Perkara Wajib Buat di Muar – Sarapan Sate

Selamat Hari Malaysia. Kita sekeluarga menyambut hari Malaysia tahun ini di Muar. Antara perkara wajib buat di Muar ni sudah tentu adalah bersarapan dengan sate. 

Sejarah Sate Muar

Sarapan dengan sate ni sudah sinonim dengan Muar. Nak katanya benda ni dah biasa di sini, sampai terlalu banyak kedai sarapan pagi yang menghidangkan sate.

Diceritakan bahawa sate merupakan makanan asal daripada Jawa. Kepelbagaian rempah ratus di kepulauan Melayu membolehkan daging dan ayam diperap dengan pelbagai rempah ratus dan dibakar bagi menghasilkan aroma daging yang harum itu.

Sekitar tahun 1800-an, terdapat migrasi beramai-ramai orang Jawa ke Muar, atas keterbukaan kerajaan Johor memajukan Muar. Sebab tu di Muar ni ada kawasan nama Parit Jawa dan ada nama-nama berunsur Jawa yang lains eperti Parit Ponorogo dan sebagainya.

Jadi, orang-orang Jawa ni kebanyakannya berniaga dalam industri makanan, dan salah satu makanan yang dijual adalah sate. Begitulah kisahnya, takdelah kisah mistik atau legenda sangat.

Kisah Kita Sekeluarga Bersarapan Sate

Selepas penat menempuh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Muar dan hari yang penuh aktiviti semalam, Taqi, Amir dan Amirah tidur awal dan sungguh nyenyak di hotel. Kesannya, memang awal pagi dah bangun dan segar semuanya.

Jadi, jam 7 pagi, ABAH dan Mama dah mempersiapkan diri dan anak-anak (tak mandi) untuk keluar bersarapan dan terus ke Tanjung Emas untuk beriadah pagi. Perkara wajib buat di Muar ni adalah bersarapan sate.

Port yang ABAH tahu ada banyak kedai sate adalah di Jalan Majidi, sebelah dengan pejabat TM Muar. Di sepanjang jalan ini saja, ada tidak kurang 3 restoran yang menghidangkan sarapan sate. 

Disebabkan kita nak terus ke taman di Tanjung Emas selepas bersarapan, jadi, kita ke restoran menaiki kereta walaupun boleh sangat berjalan kaki dari Traders Hotel tu. Hari ini hari cuti Am, jadi, parking kenderaan di bahu jalan Muar ni tak perlu bayar kupon. Alhamdulillah, senang je dapat parking, sebab masih awal, dalam jam 7:30 pagi lagi.

ABAH dan Mama memilih untuk makan di restoran ZZ Satay Warisan, dan nampaknya pembakar sate di luar tu dah bertungkus lumus membakar sate untuk dihidangkan. Tak sabar rasanya.

Berikut merupakan lokasi ZZ Satay Warisan di Google Maps:-

Biasanya, akan ada masalah untuk cari tempat duduk, apatah lagi kita ni sekeluarga 5 orang. Tapi, Allah permudahkan, ada satu meja kosong untuk kita sekeluarga dalam restoran. Kita pun duduk dan masa untuk makan.

Style di sini, untuk sate, tak perlu untuk order berapa cucuk ayam, daging dan perut, sebaliknya, memang peniaga sate akan meletakkan sepinggan sate dan pelanggan hanya perlu membayar sate yang dimakan sahaja. Jadi, kalau taknak makan sate yang berbaki tu, janganlah pegang-pegang, jilat-jilat.

perkara wajib buat di muar

Harga sate di sini adalam RM0.70 secucuk. Masih murah berbanding dengan di Kuala Lumpur yang dah sampai RM1.00-RM1.20 secucuk. Selain daripada sate, ada juga hidangan panas lain yang boleh dipesan seperti nasi lemak, lontong, soto, mihun sup dan mi bandung.

Tak sampai 5 minit, hidangan sate pusingan pertama tiba di atas meja. Kelihatan daging yang dibakar sempurna dan bau yang wangi tu menusuk-nusuk ke dalam hidung. Bismillah.

Sate di Muar ni pelik. Dia juicy, tak kering dan tak muak makan. ABAH paling suka sate perut dia yang susah nak jumpa di KL. Taqi pula sangat suka sate daging, Taqi hanya makan sate daging je. Mama, Amirah dan Amir pula mencicip sate ayam sekali sekala.

Sekelip mata je dah XX cucuk sate dibaham kita sekeluarga. Jumlah sebenar dirahsiakan, hehe.

Selepas Kejadian

Perkara Wajib Buat di Muar

Ya, perkara wajib buat di Muar ni adalah bersarapan sate. Malah, ini adalah niat utama ABAH dan Mama nak ke Muar ni. Memang sate di Muar ni susah sikit nak cari kualiti, rasa dan harga sebegini di luar, lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur.

Untuk sate di Restoran Satay Warisan ni, ABAH recommend untuk pergi dan antara port sarapan sate yang wajib dikunjungi di Muar.