Penerbangan Ke Jepun dari Kuala Lumpur

Dalam post sebelum ini, ABAH ada senaraikan persiapan awal trip bersama kanak-kanak ke Jepun. Kali ini ABAH akan kongsikan catatan penerbangan ke Jepun.

Terdapat beberapa pilihan penerbangan ke Jepun dari Kuala Lumpur. Sebagai permulaan trip kita ini, ABAH menggunakan khidmat SkyScanner untuk membuat perbandingan harga dan pilihan penerbangan.

Mengikut SkyScanner, antara hari penerbangan dengan harga paling murah adalah Kuala Lumpur ke Tokyo Haneda pada petang 10 Ogos 2019 menggunakan Air Asia. Disebabkan kita akan juga ke Osaka mengikut perancangan ABAH, ABAH merancang untuk kita pulang ke Kuala Lumpur melalui Kansai International Airport pada 17 Ogos 2019, penerbangan malam menggunakan AirAsia.

penerbangan ke jepun

Jumlah kos keseluruhan tiket penerbangan sekeluarga adalah RM7,213.25.

Hari Penerbangan ke Jepun (10 Ogos 2019)

Pada hari penerbangan kita dijadualkan, walaupun tiket dibeli pada jam 2:15PM melalui klia2 (penerbangan D7 522), tapi kita bertolak awal juga, sekitar jam 9:45 pagi dari rumah di Ampang menuju ke klia2. Bukannya apa, hujung minggu ini merupakan permulaan cuti sekolah seminggu dan juga sehari sebelum Hari Raya Aidiladha keesokan harinya, dan berita juga menunjukkan trafik yang semakin sesak menghala keluar dari Kuala Lumpur, oleh itu, ABAH dan Mama bersiap awal ke klia2 takut-takut jalan sesak.

Pada jam 9:45 pagi, teksi yang ABAH dah book tiba di depan rumah. Pakcik Nasarudin ni memang dah biasa bawa kita, teksi yang dibawanya proton Exora (TEKS1M) jadi lebih luas, tetapi harga masih murah.

Rupa-rupanya, jalan tidak sesak, lancar aje sepanjang perjalanan ke klia2. Mencabar sedikit perjalanan ni sebab Amir dan Amirah tiada car seat, hanya duduk di riba ABAH dan Mama. Kena pegang kuat sebab bahaya kereta bergerak. Amir dan Amirah pun boleh tahan aktifnya.

Dalam Teksi ke klia2

Tiba di klia2

Kita tiba awal di klia2, sekitar jam 10:30 pagi. Masih ada lebih kurang 4 jam sebelum penerbangan. Tetapi, ada banyak lagi perkara perlu dibuat sebelum penerbangan.

Pertama, kita pergi balut bagasi dengan plastik pembalut. Kenapa ABAH dan Mama tetap buat macam ni, yang paling utama sebab taknak ada isu orang masukkan apa-apa barang (terutamanya dadah) ke dalam bagasi kita dan akhirnya, kita yang akan dituduh. Kedua adalah untuk memperkuatkan bagasi agar lebih tahan lama dilambung ke sana ke sini dengan muatan yang berat.

Selesai membalut bagasi, kita terus ke kaunter check in untuk meletakkan bagasi kita ke dalam pesawat. Bagasi-bagasi yang dah dibalut kemas itu disusun rapi di atas troli lapangan terbang. Taqi dan Amir pun sama sibuk nak membantu ABAH menolak troli bagasi ini. Memang anak-anak ABAH baik, suka menolong ABAH.

Setelah bagasi-bagasi kita diserahkan di kaunter dengan selamatnya, ringan sikit beban untuk kita ke sana sini. Tapi, ABAH singgah di Roaming Man sebab ABAH ada book portable wifi untuk kita gunakan di Jepun nanti. ABAH dah siap book menerusi web Klook Travel, so tinggal untuk pickup sahaja.

Selesai ABAH ambil portable wifi ke Jepun, kita sekeluarga terus masuk ke dalam boarding gate. Di pemeriksaan kastam, pegawai tu siap bertanya nak pergi mana sebab esok dah nak raya. ABAH pun jawab “nak beraya di Jepun”, bergurau.

Makan Tengahari di the Chicken Rice Shop

ABAH pernah kongsikan dahulu fasiliti dan kedai-kedai di klia2 ni (Trip Bandung – Apa Fasiliti di klia2). Kali ini juga, kita mempunyai banyak masa untuk lepak di dalam kawasan boarding ini sebelum menaiki penerbangan yang dijadualkan. Mama mengajak makan The Chicken Rice Shop. Mama teringin makan nasi ayam agaknya.

Boleh tahan juga ABAH lapar walaupun masih awal, sekitar jam 11:30 pagi. Mama pergi order nasi ayam sambil ABAH menjaga Taqi, Amir dan Amirah. Lama juga mama memesan makanan, sebab pekerja the Chicken Rice SHop yang bertugas hari ini tak ramai. Lepas hampir 15 minit, barulah Mama kembali dengan makanan yang dipesan.

Muka kelaparan menanti Mama membawa makanan

Selepas kenyang makan the Chicken Rice Shop, Mama singgah di McDonald’s untuk membeli cafe latte sebagai bekalan tenaga penerbangan yang panjang selepas ini. Selesai menerima cafe latte, kita singgah sebentar di bilik salin lampin untuk ABAH dan Mama masing-masing menukar lampin Amir dan Amirah. Selesa tempat salin lampin dalam terminal antarabangsan klia2 ni, luas dan bersih.

