Trip ke Jepun – Day 1

Kalau diikutkan, hari ini merupakan hari kedua kita di Jepun, tapi sebab semalam merupakan perjalanan semata-mata dan kita mendarat pun dah lewat malam, jadi, ABAH consider hari ini sebagai betul-betul hari pertama kita menjelajah bumi Jepun ini. Dalam ni, ABAH sertakan juga itinerari Jepun mesra kanak-kanak bagi rujukan yang berminat.

Itinerari Jepun Mesra Kanak-Kanak

1) Bangun Pagi dan Sarapan

Kita semua bangun pagi agak lewat, dalam jam 8 pagi baru mula bergerak. Semua orang keletihan perjalanan panjang semalam. Takpelah, slow-slow. Mandi dan bersiap semua, akhirnya jam 8:40 pagi juga kita berjaya keluar rumah.

Bulan Ogos ni merupakan musim panas di Jepun dan bulan Julai sehingga Ogos kebiasaannya mencatat suhu paling tinggi, secara purata sekitar 34 darjah celcius. Panas tu! Sebab tu penting jika berjalan di Jepun pada musim panas ni untuk keluar rumah awal. Cumanya kebaikan berjalan pada musim panas ni adalah waktu siang yang panjang, lebih masa untuk berjalan dalam satu hari tu.

Kita menyewa di sebuah rumah tumpangan menerusi AirBnB yang terletak di bandar Shinjuku, salah satu tempat tumpuan pelancong di Tokyo ini. ABAH memilih untuk menetap di Shinjuku di Tokyo disebabkan dekat dengan pelbagai tarikan pelancong di samping stesen JR Train Shinjuku ni antara stesen JR yang utama, memudahkan sikit untuk keluarga yang mempunya itinerari Jepun mesra kanak-kanak macam kita ni.

Jam 8:40 AM: Keluar rumah dan menuju ke 7-Eleven untuk membeli sarapan on the go. Rancangnya nak beli onigiri (nasi kepal) dan cafe latte di 7-Eleven dan makan sambil bergerak ke destinasi bagi menjimatkan masa.

Rumah yang kami sewa ni agak besar bagi standard rumah di Tokyo (tetapi kecil ikut standard rumah Malaysia). Ianya terletak di satu lorong kecil yang hanya di pinggiran jalan besar menuju ke pusat bandar Shinjuku. Stesen metro terdekat adalah Shinjuku San-chome yang pintu masuknya hanya 5 minit perjalanan dari AirBnB kita. Shinjuku JR Station pula terletak dalam 15 minit perjalanan.

tentatif jepun mesra kanak-kanak
Rumah kita di Shinjuku

Di 7-Eleven, kita spend agak lama masa untuk mencari sarapan Halal yang sesuai. Jenuh juga ABAH membaca banyak rujukan awal yang ABAH dah buat sebelum datang ke Jepun. Antara onigiri yang boleh dimakan adalah Salmon (tanpa mayonis) dan Onigiri dan garam sahaja. Mujur zaman sekarang juga ada google translate yang boleh ambil gambar tulisan jepun lalu diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Banyak pilihan onigiri, tapi tak banyak yang Halal
Antara onigiri yang Halal

2) Menyelesaikan Tiket-tiket Perjalanan Metro dan JR Pass

Jam 9:00 pagi: Perkara pertama yang ABAH nak buat adalah untuk membeli Tokyo Metro Pass sebab mengikut kiraan, adalah lebih berbaloi menggunakan Tokyo Metro Pass berbanding menggunakan IC card (macam Touch N Go). ABAH membeli Metro Pass 72 jam, 2 unit untuk ABAH dan Mama, 1 unit untuk Taqi. Amir dan Amirah tidak perlu bayaran naik Metro.

Kita masuk ke dalam underground stesen Shinjuku San-Chome lalu berjalan mencari pejabat jualan metro pass ini. Di setiap gate masuk ke platform, akan ada sekurang-kurangnya seorang pegawai metro yang menjaga kaunter. Tetapi, untuk membeli tiket atau metro pass ini, perlu ke pejabat utamanya. Setelah bertanya arah beberapa kali, sampailah juga kita ke pejabat yang menjual metro pass ini. Dengan kebolehan berbahasa Inggeris yang terhad, tapi pegawai bertugas tu faham juga apa yang ABAH nak beli dan berjaya kita dapatkan 3 metro pass seperti dirancang dalam itinerari Jepun mesra kanak-kanak.

