Aidilfitri 2019 di Kelantan!

Sekejap je rasanya, dah habis Ramadhan tahun ni. Alhamdulillah, tahun ni bila anak-anak dah besar, puasa rasa lebih mudah sebab Taqi, Amir dan Amirah dah tidur malam dengan nyenyak, jadi, sebelah malam, ABAH dan Mama boleh berehat kejap selepas berbuka. Ini kisah Aidilfitri 2019 kita sekeluarga.

Apatah lagi tahun ini berbeza dengan tahun lepas. Tahun ni ABAH dah kembali kerja di PNB, jadi, Mama terpaksa berhempas pulas jaga semua anak-anak di rumah berseorangan sebelum ABAH sampai ke rumah dari pejabat. Mencabar!

Giliran Raya di Tanah Merah, Kelantan

ABAH dan Mama mempunyai sistem giliran untuk balik kampung pada hari Raya. Tahun ini, tahun 2019, adalah giliran untuk kita berhari raya di Tanah Merah, Kelantan, tempat Mama dibesarkan.

Musim raya ni, ABAH sememangnya tiada kekuatan nak memandu dalam kesesakan jalan bersama-sama 3 budak kecil. Jadi, ABAH dan Mama berkeputusan untuk balik ke Kelantan dengan menaiki kapal terbang sahaja. Penerbangan dari klia2 ke Kota Bharu hanya mengambil masa 1 jam sahaja.

Cumanya, Amir dan Amirah dah berumur lebih 2 tahun, jadi, perlu bayar penuh untuk seat Amir Amirah. Total perbelanjaan untuk tiket kapal terbang sahaja dah hampir RM2,000.

Penerbangan Pada Hari Raya Pertama Aidilfitri 2019

Kos RM2,000 sekeluarga tu pun sebenarnya ABAH dah ambil tarikh pergi yang tiketnya paling murah: Hari raya pertama! Tapi sebab tiket balik kita masih pada hari terakhir cuti, harga total tiket masih sangat mahal. Takpelah, untuk keselesaan kita sekeluarga dalam perjalanan.

Cabaran penerbangan pada hari Raya pertama ni sebab susahnya nak cari pemandu teksi yang bekerja di pagi raya untuk memandu kita sekeluarga ke klia2. Mujurlah ABAH ada berjumpa nombor seorang pemandu teksi Toyota Innova yang boleh untuk ambil kita seawal jam 9:40 pagi!

Selepas pemandu teksi tiba di tingkat bawah rumah, ABAH dan Mama bertungkus lumus mengangkut semua barang-barang beserta anak-anak ke bawah. Sampai ke tingkat bawah, kelihatan teksi 1Malaysia Toyota Innova telah menunggu kita. ABAH memasukkan bagasi ke bahagian but teksi dan ABAH sempat ke kereta kita untuk mengambil 2 carseat Amir dan Amirah dari kereta dan dipasang pula ke teksi ini. Ya, kita akan membawa bersama kedua-dua carseat ini menaiki kapal terbang ke Kelantan.

Taqi pula seronok sebab dapat kerusi sendiri di bahagian belakang teksi, betul-betul bersebelahan dengan bagasi. Nampak selesa juga. ABAH teringin pulak rasanya nak satu Toyota Innova!

Amir dan Amirah diletakkan kemas bertali pinggang di dalam car seat masing-masing. Barulah rasa selamat. Dengan bacaan Bismillah, teksi meluncur laju ke klia2.

Jalan agak lengang, mungkin sebab hari raya pertama, ramai yang dah pun pulang ke kampung halaman. Kita pula, masih dalam perjalanan.

aidilfitri 2019
Dalam Teksi ke klia2

Lepak di klia2

ABAH dan Mama dah agak berpengalaman dah di klia2 ni. Perhentian pertama adalah di kedai wrap baggage, sebab ABAH dan Mama nak wrap car seat Amir dan Amirah supaya tidaklah pecah atau rosak dicampak-campak ke dalam kapal terbang nanti.

Sempat lagi berposing ambil gambar (Taqi tukang ambil gambar)

Selesai bungkus, kita terus pergi beratur di kaunter self check-in. Air Asia ni, walaupun kita dah check-in di web awal-awal lagi, masih perlu beratur di kiosk check-in dia untuk kita print baggage tag. Selesai ambil baggage tag dan lekatkan di semua beg kita, kita pun terus drop beg di kaunter yang disediakan. Agak lambat juga proses ni sebab ABAH kena scan sendiri semua beg dan mesin ni sensitif, kalau alih sikit beg lepas letak atas belt tu, dia akan error.

Selesai check-in, tanpa membuang masa, kita terus masuk ke boarding gate, rancangannya untuk kita melepak-lepak menunggu waktu boarding di dalam. Walaupun ini merupakan hari raya pertama, agak ramai juga di klia2 ni, terutamanya pelancong-pelancong asing. Kita sekadar duduk makan di sebuah kopitiam sebab itu je yang kosong untuk kita mengisi perut. Masih tiada lagi hidangan tipikal raya pada Aidilfitri 2019 setakat ini.

Naik Aeroplane

Tiba masanya, kita pun berangkat menaiki aeroplane yang akan menuju ke Kota Bharu. Sejurus sahaja kapal terbang berlepas, ABAH Mama terus mengeluarkan senjata bagi mengisi masa Taqi, Amir dan Amirah. Satu set crayon terus ABAH beri kepada Taqi untuk mula menulis.

Amir dan Amirah pula begitu teruja tengok ke luar. Dalam aeroplane kata Amir.

Amir tengah kacau Amirah

Alhamdulillah, penerbangan kita agak lancar dengan turbulence yang sangat minima. Mujurlah juga penerbangan hanya sejam sahaja, Amir dan Amirah tak sempat nak bosan, kapal terbang dah mula mendarat.

Sampainya kita di Lapangan Terbang Kota Bharu, ABAH terus menghubungi pemandu teksi airport Kota Bharu yang ABAH dah tempah sehari awalnya (sebab kita memerlukan kereta MPV untuk muat semua barangan).

Sebuah kereta Proton Exora dipandu oleh seorang pakcik sedia menunggu kita. Perjalanan ke Tanah Merah agak perlahan, trafik agak sesak, maklumlah, hari raya. Dalam sejam setengah, kita sampai ke rumah Atuk.

Senang ada perkhidmatan airport teksi di KB ni. Harganya pun berpatutan. Dari KB ke Tanah Merah dengan jem mengambil masa 1 jam lebih ni pun, kita dapat rate tetap RM100 (sebab cuti umum, kalau hari biasa dalam RM80 je).

Bagi yang berminat, boleh contact nombor di bawah:

OK, jom kita beraya betul-betul setelah seharian beraya dalam kenderaan! Kenangan Aidilfitri 2019.