Menaiki Pesawat Penerbangan ke Jepun

lebih kurang 1 jam 40 minit sebelum pesawat dijadualkan berlepas, terlihat gate yang kita akan gunakan untuk menaiki pesawat sudahpun dibuka. Kita terus menuju ke pintu perlepasan dan duduk di bahagian dalam gate itu menanti untuk masuk ke pesawat.

Masa untuk berlepas pun tiba dan dengan pantas kita sekeluarga masuk ke pesawat.

Tempat duduk kita di baris 44, kerusi D,F,G,H dan K. Walaupun nampak pelik bunyinya, tapi semua kerusi tu duduk bersebelahan sebaris 5 orang sebab konfigurasi tempat duduk Airbus A330 ni 2-3-2. Abah, Amir dan Amirah duduk sebaris di kerusi tengah dan Taqi dan Mama duduk berdua di bahagian tingkap pesawat sebab Taqi sangat suka tengok luar tingkap. Perjalanan mengambil masa lebih 7 jam ni, Bismillah, ABAH harap anak-anak pun behave.

Pada awal penerbangan, memang semua orang excited, terutama anak-anak ABAH yang aktif ni. Tapi semua baik, duduk di kerusi masing-masing dengan bertali pinggang keledar. Namun, keadaan cuaca ditakdirkan kurang baik dan tanda isyarat pasang tali pinggang keledar sentiasa dihidupkan.

2 jam seterusnya penerbangan, anak-anak dah semakin restless. Bosan agaknya perlu duduk sahaja dalam kapal terbang. Mulalah sesi bertukar-tukar tempat duduk antara Taqi, Amir dan Amirah. Ada kalanya Amirah nak duduk dengan Mama, ada kalanya nak dengan ABAH.

Amirah tersenyum riang di samping Mama yang nampak keletihan

Menjelang 3 jam penerbangan ke Jepun, nampak anak-anak ABAH dah semakin letih. Amir tertidur dulu di pelukan ABAH diikuti Amirah yang terlelap kemudian. Taqi tertidur di sisi Mama.

Menjelang 7 jam perjalanan, (sekitar 9 malam waktu Malaysia, 10 malam waktu Jepun), kapal terbang sudah hampir tiba ke destinasi. Perlahan-lahan, pesawat menjadi semakin rendah tanda persediaan mendarat. Kelihatan lampu-lampu di tanah semakin jelas. Kita sudah tiba di Jepun!

penerbangan ke jepun
Tokyo dari atas pesawat

Pesawat didaratkan dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo. Selesai keluar, kita terus menuju ke imigresen Jepun. Alhamdulillah, sangat banyak kaunter imigresen dibuka melancarkan proses pengesahan imigresen. Setiap daripada kita menerima stiker kecik di dalam passport yang menunjukkan kita adalah pelancong.

Keluar sahaja ke balai ketibaan, kita disambut seorang pemandu peribadi yang ABAH sudah tempah juga melalui Klook. Beliau berdiri di balai ketibaan dengan memegang kertas a4 tertulis “Muhammad Huzaifah bin Abd Rashid”. Alhamdulillah, senang perjalanan kita. Bukannya apa, sebab sampai dah lewat malam (campur pelepasan imigresen dan ambil beg sudah hampir jam 11:00 malam), jadi, kita tiada pilihan lain melainkan perlu hire private transfer.

Walaupun pemandu ini tidak boleh berbahasa Inggeris, ABAH hanya berikan sahaja kertas yang disediakan hos AirBnB kita yang menunjukkan arah ke tempat penempatan kita. Di sini ABAH dan Mama sudah mula memerhatikan sekitar Tokyo, termasuk cara pemanduan orang di sekeliling. ABAH dan Mama juga memerhatikan convenience store seperti 7-Eleven, Family Mart dan Lawson yang bersepah-sebah di sekitar bandar ini.

Kereta yang dinaiki ini adalah Toyota Alphard, sangat selesa. Taqi dan Mama duduk di bahagian tengah, ABAH, Amir dan Amirah duduk di bahagian belakang dengan selesa sekali. Amir excited dan asyik nak melompat sahaja dalam kereta. ABAH berkali kali halang sebab takut dimarahi pemandu.

Perjalanan dari lapangan terbang menuju ke AirBnB di Shinjuku mengambil masa sekitar 30 minit sahaja. Sampai sahaja di AirBnB, beg diangkat, ABAH membuka pintu AirBnB mengikut arahan yang diberikan. Di sini, check in boleh pada bila-bila masa sebab kunci diletakkan di mailbox automatik yang mempunyai kod akses. ABAH sangat letih sampai tertinggal SSC di dalam kereta.

perjalanan ke jepun di air bnb
Amirah dah siap landing

Pintu dibuka dan ABAH hanya perhatikan 2 katil saiz Queen yang tersergam indah tu. Rasa nak baring dan tidur terus. Tapi ABAH dan Mama mandikan dulu anak-anak supaya badan selesa, kemudian, ABAH bancuh susu dan tidurkan semua menjelang jam 12 tengah malam. ABAH dan Mama turut terlelap keletihan selepas bersolat Maghrib dan Isyak.

Esok merupakan hari yang panjang. Tak sabar rasanya!

Baca Lagi: Trip ke Jepun (Day 1)