Membuat bayaran untuk membeli Metro Pass
trip jepun mesra kanak-kanak
Amirah tekun membaca Map
Taqi dan kipas portablenya sebab panas

Asalnya nak menaiki metro ke stesen JR Train Shinjuku (yang terletak dalam 2 minit perjalanan metro dari stesen Metro Shinjuku San-chome), tapi bila dah menapak jauh mencari tiket metro tu, dah sangat dekat dengan stesen JR Shinjuku rupanya. Tak perasan jalan jauh sebab kita menapak di bawah tanah sahaja.

10:30 pagi – Dah sesat semua, akhirnya jam 10:30 pagi juga sampai ke JR Shinjuku Station. Cabaran seterusnya adalah untuk mencari ticket office JR untuk redeem JR Pass kita. Stesen JR Shinjuku ni sangat besar, orang pun sangat ramai walaupun hari ini merupakan hari Ahad. Jenuh mencari, akhirnya nampak juga papan tanda pejabat JR untuk redeem JR Pass. ABAH ke pejabat JR ni berseorangan sebab perlu naik tangga. Mama, Taqi, Amir dan Amirah berehat sekejap di satu sudut tepi kedai runcit dalam stesen.

Papan tanda untuk redeem JR Pass (warna hijau)

Proses redeem JR Pass ini sangat mudah. Masuk dalam barisan untuk beratur, ada pegawai yang semak Exchange Order yang ABAH dah beli dan dapat melalui KLook dari Malaysia lagi. Dia semak nama dalam Exchange Order tu perlu sebiji dengan dalam passport, huruf demi huruf. Alhamdulillah, semua sama dan dalam 10 minit, ABAH berjaya menerima 3 JR Pass masing-masing untuk ABAH, Mama dan Taqi. ABAH turut menempah tempat duduk untuk Shinkansen kita ke Osaka pada hari Selasa nanti mengikut itinerari Jepun mesra kanak-kanak.

JR Pass

3) Melawat East Garden dan Imperial Palace

Jam 11:05 pagi: Dari stesen Shinjuku, kita menaiki metro line Marunouchi ke arah stesen Otemachi. Perjalanan naik metro ni mengambil masa lebih kurang 20 minit. Di dalam metro ABAH dan Mama sedikit sebanyak dapat melihat cara orang Jepun hidup. Walaupun dalam musim panas, ABAH dan Mama dapati ramai daripada mereka masih berpakaian sopan dan kurang terdedah berbanding musim panas di UK atau USA.

Jam 11:30 pagi: Kita tiba di stesen Otemachi. Dari pintu keluar tren, kita berjalan menuju ke East Gardens melalui laluan bawah tanah yang bersambung dengan stesen metro. Sampai je ke bahagian atas, terasa bahang kepanasan tengahari. Berpandukan apps Google Maps, kita berjalan perlahan-lahan menuju ke East Garden dengan ABAH dan Mama menolak 2 stroller Amir dan Amirah sambil Taqi berjalan sendiri.

Jam 11:45 pagi: Kita sampai ke pintu masuk East Gardens menerusi Ote-mon Gate. Dari situ kita masuk ke dalam taman dan dapat melihat binaan benteng dengan batu-bata bersaiz besar disusun rapi membentuk benteng pertahanan kawasan istana. Terdapat beberapa barracks tentera juga terdapat sekitar East Gardens ini. Imperial Palace terletak agak jauh lagi dan dipisahkan daripada East Gardens ini.

Pada musim panas sebenarnya East Gardens ni biasa je, takdelah cantik sangat pun. Tarikan utama East Gardens ni sebenarnya sekitar bulan 4, iaitu sewaktu musim Cherry Blossoms, di mana akan kelihatan penuh sakura di dalam taman ini. Waktu musim panas kita datang ni, memang nampak hijau la, cuma beberapa lanskap dalam taman ni masih cantik untuk dilihat, terutamanya pokok-pokok bonsai, taman buluh dan binaan rumah jepun stail lama.

Kiambang memenuhi sungai
Hyakunin-bansho, antara tinggalan barrack tentera Jepun zaman dahulu

Mengenai East Garden: East Gardens ni sangat besar, dalam 210,000 meter persegi keluasannya, merangkumi kawasan taman ni dan kawasan berpagar Imperial Palace. Kawasan yang terbuka untuk awam adalah di East Gardens ini sahaja, untuk memasuki kawasan Imperial Palace, perlu tempah guided tour dan setakat bacaan ABAH, ianya tidak mesra kanak-kanak.

Masuk ke East Gardens ni adalah percuma sahaja, cumanya akan ada pegawai memberi setiap daripada kita satu tiket kecil di mana perlu dipulangkan kembali waktu keluar. Rasanya mereka nak keep track individu yang masuk ke dalam kawasan East Gardens ni untuk keselamatan.

