Ihtifal Sekolah Taqi

Hari ini ada 2 perkara akan berlaku dalam kehidupan kita sekeluarga. Pertama, hari ini adalah hari ihtifal sekolah Taqi, dan kedua, hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran ABAH yang ke-29. Sudah tua dah ABAH!

Taqi Menunjukkan Hasil Latihan

Sebenarnya, dah lebih sebulan Taqi berlatih bersama rakan-rakan di sekolah dan playleaders (gelaran bagi guru di sekolah Taqi) untuk hari ini. Taqi suka bercerita yang hari ini ada persembahan Aladdin.

Lalu, ABAH bertanya Taqi beberapa minggu lalu, apa role Taqi.

“Taqi pegang mic”, kata Taqi.

Rupanya, maksud Taqi adalah Taqi menjadi ‘narrator’ atau tukang cerita. Penting juga peranan Taqi ni, ABAH kata dalam hati.

Jadi, seawal pagi lagi, Taqi dah bangun dengan terujanya, dan ABAH Mama menyiapkan adik-adik untuk sama-sama menyaksikan Taqi membuat persembahan ihtifal.

Ihtifal sekolah Taqi tahun ini diadakan di Dewan Banquet, bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur. Sebenarnya, tahun lepas juga ihtifal sekolah Taqi dibuat di tempat yang sama. Jadi, tahun ini, ABAH sedikit tenang untuk merancang perjalanan sebab dah tahu tempat.

Tahun lepas, ABAH masih ingat, Amir dan Amirah masih belum boleh jalan dan hanya duduk dalam carrier sahaja sepanjang majlis ihtifal. ABAH dan Mama juga keletihan sebab Amir dan Amirah masih agak kecil waktu tu, perlukan banyak perhatian. Tapi insyaAllah, tahun ini, adik-adik dah besar dan pasti akan seronok tengok gelagat Taqi dan rakan-rakan.

Ke Majlis

Jam 7:45 pagi, kita sudah bertolak keluar dari rumah. Pertamanya, kita singgah di 7-Eleven depan rumah tu untuk auntie Wa, TiYa dan TiJi beli sedikit roti untuk bekalan sarapan mereka. Mereka tiba di rumah kita malam tadi, semata-mata untuk sama-sama ke dewan bagi menyaksikan Taqi di ihtifal!

Jam 8:10 pagi, kita sudah tiba di bangunan DBP. Jalan awal pagi Sabtu ni memang lancar. Cuba jam 10 pagi ke atas, dah mula sesak.

Kalau ikut jadual yang diberi oleh Teacher Taqi, majlis sepatutnya bermula jam 9 pagi. Tapi, ABAH dan Mama sengaja datang awal sebab nak dapatkan tempat duduk yang strategik dan beri masa Taqi untuk berehat dan menenangkan diri dulu sebelum mula persembahan.

Pihak sekolah telah menyediakan sarapan berupa bihun goreng yang sedap dan teh O panas untuk para hadirin. Sambil menunggu majlis bermula, ABAH ambil sedikit bihun untuk suap Taqi, Amir dan Amirah yang kelaparan. Amirah hari ini sedikit dedar, jadi memang nampak lemah dan moody sikit.

Persembahan Dimulakan

Selepas beberapa ucapan dan doa pembuka majlis, yang dinantikan tiba, persembahan anak-anak.

Taqi yang segak berbaju Melayu biru, bertanjak hitam dan berkain selempang mengambil tempat di rostrum. Disebabkan rostrum tu tinggi, Taqi perlu berpijak di atas sebuah bangku IKEA berwarna putih bagi sampai ke mikrofon itu.

Taqi memulakan bicara cerita mengenai Aladdin. Taqi sangat petah membaca, agak lancar dan tiada kesalahan besar dalam pembacaan. Intonasi Taqi pun sesuai dengan penceritaan. 

Tema ihtifal tahun ini adalah “Around the World”, jadi, dalam persembahan Aladdin ni, ditunjukkan pelbagai budaya di beberapa negara lain, contohnya di India, ada tarian dan lagu “chammak challo”, melambangkan Malaysia adalah dikir barat dan sebagainya. Comel je tengok gelagat kanak-kanak ini dengan kostum comel mereka. Ada yang menangis, ada yang protes di atas pentas, macam-macam ragam.

Tamatnya Program

Program tamat sekitar jam 10:50 pagi. Ya, agak awal berbanding tahun lepas, mungkin sebab tahun ni tiada penyampaian sijil untuk setiap pelajar, yang dapat sijil hanya pelajar berumur 6 tahun yang bakal bergraduasi daripada dunia tadika.

Disebabkan majlis habis agak awal, makan tengahari masih belum tersedia. Jadi, sambil-sambil menunggu makanan sampai, memang riuh budak-budak kecil ni melompat-lompat dan berjoget-joget di atas pentas. Taqi pun turut berlari ke sana ke mari macam tak kepenatan langsung.

Makan tengahari adalah nasi hujan panas, ayam masak merah dan kuah dalca yang sungguh menyelerakan, ditambah pula dengan air sirap bandung yang sejuk dan segar.

Terima kasih kepada semua playleaders yang gigih mengasuh dan melatih anak-anak kami, dengan seronoknya. Tahniah kepada Taqi dan kawan-kawan!