Black Canyon Aeon AU2 Setiawangsa – Makan Ulangtahun Kelahiran ABAH

Semalam merupakan ulangtahun kelahiran ABAH yang ke-29. Tapi, disebabkan terlalu sibuk dengan majlis Ihtifal sekolah Taqi menyebabkan kita sekeluarga tak sempat nak betul-betul menyambut ulangtahun kelahiran ABAH ini.  Hari ini kita akan makan di Black Canyon Aeon AU2 Setiawangsa.

Aeon AU2 Setiawangsa

ABAH berfikir nak makan di mana. Mula-mula, ABAH rasa nak makan di Manhattan Fish Market di Wangsa Walk, Wangsa Maju.  Tapi, berdasarkan pengalaman, parking di Wangsa Walk ni sedikit mencabar, apatah lagi kalau pergi waktu hujung minggu macam hari ini.

Jadi, ABAH pun berkeputusan untuk ke Aeon AU2 Setiawangsa. Di sini parkingnya agak banyak dan mencukupi. Kita pun agak selalu ke sini untuk bermain di Kidzoona, tempat permainan kanak-kanak milik Aeon sendiri. Di Aeon AU2 juga ada pelbagai restoran seperti Nando’s, Black Canyon, Sushi King, The Chicken Rice Shop, KFC dan banyak lagi.

Kita keluar dari rumah sekitar jam 12:30 tengahari. Waktu keluar rumah ni, ABAH masih belum buat keputusan nak makan apa di Aeon AU2. Kita melalui jalan Ampang, melalui MRR2 lalu masuk ke jalan Keramat. Jalan agak sesak di sekitar persimpangan Flamingo, tapi selain tu, jalan adalah lancar sahaja.

Dalam kereta, waktu jalan sesak tu, Amir dan Amirah kedua-dua meragam pula dalam kereta. Terpaksalah Mama kamu melayan mereka berdua. Nampak sedikit stress Mama ketika tu. Mujurlah waktu jalan dah kembali lancar, Amir dan Amirah kembali tenang.

black canyon aeon
Cubaan Mama Menenangkan Amir
Persimpangan Jalan Ampang ke MRR2

Taqi pula, di sebelah ABAH, memang bercakap aje. Asyik ajak ABAH dan Mama berborak. ABAH dan Mama terhibur juga dengan kepetahan Taqi bercakap ni.

Makan di Black Canyon Aeon AU2 Setiawangsa

Kita parking di kawasan bawah pusat membeli belah. Di Aeon ni (mana-mana branch Aeon), yang bestnya, parkingnya dicaj dengan sangat minima (RM1 seharian), itupun dapat parking percuma untuk 1 jam pertama (2 jam untuk ahli Aeon).

Menaiki tangga ke tingkat pertama pusat beli belah, ABAH berkeputusan untuk makan di Black Canyon. Bukannya apa, sebab kita baru saja makan Nando’s minggu lepas dan Black Canyon ni ada pelbagai jenis makanan untuk semua orang.

ABAH dan Mama membelek-belek menu di atas meja dan ABAH memesan fish and chips untuk ABAH, spaghetti fussili sweet sour untuk anak-anak dan untuk Mama, bihun tomyam yang dia gemari. ABAH turut memesan air tembikai tanpa gula, air teh tanpa gula untuk Taqi, oreo milkshake untuk ABAH serta mocha tanpa gula untuk Mama.

Taqi, Amir dan Amirah pun bersemangat makan pasta. Tapi, sekali sekala, terganggu sebab ternampak permainan kereta yang terletak depan je daripada restoran Black Canyon ni. Taqi berjanji pada ABAH yang Taqi akan habiskan makanan kalau nak main kereta.

Masa Bermain

Selesai makan dan membayar, Taqi, Amir dan Amirah berpusu-pusu ke arah tempat permainan kereta. Harga kereta ni RM3 untuk 4 minit, RM6 untuk 10 minit. ABAH mengambil RM3 ini dulu, untuk Taqi, kereta yang boleh Taqi kawal sendiri, untuk adik, yang ABAH kawalkan. Ingatkan Amir boleh duduk satu kereta dengan Taqi macam di Muar dulu, tapi kereta sini agak kecil dan tidak dibenarkan naik 2 orang.

Untuk Amir dan Amirah, ABAH sewa satu kereta kecil. Amir, seperti dijangka, tak mahu naik berseorangan. Amirah pada awalnya seronok je naik, tapi tak sampai seminit, dah menangis tak mahu naik.

Kita berhenti main kereta selepas 4 minit sebab ABAH dan Mama susah nak pujuk adik-adik, kesian Taqi nampak tak puas. 

Seterusnya, ABAH mengajak untuk semua menaiki tren mini yang hanya bersebelahan daripada tempat main kereta tu. Harganya, RM5 sekepala, tak kisah kecil atau dewasa. ABAH berkeputusan untuk tidak menaiki tren dan meminta Mama sahaja menaikinya. Taqi duduk di kerusi depan sekali, manakala Mama, Amir dan Amirah di belakang. Dalam 5 minit juga tren ni berpusing-pusing di trek yang pendek tu.

Membeli Barang Dapur

Setelah selesai program anak-anak, kini tiba program ABAH dan Mama, iaitu untuk membeli barang dapur. Troli barangan diambil, Taqi duduk di kerusi troli manakala Amir dan Amirah diletakkan di dalam troli. Seronok betul Amir dan Amirah dapat bebas daripada duduk dalam baby carrier.

Sambil Mama mencari barang, ABAH melayan anak-anak bercakap dan bermain di sekeliling pasaraya.

Lama juga kita di pasaraya. Sedar tak sedar, dah penuh troli dengan barangan dapur. Nak besarkan Taqi, Amir dan Amirah lah ni.

Abah compilekan rakaman video ringkas telatah anak-anak di sini:

Walaupun aktiviti kita mudah dan simple, tapi sudah cukup untuk menyalurkan tenaga yang banyak pada Taqi, Amir dan Amirah. ABAH dan Mama harap Taqi dan adik-adik seronoklah juga hari ini, menyambut birthday ABAH secara sederhana.