Muslim Youth Camp KYUEM 2018

ABAH sebenarnya rancang untuk bersara daripada menguruskan program-program pelajar, lebih-lebih lagi yang jenis ceria, penuh games dan seumpamanya. Mungkin jarak umur menyebabkan ABAH rasa awkward untuk berkomunikasi dengan generasi muda ini. Namun, tahun ini sahaja, ABAH kembali untuk Muslim Youth Camp KYUEM 2018.

Latar Belakang Muslim Youth Camp KYUEM

Muslim Youth Camp KYUEM atau lebih mesra dipanggil MYC adalah satu program membina jati diri pelajar Muslim di KYUEM. Program ini bukanlah program yang sekelip mata mengubah manusia, atau bukan program sarat ilmiah, tetapi sekadar untuk mencetuskan kesedaran dan minat pelajar-pelajar KYUEM ini untuk lebih mempelajari dan mengamalkan Islam.

Sejujurnya, rasa dah terlalu lama tak sertai, apatah lagi menguruskan MYC. Yang banyak seingat ABAH adalah Muslim Leadership Camp (MLC). 

Di KYUEM, program tarbiyah pelajarnya bermula dengan MYC, kemudian MLC dan diakhiri dengan Muslim Overseas Camp (MOC). ABAH dah melalui proses ini satu masa dahulu dan dari zaman ke zaman, proses yang sama berulang dengan penambah baikan.

Namun, tahun ini, terasa keperluan untuk ABAH kembali menguruskan MYC, bukannya rasa diri ABAH ini bagus, tetapi mendengar keluhan yang sememangnya aktiviti dakwah di KYUEM ni dah semakin hambar dalam masa yang sama mencabar. Tambahan pula, kurang kelihatan alumni lain terutamanya yang muda-muda untuk memikul peranan aktif bagi menghidupkan kembali aktiviti dakwah di KYUEM.

Muslim Youth Camp 2018 – Bagai Sirih Pulang ke Gagang

Yang mengajak ABAH kembali menguruskan MYC ini, adalah uncle Izuan atau lebih mesra dipanggil Pilus. Uncle Izuan ini merupakan junior ABAH di KYUEM dulu, walaupun sama umur. Sekarang beliau merupakan pensyarah di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

muslim youth camp kyuem
Gambar Zaman Muda ABAH, lebih 10 tahun lepas

Jadi, ABAH dengan agak berat hati menerima tanggungjawab ini.

Maka, dalam kesibukan menguruskan perniagaan di samping menjaga anak-anak, ABAH peruntukkan beberapa jam pada waktu malam selepas anak-anak tidur untuk mencari bahan dan persediaan untuk mencipta modul MYC ini.

Di dalam fasa ini, ABAH berhubung dengan AJK Program di bawah Musolla Community (MUSCOM) yang bernama Zainur dan Izzati. Banyak juga yang ABAH tanya, terutama latar belakang peserta, bagi memastikan modul yang dibina kena dengan citarasa peserta.

Hari Kejadian – Bernam Nature Hut

MUSCOM telah memilih untuk melaksanakan MYC pada tahun ini di Bernam Nature Hut, Hulu Selangor

Bernam Nature Hut ni dahulunya dikenali sebagai Kem Desa Selesa, dan memang beberapa kali telah digunakan untuk program-program MUSCOM KYUEM. Tapi dia telah bertukar nama dan sedikit pembaharuan dari sudut fasiliti kem.

Untuk ke kem, kita perlu untuk melintas jambatan gantung. ABAH dan Mama carry Amir dan Amirah sebab membawa bagasi dan barangan di tangan. Taqi berjalan dengan berhati-hati. Setiap langkah di jambatan gantung itu, bergegar-gegar jambatan tersebut. Di bawah jambatan adalah sungai yang airnya bergerak riang. Nampak bersih dan menyegarkan airnya. Taqi tak sabar nampak nak main sungai.

Kita ditempatkan di sebuah chalet paling hujung, tetapi betul-betul bersebelahan sungai. Chaletnya dibina dengan binaan tinggi, dan bilik airnya pula terletak sedikit bawah daripada bilik tidur. Alhamdulillah, nampak selesa. Barang-barang kita selekuarga sekejap je memenuhi ruang chalet tu. 

Program Berakhir

Program ini berlangsung selama 3 hari 2 malam, ABAH belum ada kesempatan untuk tulis lebih terperinci mengenai program. Mungkin pada masa hadapan, insyaAllah.