Amir Diwadkan Kerana Rotavirus

Entah mengapa tiba-tiba Amir demam panas. Kemudian, menjelang malam, Amir muntah-muntah. Susu pun dah tak lalu makan. Rupa-rupanya, Amir perlu diwadkan kerana rotavirus.

Bermulanya simptom

Semuanya bermula pada hari Isnin, 29 Oktober. Malam itu Amir sangat cranky. ABAH rasa dahi Amir, panas. ABAH pun memberikan 3mL sirap paracetamol bagi mengurangkan panas Amir. Menjelang jam 10 malam, demam Amir makin kurang dan Amir tidur nyenyak.

Tapi tengah malam, waktu Amir minum susu, tak sampai 10 minit, Amir dah muntahkan semua susu balik. Susu yang Amir muntahkan tu masih cair dan tidak dihadam langsung. Sampai keesokan harinya, Amir masih tidak minum susu.

Menjelang pagi Selasa, 30 Oktober, Amir nampak macam sihat sikit. Amir kelihatan sedikit berselera. Tapi masih sama, tak sampai 10 minit makan dan minum, Amir segera muntahkan semula semua isi perut. Petang Selasa, ABAH bawa Amir ke Klinik Kita Bandar Baru Ampang. Doktor hanya suspek Amir ada viral infection, cuma pastikan Amir tidak dehydration.

Abah Membawa Amir ke Hospital

Rabu, 31 Oktober. Pagi ini ketika ABAH nak tukar lampin Amir, KERING! Hampir tiada langsung kencing dalam lampin sepanjang malam. Ini adalah tanda dehydration. ABAH dan Mama sangat risau. Mama minta ABAH segera bawa Amir ke hospital.

Jam 9:30 pagi, ABAH membawa Amir berseorangan ke Hospital Pakar Ampang Puteri. Amirah tinggal di rumah bersama Mama dan Taqi masih di sekolah. ABAH terus membawa Amir ke unit kecemasan hospital. Setelah mendaftar, kita menunggu giliran untuk berjumpa doktor bertugas.

Jam 10:30 pagi, setelah doktor memeriksa Amir, doktor mengesyorkan Amir untuk diwadkan supaya boleh untuk masukkan air melalui salur intravenous bagi mengelakkan komplikasi akibat dehydration. Amir dibaringkan di salah sebuah katil di unit kecemasan tersebut dan pembantu perubatan membantu untuk mengambil darah Amir dan memasang saluran intravenous di tangan kanan Amir.

Ketika jarum mencucuk tangan kanan Amir, Amir nampak sedikit tidak selesa tapi Amir tidak nangis. ABAH tahu, Amir tak nangis sebab Amir keletihan, bukannya tidak sakit. Salur intravenous dipasang dan kini menunggu proses diwadkan.

diwadkan kerana rotavirus
Menanti dimasukkan ke wad di unit Kecemasan

Proses Kemasukan Wad

Disebabkan ABAH masih sedang bercuti tanpa gaji daripada PNB, maka, segala faedah perubatan yang ABAH ada untuk semua ahli keluarga dibekukan. Mujurlah ABAH ada mengambil skim takaful perubatan untuk semua ahli keluarga termasuklah Amir. ABAH memproses kemasukan ke wad dengan menggunakan polisi perubatan PruBSN.

ABAH resah juga sebab ini kali pertama menggunakan kad perubatan ini, masih tiada pengalaman. Banyak juga kes ABAH baca yang permohonan Guarantee Letter ditolak oleh syarikat takaful. Moga tak jadi masalah untuk kes Amir ni.

Dan Alhamdulillah, tak sampai sejam, sekitar jam 12 tengahari tu, pegawai hospital memaklumkan yang GL takaful untuk Amir telah diluluskan dan pendaftaran kemasukan ke wad diluluskan. Dan Alhamdulillah, terdapat kekosongan wad individu, cumanya perlu untuk tunggu sebentar bagi memberi masa pesakit sekarang menyelesaikan prosedur discharge.

Makan tengahari di wad Kecemasan

Jadi, ABAH menemankan Amir dengan sabar di katil kecemasan tersebut. Amir pun lemah terbaring sahaja, tidak bermaya. Sampai makanan tengahari pun Amir tak mahu jamah sangat. Amir hanya minum air Yakult, itu pun kembali muntah sampai kita perlu pindah ke katil sebelah. Amir banyak kali terlelap dan bangun, kembali terlelap, masih kita menunggu untuk masuk ke wad.

Menjelang jam 4:30 petang, barulah wad kosong untuk Amir masuk. ABAH duduk di atas kerusi roda, memangku Amir dan ditolak menuju ke wad kanak-kanak di tingkat 6 hospital. 

