH boleh kongsikan. 

Di sini juga, ABAH nak kongsikan review ringkas ABAH berkenaan beberapa kemudahan Zoo Negara ni.

Review Zoo Negara Untuk Keluarga Dengan Anak Kecil

1. Harga Tiket Masuk

Untuk warganegara Malaysia dewasa, harga tiket adalah RM43 seorang manakala untuk warganegara kanak-kanak (umur 3-12 tahun) hanya perlu membayar RM16 seorang. Kanak-kanak bawah 3 tahun masuk PERCUMA.

Harga tiket ini sudah termasuk kunjungan ke pusat Panda gergasi.

Sebenarnya, anak-anak ni, selepas umur 2 tahun dah agak pandai untuk menyerap maklumat ke dalam otak mereka, terutamanya melalui visual. Oleh itu, jika ibu bapa nak berjimat, bolehlah untuk berusaha membawa anak kecil sebelum umur mereka masuk 3 tahun bagi masuk PERCUMA untuk anak-anak tersebut.

tips ke zoo negara
Senarai Harga Tiket Masuk
2. Waktu Operasi

Secara umumnya, waktu operasi Zoo Negara adalah pada setiap hari, bermula jam 9 pagi sehingga jam 5 petang

3. On-site Parking

Terdapat ruangan yang besar meletak kenderaan di hadapan Zoo Negara ini. Ruangan ini tidak berbumbung, jadi, kalau datang awal pagi pun, menjelang nak balik tengahari tu, boleh jangkakan keadaan panas membahang dalam kereta.

Bayaran RM10 sekali masuk dikenakan untuk parking di hadapan Zoo Negara ini. Adalah ruangan di tepi jalan besar untuk meletak kenderaan, tapi agak jauh juga tepi jalan ni dengan pintu masuk Zoo Negara, sebab perlu melalui ruangan parking Zoo yang agak besar itu.

Selepas membayar sewaktu nak masuk parking, resit bayaran parking perlulah dipamerkan di hadapan dashboard kenderaan.

4. Kemudahan Sewa Stroller Kanak-kanak

Zoo Negara menyediakan kemudahan sewa stroller kanak-kanak dengan kadar sewa RM20 untuk satu stroller. Bayaran perlu dibuat di kaunter tiket dan perlu disertakan deposit RM50 untuk satu stroller. Jadi, untuk menggunakan satu stroller, anda perlu membayar RM70 secara total tetapi RM50 akan dikembalikan semula sewaktu memulangkan stroller.

Stroller sangat membantu disebabkan kawasan yang luas dan boleh jadi tempat anak-anak berehat kalau dah penat berjalan. Kalau nak jimat, boleh bawa stroller sendiri dari rumah.

5. Kemudahan Tram

Pihak Zoo Negara ada menyediakan tram untuk membawa pengunjung ke bahagian-bahagian dalam zoo. Harga tram adalah RM8 untuk warganegara dewasa dan RM5 untuk warganegara kanak-kanak.

Tapi kemudahan tram ni tidak mesra stroller kerana tiada ruang untuk bawa stroller bersama. ABAH sekeluarga tidak berpeluang naik tram kerana kami ada 2 stroller bersama. 

Kesimpulan

Walaupun ramai yang memandang rendah kepada Zoo Negara sendiri, tapi, ABAH rasa Zoo Negara ini sudah cukup bagus untuk aktiviti sekeluarga, terutama dengan anak kecil. Cumanya, beberapa pameran seperti akuarium perlulah diperbaiki dari sudut penyelenggaraannya.

Di samping itu, meneroka tempat yang besar ini, kadang-kadang pengunjung boleh sesat dan hilang arah, walaupun dengan peta di tangan. Sebaiknya, pihak Zoo boleh mencadangkan dan menandakan dengan jelas pelan perjalanan yang terbaik untuk meneroka zoo.

Selain itu, jalan dalam zoo itu sendiri banyak yang tidak mesra stroller, seperti bertangga, jalan dibina tidak rata serta ada yang berlecak. Perkara ini mungkin akan menyukarkan ibu bapa yang membawa anak dengan stroller.

Selain daripada ini, ABAH rasa Zoo Negara ini memang tak cukup nak teroka dalam masa 2-3 jam, tapi sebab anak-anak dah penat, ABAH terpaksa beransur awal dan tidak melihat semua pameran haiwan. Tetapi, ianya memang salah satu destinasi wajib untuk mengisi masa anak-anak kecil.