Anniversary Perkahwinan di Muar

Kali terakhir kita ke Muar sudah lebih sebulan lepas (Baca: Trip ke Muar), iaitu untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu ABAH. Beberapa minggu sebelum tu pula merupakan kali pertama Amir dan Amirah ke Muar dan kita sekeluarga bersarapan dengan sate yang enak sekali (Baca: Sarapan Sate di Muar). Kali ini sekali lagi kita ke sini untuk kita sekeluarga meraikan anniversary perkahwinan di Muar.

ABAH Merancang Anniversary Perkahwinan di Muar Secara Rahsia

Malaysia pada bulan Ogos dan September ni banyak sungguh cuti panjang hujung minggu. Disebabkan waktu-waktu ni ramai orang keluar daripada Kuala Lumpur, memang bosan hidup di dalam bandar. ABAH dan Mama pun turut merasakannya. Asyik pergi pusat beli belah, makannnya pun sama dan mahal pula tu. Jadi, ABAH pun mengajak Mama untuk bercuti singkat di Muar, maklumlah, tempat ABAH dilahirkan tu dan ABAH sudah agak biasa dengan bandar Muar.

Mama bersetuju. Katanya, masih teringat keenakan rasa sate Muar yang dimakan lebih setahun lepas. Tak sabar untuk makan lagi.

Tapi, dalam masa yang sama, ABAH merancang sedikit kejutan untuk anniversary perkahwinan di Muar ini. ABAH menelefon hotel, bukan sekadar untuk menempah bilik, tetapi ABAH juga menempah pakej dekorasi sambutan anniversary perkahwinan. Mama sedikit pun tidak mengesyaki tindakan ABAH ini.

Pagi Sebelum Perjalanan

Hari Sabtu yang indah, anak-anak seperti biasa bangun sekitar jam 6:30 pagi (Amir) dan 7 pagi (Taqi dan Amirah). Mama sempat juga bersenam dam berlari atas treadmill selepas Subuh tadi. Menjelang jam 7:30 pagi, anak-anak dimandikan dan tiba masa untuk melipat pakaian ke dalam bagasi.

Jam 8:30 pagi, kita bertolak keluar dari rumah. Tapi, sebelum bertolak ke Muar, sempat ABAH dan Mama siapkan beberapa kerja penting, seperti membeli stok kain dan berjumpa dengan tukang jahit untuk perbincangan, singgah ke butik, mengisi minyak kereta lalu akhirnya, menjelang jam 11 pagi juga barulah kita betul-betul memulakan perjalanan dari Ampang ke Muar.

Perjalanan Tidak Berapa Lancar

Hujung minggu ini merupakan cuti panjang warga Kuala Lumpur, berikutan cuti umum Hari Malaysia yang jatuh pada hari Ahad dan diganti pada hari Isnin, 17 September 2018. Oleh itu, ABAH memang menjangkakan jalanraya akan sedikit sesak, maklumlah, orang KL ni pantang ada cuti panjang.

Melalui MRR2, jalan agak lancar dengan trafik bergerak laju. Cumanya di sekitar UPNM tu ada kesesakan sikit tetapi ini adalah normal di kawasan tersebut. Di sekitar kawasan ini Amir sudah terlelap, Amirah masih menyanyi dan Taqi pun masih fokus membaca apa-apa yang boleh dibaca di jalanan.

Keluar dari MRR2, menuju ke Lebuhraya Utara-Selatan, baru sahaja masuk ke Lebuhraya, kelihatan kenderaan sudah beratur mendekati tol Sungai Besi. 

Selepas tol, jalan agak lancar, tapi kita kembali terperangkap dalam kesesakan hampir 10km dari RnR Seremban hingga ke Bandar Ainsdale akibat satu kemalangan. 

Jalan kembali sesak selepas Ayer Keroh sebab kenderaan bergerak perlahan akibat hujan lebat. Amirah pula baru tertidur sekitar sini selepas sesi tangisan dan jeritan yang kuat.

Kita sampai ke susur keluar Tangkak pada jam 1 petang dan tiba di bandar Muar pada jam 1:30 petang. 2 jam setengah perjalanan (biasanya 1 jam 30 minit sahaja).

Penginapan Pilihan: Muar Traders Hotel

Sekali lagi, ABAH memilih hotel Muar Traders sebagai pilihan penginapan kali ini, seperti setahun lepas. ABAH pernah review hotel ini pada post yang lalu

Cumanya kali ini ABAH lebih ‘concern’ dengan permintaan hiasan sempena anniversary perkahwinan ABAH dan Mama ini. 

Sampai je di perkarangan hotel, terus kita mengangkut semua barangan ke tingkat 6 bangunan, di mana lobi hotel terletak. ABAH sempat berbisik kepada receptionist tu samada room decoration dah dibuat dan dia kata ye. Waktu ni Mama masih tidak mengesyaki apa-apa.

Selepas diberi keycard bilik, kita sekeluarga terus ke tingkat bilik dan mencari nombor bilik. Bilik dibuka dan yeay, satu keluarga kecuali ABAH terkejut keadaan bilik ini

anniversary perkahwinan di muar
Taqi yang Ambil Gambar Ni
anniversary perkahwinan di muar

Terdapat cebisan bunga ros yang banyak tersusun di atas katil serta meja katil. Di atas katil tu, ada cebisan bunga ros yang disusun membentuk dua hati. Terdapat juga lipatan tuala yang membentuk dua swan membentuk simbol hati juga. Di sudut kiri bilik, terdapat sebakul buah-buahan dan coklat bersama dua gelas kaca dan sebotol air jus.

Mama bertanya, eh kenapa ni? Happy Anniversary, ABAH berkata. Kesipuan Mama selepas itu.

Taqi, Amir dan Amirah turut nampak teruja melihat kuntuman bunga ini, Taqi siap mengutip dan mengumpulkan kuntuman ini.

Dalam menyambut Anniversary perkahwinan di Muar ni, ABAH dan Mama masih memikirkan aktiviti anak-anak. Setelah bersolat dan berehat lebih kurang sejam, kita pun bersiap-siap untuk keluar meneroka bandar Muar ini.