Nasi Ayam Gemas Muar – Makanan Enak, Suasana Biasa

Asalnya, petang ini, kita nak makan asam pedas di Parit Jawa. Tapi, apakan daya, dalam perjalanan sudah hujan lebat. Kita sudahpun sampai di medan asam pedas Parit Jawa, tetapi hujan masih turun selebat-lebatnya dam kawasan parking kenderaan pun penuh. Oleh itu, dengan berat hati, kita berpatah balik ke bandar Muar dan singgah makan tengahari di Nasi Ayam Gemas Muar.

Lokasi Nasi Ayam Gemas Muar

Nasi Ayam Gemas Muar ni terletak hanya 5km dari pusat bandar Muar. Alamat penuh restoran ini adalah:

211, Jalan Khalidi, 84000 Muar, Johor. Google Maps adalah seperti berikut:-

Dalam suasana hujan lebat ini, ABAH memilih restoran ini sebab lokasinya di rumah kedai dan kawasannya kelihatan banyak parking berdekatan. Restoran ini adalah proper restoran (bukan medan selera) dan sesuai untuk duduk dengan selesa dalam suasana hujan lebat ini tanpa risau air membasahi badan.

Sejarah Nasi Ayam Gemas

ABAH ni takdelah tahu sangat sejarah restoran ni dan sebab perut dah lapar, tak sempat nak beramah mesra dan bertanya soalan kepada pekerja restoran. Tapi, melalui bacaan di Google, Nasi Ayam Gemas Mustafah ni berasal di sebuah gerai di Gemas, Negeri Sembilan. 

Pengusahanya, Haji Mustafah telah memulakan perniagaan nasi ayam ni sejak tahun 1980 lagi. Cumanya, tak pasti pula apa kaitan Nasi Ayam Gemas Muar ini dengan yang asalnya di Gemas tu.

Review Hidangan

Waktu kita sampai tu dah selepas jam 2 petang, jadi, keadaan di restoran pun sudah agak lengang. Dan bila diberikan menu, hanya ada satu jenis sahaja nasi ayam yang tinggal, nasi ayam biasa. Jadi, ABAH memesan 2 set nasi ayam biasa untuk ABAH dan Mama.

Nasi ayam ni nak hidangnya senang, sebab tak perlu masak dah, hanya cedok nasi, cedok sup dan sos serta potong ayam. Tak sampai 10 minit, hidangan nasi ayam ABAH dan Mama tiba ke meja makan.

nasi ayam gemas muar

Sekali imbas dilihat, portion hidangannya agak besar. Malah, ayam yang dihidangkan juga besar dan gemuk saiznya.

Antara kelainan hidangan nasi ayam di sini adalah ayamnya dihidangkan dengan sos istimewa di pinggan ayam (biasanya orang hidang dengan kicap). Sos ni macam berminyak dan ada rasa bijan yang kuat. Rasanya manis masin, tetapi sangat kena dengan rasa ayam.

Dengan bacaan Bismillah, kita memulakan sesi merasa makanan.

Nasinya wangi dan rasa kuat stok ayam dalam nasi. Nasinya dimasak sempurna, tidak terlalu kering dan tidak terlalu lembik. Ayamnya, walaupun saiz besar, dimasak dengan baik hingga ke tulang. Isinya berjus tetapi kulitnya dimasak baik. Memang pairing yang baik dengan sos istimewa ayam ni.

Sup yang dihidangkan sekali dalam set ni pula memang pekat rasa ayamnya, mungkin dimasak menggunakan rebusan ayam sebenar dan bukan sekadar perencah stok ayam.

Menjelang jam 3 petang, semakin ramai orang datang ke sini, boleh tahan juga. Mungkin orang Muar tunggu hujan reda baru keluar cari makan.

Suasana

Secara umumnya, suasana di sini agak baik, dengan kedai yang luas dan bersih. Terdapat kerusi anak kecil dan tandas pun cukup bersih dan berfungsi dengan baik.

Cuma yang kurangnya adalah pada banyak barang dalam menu tidak ada atau telah habis. Kelihatannya juga kedai ini kekurangan staf, jadi, sangat caca merba nampak gerak kerja mereka terutamanya bila pelanggan semakin bertambah.

Kedai ini juga mempamerkan banyak lambang kopi, malah di pintu masuk pun ada ditulis “Muar Coffee”, jadi expectationnya adalah kopi istimewa di sini, tapi malangnya, bila ditanya pekerja, hanya kopi biasa je ada.

Ringkasan Review Restoran Nasi Ayam Gemas Muar

Makanan (4.5 daripada 5): Dengan mudah menjadi salah satu nasi ayam terbaik ABAH pernah makan. Saiz portion yang besar, ayam yang empuk, sos istimewa yang masuk dengan ayam dan nasi yang dimasak sempurna.

Suasana (3 daripada 5): Tiada yang istimewa dengan suasana dalam ni, dan hiasan berkenaan kopi yang agak misleading. Tetapi keadaan kedai bersih dan luas selesa untuk makan.

Servis (3 daripada 5): Staffnya mesra, cuma kurang mempromosi menu yang terbaik untuk dirasa. Kelihatan juga yang mengambil pesanan tu macam kurang terlatih. Malah, memerlukan hampir 10 minit untuk menghidangkan makanan yang dah sedia dimasak.

Lokasi (4.5 daripada 5): Lokasi rumah kedai berdekatan dengan pusat bandar Muar, dengan ruangan parking yang cukup banyak.

Kesimpulannya, ABAH berpuas hati dengan makanan di restoran ini, walaupun terdapat beberapa perkara yang sepatutnya diperbaiki. ABAH recommend tempat ini untuk makan tengahari di Muar.