Muar Soup House

Setelah kita Check In di Traders Hotel dan berbaringan menikmati bilik kita sekeluarga, sekitar jam 4 petang, selepas selesai solat jamak qasar Zuhur dan Asar, kita bersiap-siap keluar untuk minum petang. Selepas membuat carian Google ringkas, ABAH berkeputusan untuk kita minum di Muar Soup House yang terletak kurang 1km dari Muar Traders Hotel.

Lokasi

Muar Soup House ni terletak dekat sahaja dengan Muar Traders Hotel. Adapun begitu, kita sekeluarga masih menaiki kereta sebab lepas minum petang ni, nak terus ke Tanjung untuk beraktiviti di sana.

Alamat penuh restoran ni adalah di No. 47, Jalan Sisi, 84000, Muar, Johor, Malaysia. Untuk memudahkan urusan, boleh rujuk pada Google Map di bawah:-

Landmark bagi Muar Soup House ni adalah lokasinya terletak di kawasan jalan yang berbumbung merentasi jalan. Ianya terletak bersebelahan dengan kedai Mamak Darul Mahsyur, dan sebenarnya Muar Soup House ni memang sama kedai dengan Darul Mahsyur ni, siap ada pintu sambungan antara 2 premis ni di dalam restoran. Cumanya, hiasan dalaman di Muar Sopu House ni berbeza dengan tipikal restoran Mamak di sebelahnya.

Muar Soup House
Pandangan Dari Luar Kedai

Waktu Operasi Muar Soup House

Restoran ini dibuka 24 JAM, jadi ada banyak masa bagi yang tiada anak-anak kecil seperti kami. Cumanya tak pastilah samada semua makanan ada pada waktu-waktu tengah malam tu.

Tempat Letak Kereta

Style di Muar ni, jalannya adalah satu hala dan kereta hendaklah diletakkan di kotak letak kereta yang disediakan Majlis Perbandaran Muar di tepi-tepi jalan dan kedai. 

Secara jujurnya, memang kawasan sini agak sesak dan susah untuk menjumpai parking kosong. Kita terpaksa berpusing dua kali dan akhirnya parking di petak parking di belakang kedai dan terpaksa berjalan sedikit untuk ke restoran.

Dan bagi hari-hari bekerja, jangan lupa pamerkan kupon Parking untuk majlis-majlis perbandaran di Johor ni (kadar parking RM0.60 sejam).

Suasana Restoran

Sebenarnya, bila masuk sahaja ke ruang dalam restoran ni, ABAH agak terpegun kerana asalnya menyangka hiasannya akan sama seperti mana-mana restoran Mamak 24 jam, tetapi ternyata ABAH silap.

Terdapat agak banyak tempat duduk dan ditakdirkan waktu kita datang ke sini, kosong pula restorannya. Restoran ini terdapat dua bahagian, bahagian dalam yang ada aircond atau bahagian luar yang open air. Bergantung kepada preference masing-masing nak yang mana. ABAH memilih ruangan dalam restoran kerana risau ruangan luar ada orang akan merokok.

muar soup house entrance
ABAH melalui ruangan luar restoran ke arah dalam

Hiasan dalamannya cantik dengan dinding dan meja kayu ala-ala di kampung zaman 50-an. Tempat duduk pula ada sofa yang selesa dengan tempat duduk luar seperti kopitiam zaman 80-an. Di dinding-dinding pula digantung gambar-gambar yang nampak bersejarah berkenaan pemilik restoran yang merupakan India Muslim.

Lampu di bahagian dalam restoran dipasang malap, membangkitkan suasana relaks dan tenang (walaupun ABAH dan Mama tetap tak tenang melayan Taqi, Amir dan Amirah). 

muar soup house interior
Ruangan dalaman restoran

Makanan dan Harga

Secara umumnya, sebagai penduduk Kuala Lumpur yang sudah terbiasa dengan harga barangan di Kuala Lumpur yang mahal, ABAH terpegun melihat menu di sini sebab kebanyakan makanan dan minuman berharga agak murah (berbanding Kuala Lumpur).

Pilihan makanan di sini juga boleh tahan banyak. Daripada sup, kepada masakan bergoreng, kepada makanan tradisi Muar seperti mi bandung dan soto, kepada Western Food, semuanya ada disediakan.

