Trip ke Jepun dengan Anak Kecil – Bertolak

Sudah lama rasanya ABAH tidak membawa keluarga berjalan-jalan, terutama ke luar negara. Kenapa luar negara? Bila berjalan di luar negara ini, dapat membuka mata dengan lebih luas mengenali budaya dan cara hidup masyarakat yang berbeza dengan di Malaysia. Jadi, selepas ABAH dan Mama berdiskusi, kami memilih destinasi Jepun untuk kita mengenal watak manusia. Ini adalah kisah trip ke Jepun dengan anak kecil: Taqi, Amir dan Amirah.

Trip ke Jepun: Persiapan Sebelum Bertolak

Oleh kerana ini merupakan perjalanan yang besar dan dirancang sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen pelancongan, ditambah pula dengan membawa 3 anak-anak kecil, maka, ABAH tiada pilihan untuk melakukan kesilapan walaupun kecil, jika tidak, memang rancangan perjalanan akan tergendala dan menyukarkan kita sekeluarga.

Menurut perancangan, kita akan berada di bumi Samurai ini selama 8 hari 7 malam, satu tempoh yang agak panjang.

Oleh itu, sebelum bertolak, ABAH dan Mama sudah banyak mengkaji sistem dan tempat-tempat menarik di Jepun, ditambah pula dengan makanan-makanan halal di sana bagi membolehkan perjalanan kita sekeluarga di Jepun lancar dan paling efisien.

1) Persiapan Mental dan Objektif

Paling utama bagi ibu bapa, adalah untuk menentukan dari awal, apa objektif perjalanan ini supaya dapat mempersiapkan mental ibu bapa dan anak-anak dalam mencapai expectation masing-masing. Objektif dan expectation ini akan menentukan ke mana kita akan pergi dan bagaimana tentatif perjalanan kita sepanjang di Jepun.

Secara peribadi, ABAH dan Mama telah menentukan bahawa objektif kita ke Jepun kali ini adalah:-

  • Mempelajari dan melihat sendiri budaya dan adat rakyat Jepun secara umum merangkumi kehidupan harian mereka;
  • Memerhatikan teknik parenting rakyat Jepun dan bagaimana mereka mendidik anak-anak kecil mereka;
  • Memastikan anak-anak kecil (Taqi, Amir dan Amirah) kekal seronok tanpa mengabaikan perjalanan sebagai pelancong.

2) Persiapan Kewangan

Kewangan merupakan antara perancangan yang rumit, terutama untuk trip ke Jepun dengan anak kecil. Umum mengetahui bahawa kos kehidupan di Jepun ini antara yang tertinggi di dunia. Jadi sudah tentu perlu untuk perancangan rapi perbelanjaan agar kita tidak terlebih belanja yang buruk kesannya.

Sudah tentu persiapan kewangan ini bergantung kepada objektif dan aktiviti yang kita akan lakukan sepanjang di Jepun. ABAH pecahkan kewangan ini kepada beberapa kategori:

  • penempatan
  • pengangkutan (udara dan darat)
  • makanan
  • perbelanjaan lain (cenderamata dll)

ABAH akan menulis dengan lebih panjang mengenai setiap point di atas dalam post yang lain.

3) Persiapan Peralatan

Trip ke Jepun dengan anak kecil ni pastinya berbeza perancangannya dengan trip backpacking remaja-remaja yang dah banyak dikongsikan. Terdapat banyak peralatan tambahan yang perlu difikirkan untuk dibawa ataupun dibeli sahaja di Jepun.

ABAH membawa 3 anak-anak kecil dalam trip ini: Taqi (6 tahun), Amir dan Amirah (3 tahun). Jadi berikut merupakan peralatan khusus untuk anak-anak yang ABAH turut bawa:-

  • 2 set stroller GB Pockit (beli di Shopee sahaja)
  • 2 set Andrea SSC Carrier
  • 1 cooler backpack Natural Moms – untuk letak lampin dan susu anak-anak waktu berjalan-jalan
  • 1 set berus bersihkan botol susu
  • Ubat-ubatan anak-anak seperti ubat selsema, demam, batuk dan sakit perut

4) Persiapan Ilmu dan Maklumat

Kalau nak ke negara yang asing, sudah tentu perlu untuk buat sedikit bacaan dan kajian awal supaya tidaklah terlalu terkejut apabila tiba ke sanak, apatah lagi datang dengan anak-anak. Berikut merupakan senarai bacaan yang ABAH rasa penting untuk dihadam sebelum ke Jepun:-

  • Memahami sistem pengangkutan awam
  • Memahami sistem JR Pass
  • Makanan halal dan restoran di Jepun
  • Senarai makanan halal di 7-Eleven dan Family Mart

InsyaAllah ABAH akan kongsikan dengan lebih detail mengenai perjalanan kami ke Jepun ini.