Waktu kita jalan-jalan dalam East Gardens ni, matahari dah mula tegak atas kepala. Mujur ada disediakan bilik rehat berhawa dingin di mana ramai juga pelancong yang berlindung dari panas di situ. Di dalamnya juga ada vending machine di mana ABAH mencuba beli minuman Pocari Sweat bagi mengembalikan kembali bendalir dalam badan.

trip jepun mesra kanak-kanak

Jam 12:15 tengahari: Setelah berehat sejenak dalam air cond, kita menyambung perjalanan menuju ke Imperial Palace. Kita perlu keluar dulu daripada East Gardens, menyusuri tepi sungai dalam 800 meter barulah nampak Imperial Palace. Seperti yang ABAH dah kata tadi, Imperial Palace ni tak boleh masuk sendiri, jadi, kita pun hanya ambil gambar dari jauh sahaja.

trip jepun mesra kanak-kanak

Mengenai Tokyo Imperial Palace: Tapak Imperial Palace ini dahulunya merupakan tapak binaan Istana Edo. Ianya kini menjadi tempat tinggal keluarga diraja Jepun.

Dulu, ianya merupakan tapak istana Edo, di mana Shogun Tokugawa memerintah Jepun sehingga tahun 1867, ataupun dikenali sebagai zaman Samurai. Pada tahun 1867, pemerintahan shogun digulingkan dan dimansuhkan dan Maharaja Meiji telah naik takhta dan mengembalikan pemerintahan beraja di Jepun. Maharaja Meiji memindahkan istana diraja daripada Kyoto ke Tokyo dan membina Imperial Palace menggantikan istana Edo ini.

4) Makan Tengahari: Siam Orchid Supreme, Kitchen Street, Tokyo Station

Jam 1:00 petang: Habis berjalan sekitar East Gardens dan melihat Imperial Palace dari jauh, kita menapak ke Tokyo Station yang terletak sekitar 600m daripada tempat kita melihat Imperial Palace. Cuaca pun rasa semakin panas dan bahang, memang sesuai untuk tukar kepada aktiviti indoor.

Dalam perjalanan ke Tokyo Station ni, Amirah tertidur dalam stroller yang Mama tolak. Amir dah terlelap lebih awal dalam carrier.

Dari East Gardens, kita menyusuri kawasan pejabat dan komersil pencakar langit. Jadi, sesekali tu lega sebab melalui kawasan redup ditutup bayang-bayang bangunan.

Jam 1:15PM: Di Tokyo Station, sebelum nak buat apa-apa benda lain, perut pun dah lapar. ABAH nak kita rehat dan makan tengahari dahulu. Ada satu restoran Thai dalam Tokyo Station ni yang Halal, jadi, ABAH pun mencari restoran itu.

Tokyo Station ni pun sangat besar. Ditambah pula dengan hari ini merupakan weekend permulaan bagi cuti musim panas masyarakat Jepun, maka sangat penuh dan sesak Tokyo Station ini dengan orang-orang Jepun yang nak balik kampung.

ABAH pergi Google nama restoran yang kita nak makan, “Siam Orchid Supreme”, lalu dalam Google ditunjukkan dalam Google Maps satu restoran di kawasan Yaesu East Tokyo Station. Agak jauh juga lokasinya, selepas berjalan menolak stroller, berjumpa restoran tu, malangnya, ini restoran yang silap. Namanya sama, tapi ni restoran yang tidak HALAL.

Menurut notis pada restoran ini, Siam Orchid Supreme yang Halal terletak di Kitchen Street. ABAH pun dah letih dan keliru. Di mana pula Kitchen Street ni? ABAH teringat sewaktu dalam perjalanan dari bangunan utama Tokyo Station nak ke Yaesu East, ternampak papan tanda Kitchen Street di sebelah kanan. Ianya hanya terletak separuh perjalanan daripada Tokyo Station berbanding tempat kita berada sekarang. Kita pun patah balik menyusuri jalan tadi mencari restoran Siam Orchid yang Halal.

Ini Map Kitchen Street kalau nak cari:

Jam 1:45PM: Setelah berhempas pulas mencari arah dalam Tokyo Station, barulah kita berjumpa restoran Siam Orchid Supreme yang Halal. Namun, ketika kita tiba, tiada tempat kosong, jadi perlu tunggu dalam 10 minit. Setelah orang mula beransur pergi, barulah kita boleh masuk dan mendapatkan tempat duduk. Alhamdulillah, sedap aircond dalam ni.

Kita order 3 set makanan Thai, ABAH order set nasi putih dan ayam pad thai, Mama kuey teow tom yam dan anak-anak, kuey teow sup ayam. Mama juga turut order Mango Lassie. Selain tu, kita turut dihidangkan air sejuk yang sungguh menyegarkan setelah seharian berpanasan.