Wad 647: Tempat Bermalam 5 Hari

Amir ditempatkan di wad 647, sebuah wad single dengan tandas sendiri. Di dalam wad, terdapat satu katil hospital dewasa dan di sebelahnya terdapat katil kanak-kanak yang mempunyai pagar yang boleh ditarik tinggi, untuk memastikan anak-anak tidak terjatuh.

Terdapat satu sofa hitam panjang, satu sofa individu, satu kerusi dan almari kayu untuk menyimpan pakaian dan barangan. ABAH meletakkan Amir di atas katil dan menyusun barang-barang di dalam almari.

Petang ini doktor Nasir, doktor kanak-kanak Amir tidak dapat memeriksa Amir, sebab doktor dah buat round wad petang tadi. Air dimasukkan ke dalam badan Amir melalui IV Drip. Amir nampak lemah dan keletihan. Biasanya Amir akan tidur jam 7 malam, tapi hari ini, jam 5:30 petang Amir dah tertidur. ABAH biarkan sahaja sebab Amir tak sihat.

Setiap 4 jam, jururawat akan masuk memeriksa suhu Amir. Alhamdulillah, sejak masuk hospital, suhu badan Amir dah tak naik. Cuma Amir mulai cirit birit dan sangat kerap buang air besar. Amir pun ada kalanya mengadu sakit perut.

Malam ini ABAH dan Amir berdua sahaja di wad ni. Macamana Mama, Taqi dan Amirah di rumah ye? ABAH mula terfikir keseorangan selepas Amir tidur. ABAH whatsapp Mama dan Mama kata semuanya terkawal. Alhamdulillah.

ABAH pun tidur nyenyak malam pertama ni, mungkin ABAH pun keletihan seharian uruskan kemasukan Amir ke hospital. Sesekali Amir terbangun untuk minum susu yang sangat sedikit atau untuk salin lampin tercirit.

Hari kedua di hospital, berjumpa dengan doktor. Setelah meneliti simptom-simptom Amir, doktor mengarahkan sampel najis Amir diambil untuk diuji di makmal. ABAH mengambil 2 scoop najis Amir lalu diberikan kepada jururawat.

Hari ini Mama, Taqi dan Amirah datang melawat. Amirah suka betul nampaknya ke sini dan jadikan katil pesakit tu macam katil sendiri. Mungkin excited nampak tempat baru.

Sah! Amir Dijangkiti Rotavirus

Hari ketiga di hospital, ketika doktor melakukan rondaan pagi, ABAH dimaklumkan bahawa sah, amir dijangkiti rotavirus.

Cumanya, simptom Amir agak lambat kelihatan. Amir hanya demam dan tidak selera makan, cirit birit amir baru muncul selepas diwadkan di hospital. Kesian Amir. Doktor minta untuk Amir terus diwadkan supaya dapat masukkan bendalir ke dalam badan supaya tidak dehydration.

Amir Beransur Bertenaga

Hari keempat di hospital, Amir sudah nampak semakin bertenaga. Mula minta makanan macam roti, air ribena dan nak makan nasi, walaupun sedikit. Tapi, Amir masih lagi cirit birit. 

Doktor sudah beri kebenaran untuk hentikan masuk air guna IV drip tu, tapi, menjelang malam, ABAH minta nurse untuk kembali sambungkan drip tu sebab Amir tak selera untuk minum. Risau dehydration sepanjang malam.

Hari kelima, barulah doktor beri kebenaran untuk Amir pulang ke rumah. Amir pun nampaknya dah mula bosan duduk di wad 5 hari. Bila dah bertenaga, mulalah asyik nak berjalan ke sana ke mari.

Walaupun doktor beri kebenaran untuk pulang pada jam 10 pagi, proses discharge mengambil masa agak lama, lebih kurang jam 4 petang juga barulah bil tersedia dan semua dokumentasi discharge lengkap dan Amir boleh dilepaskan.

Anak Dimasukkan ke Hospital – Mimpi Ngeri Semua Ibu Bapa

ABAH pun turut menarik nafas lega apabla dapat pulang ke rumah. Amir nampaknya masih belum sembuh sepenuhnya sebab masih sedikit cirit birit. Cabaran seterusnya adalah untuk memastikan virus ini tidak merebak kepada adik beradik yang lain.

Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak kecil yang asalnya aktif dan lincah menjadi keletihan dan terbaring sahaja. Harapnya ini kali terakhir Amir dimasukkan ke hospital.

Membesarlah dengan sihat, anak-anak ABAH!