Menu Sup
Menu Western

ABAH memesan Sup Kambing dan roti, Mama memesan bihun sup ayam dan untuk anak-anak, Mi Bandung Muar. Minuman pula, ABAH memesan air soda bandung manakala untuk anak-anak, air tembikai.

Minuman dan makanan tiba dengan agak pantas, dalam kurang 10 minit sahaja selepas pesanan diambil.

Review Sup Kambing 

ABAH hanya memesan sup kambing saiz regular. Bila sampai, ABAH terpegun tengok kepekatan supnya. Kelihatan ketulan-ketulan daging kambing terendam dalam sup tersebut. Bila sudu sup diangkat, wangi aroma rempah ratus sup tersebut. Sup ini abah pesan dengan sepinggan roti lembut untuk dicicah dalam sup.

Makan dulu

Hirupan pertama sup ni umpama meletup kepala ABAH. Rempah ratus sup terus menerkam deria rasa di lidah. Macam mercun meletup deria rasa ABAH. Rasa rempahnya tidaklah terlalu kuat sampai hilangkan rasa manis daging kambing.

Untuk hidangan sup kambing berharga RM7, isi kambingnya agak banyak dan memang puas dimakan. Isinya pula memang betul-betul daging, tiada tulang. Dagingnya dimasak dengan empuk, tetapi isi dalamnya tidaklah kering. Bayangkan daging tu masuk dalam mulut dan berderai sendiri di dalam mulut. Nikmaaat.

Secara kesimpulannya, sup kambingnya memang umpph!

Tersenyum Dapat Sup Kambing Sedap dan Murah

Review Mi Bandung

Adakah kedai Mamak mampu menghasilkan mi bandung yang setanding resepi asli orang Jawa?

Secara visualnya, mi bandung di sini kelihatan hampir sama dengan mi bandung di tempat lain. Portion mi kuning berserta supnya juga nampak seimbang. Kelihatan hirisan isi ayan di sisi mi, dengan sebiji telur rebus, seekor udang dan sehiris tomata dalam sup. Nampak meriah.

Rasa kuahnya sedap, rasa udang kering yang kuat, tetapi tidaklah overpowering tunas rasa. Kuahnya sedikit pedas, kurang sesuai untuk budak-budak.

Secara umumnya, ABAH rasa mi bandung di sini masih di tahap cemerlang walaupun tidaklah sesedap mi bandung asli jawa. Tetapi masih satu alternatif yang baik.

Review Bihun Sup

Gambar tak sempat diambil kerana kelaparan. Secara umumnya, supnya adalah kunci kesedapan hidangan ini. Memang menurut Mama, supnya sangat sedap, padanlah dengan namanya pun Muar Soup House. Ini pun Mama beri markah cemerlang.

Ringkasan Review Muar Soup House

Lokasi (4 daripada 5): Lokasi yang strategik di tengah bandar, berdekatan dengan banyak restoran dan tarikan utama lain. Sangat sesuai untuk menjadi tempat lepak pelancong Muar.

Parking (2 daripada 5): Disebabkan lokasinya jugalah menyebabkan parking sangat sukar didapati, dan ada kebarangkalian perlu berjalan jauh daripada tempat letak kereta.

Suasana (4.5 daripada 5): Above expectation. Suasana kondusif untuk apa-apa perbincangan sambil menikmati pelbagai menu masakan dan minuman.

Makanan (4 daripada 5): Kalaulah anda hanya ada sehari di Muar untuk mencuba semua makanan di Muar, bolehlah datang ke sini. Pelbagai jenis variasi masakan tradisi dan Barat ada di sini, rasanya pun boleh tahan dan boleh menjadi alternatif restoran-restoran lain.

Harga (3.5 daripada 5): Untuk kualiti makanan yang sebegini, ABAH rasa memang harganya berpatutan. Tetapi jika dibandingkan dengan harga makanan lain di Muar, memang lebih kurang harganya begitu.

Kepantasan Servis (4 daripada 5): Mungkin tidak adil sebab waktu kita ke sana, memang kedai ni kosong tiada pelanggan lain. Tidak pasti bagaimana servis waktu padat.

Secara keseluruhan, ABAH bagi markah 4 daripada 5 kepada Muar Soup House ni. Masakannya memang sedap, terutama masakan sup yang memukau. Makanan WAJIB untuk dicuba di sini ABAH cadangkan adalah Sup Kambingnya.