Kembali Ke Dunia Korporat

Setelah setahun ABAH bercuti dari dunia korporat (1 Februari 2018 – 3 Februari 2019), realiti terpaksa ditelan, ABAH perlu kembali bertugas di Permodalan Nasional Berhad, bagi menyambung kontrak perkhidmatan bagi membayar kembali biasiswa pelajaran ABAH yang berbaki setahun 7 bulan lagi.

Mengimbau Kembali Februari 2018

Secara jujurnya, pada awal tempoh ABAH mula bercuti pada awal 2018, terasa sangat canggung dengan kehidupan baru ini. Bayangkan, dulu, setiap pagi, hidup terasa sangat pantas sebab nak berlumba-lumba ke tempat kerja dan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Tapi selepas bercuti, tiada lagi isu nak bergegas ini sebab ABAH lebih fleksibel untuk ke termpat kerja pada bila-bila masa.

Jika dulu, ABAH bekerja dalam suasana penuh birokrasi korporat, di mana setiap kerja tu berstruktur dan mempunyai accountability terhadap orang atasan, tapi kini, jadual dan keputusan berada di tangan ABAH, jadi terasa pelik dan sedikit tidak terurus.

2 bulan pertama ABAH memulakan kehidupan baru ni, memang hidup tak terurus sebab ABAH baru nak membiasakan diri dengan jadual baru. Ada kalanya memang rasa blur nak buat apa sehari-hari sebab deadline ditetapkan oleh ABAH sendiri.

Tapi sedikit demi sedikit, ABAH membiasakan diri dengan jadual dan kehidupan baru ini. Hidup menjadi lebih efisyen walaupun fleksibel. ABAH telah pantas mempelajari selok belok perniagaan Cozy Baby termasuk operasi, material, mengenali perangai pelanggan, memahami psikologi staff dan sebagainya.

Masa Untuk Berubah Sekali Lagi

Namun, baru sahaja ABAH nak membiasakan diri hidup sebagai usahawan, masa mencemburui dan sudah tiba masa ABAH perlu kembali ke dunia korporat.

Secara jujurnya, memang rasa berat untuk kembali. Selepas setahun hidup dalam kebebasan dan fleksibiliti, tipulah kalau ABAH kata ABAH tak sedih nak masuk dunia korporat yang semua orang tahu, lebih rigid dan kurang fleksibiliti. ABAH mempunyai berlapis-lapis bos dan menjadi orang yang menerima dan melaksanakan arahan.

ABAH juga ada dengar-dengar daripada kawan-kawan ABAH dalam department, tahun 2018, mereka sungguh sibuk, travel ke luar negara, ada yang sampai balik sehingga lewat malam.

ABAH risau, adakah ABAH akan terlepas peluang berjumpa anak-anak ABAH yang memang akan masuk tidur selepas jam 7 malam setiap hari?

11 Hari Bekerja

Hari ini merupakan hari ke-11 ABAH bekerja semula di PNB. Setakat hari ini, ABAH masih lagi balik ke rumah tepat pada jam 5:30 petang.

ABAH telah mula menerima beberapa tugasan. ABAH perlu menguruskan closing beberapa funds, ini kerja yang memerlukan banyak pembacaan dokumen berkaitan.

ABAH juga perlu menganalisis satu PE fund baru. Tapi nampak gayanya setakat ini, timeline fund ini masih panjang.

Baru 11 hari bekerja, harapnya ABAH akan masih dapat memaksimakan waktu dengan anak-anak ABAH.