5) Tokyo Station

Jam 2:15PM: Setelah perut kenyang dan badan kembali bertenaga, ABAH melakukan bayaran untuk makanan yang kita pesan. Amir dan Amirah salin lampin, Taqi pun pergi ke tandas yang berdekatan. ABAH mencari tempat solat sebelum kita menyambung perjalanan.

Menurut bacaan ABAH, di Tokyo station ni ada prayer room. Jadi, kita kembali berjalan ke pintu utama Metro Station (Marunouchi side) dan kelihatan satu pusat informasi pelancong di mana di dalamnya terdapat satu prayer room yang boleh digunakan. Pintu prayer room ini berkunci, tapi tekan sahaja loceng di pintunya dan cakap pada operator yang menjawab tu nak guna prayer room dan dia akan bukakan pintu secara automatik. Alhamdulillah, selesa tempat solat ni dilengkapi fasiliti wudhu’.

Selesai menunaikan tanggungjawab seorang Muslim, kita keluar ke bahagian pintu utama Tokyo Station. Tokyo Station, selain menjadi hab pengangkutan Tokyo, juga merupakan satu tarikan pelancong yang tersendiri.

Bangunan asal Tokyo Station ini dibina lebih 100 tahun dahulu (tahun 1914) dan telah beberapa kali musnah dalam siri-siri peperangan. Menjelang Olimpik Tokyo 2020 nanti, kelihatan sibuk stesen ini dibaikpulih dan renovation giat dijalankan.

Architecture Tokyo Station ini dilihat menerima sentuhan gaya Victoria British. Arkitek yang mengilhamkan senibina Tokyo Station ini adalah Kingo Tatsuno, seorang Jepun yang dilatih menjadi arkitek di London, England. Hari ini, Shinkansen (bullet train) berlepas daripada stesen ini ke bandar-bandar Jepun yang lain.

Pada musim panas ini juga, di bahagian Marunouci Exit Tokyo Station ini, dialirkan air di atas lantai berhadapan dengan pintu utama stesen. Pengunjung bebas untuk meletakkan kaki bagi menyejukkan sikit kaki yang kepanasan. Waktu ni, cuaca dah sedikit mendung membuatkan rasa panas tu kurang, tapi tak sedikit juga anak-anak orang Jepun yang seronok main air di sini. Taqi, Amir dan Amirah juga tak nak kalah,

Jam 3:00 PM: Setelah hampir 45 minit juga kita berlegar-legar di luar Tokyo Station ini, kita sekeluarga mula bergerak ke destinasi seterusnya: Tokyo Skytree.

6) Tokyo Skytree

Dari Tokyo Station, kita menaiki Marunouchi Metro line ke Otemachi, lalu bertukar tren menaiki Hanzomon Line dan berhenti di Oshiage station. Perjalanan dalam metro mengambil masa lebih kurang 30 minit.

Jam 3:30 petang: Sampainya di stesen Oshiage, perlu berjalan dalam 10 minit lagi untuk sampai betul-betul di kaki Skytree. Menghampiri Skytree, kelihatan tersergam megah satu menara pencakar langit.

Kita sekeluarga masuk ke bahagian ruang legar Skytree. Untuk naik ke atas, perlu buat bayaran, dan dapatlah melihat Tokyo dari sudut yang berbeza. Namun, disebabkan ABAH rasa anak-anak belum boleh appreciate pemandangan pencakar langit, kita duduk bawah je la.

Di ruang legar kaki Skytree ni pun terdapat banyak maklumat dan infografik mengenai binaan skytree ini, dari sudut architecture, kejuruteraan serta sejarahnya.

Mengenai Skytree: ketinggian keseluruhan Tokyo Skytree ini adalah 2,080 kaki, dua kali ganda lebih tinggi daripada menara Eiffel. Ini menjadikan Tokyo Skytree sebagai menara tertinggi di dunia (bukan bangunan tertinggi – bangunan tertinggi adalah Burj Khalifa di Dubai). Ianya dibina bermula tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada tahun 2012.

4:15 Petang: Rasa dah cukup berjalan di sekitar Skytree ni, jadi, kita nak mula beransur ke Shibuya Crossings yang terkenal tu. Tapi sebelum kembali ke Oshiage metro station, kita sempat singgah di 7-Eleven dalam perjalanan untuk belikan susu untuk diminum anak-anak. Susu yang dah dibawa dari rumah pagi tadi dah licin. Kita berehat sekejap di tepi jalan untuk anak-anak minum.

7) Shibuya Crossings & Hachiko

4:30 petang: Sampai di Oshiage metro station, bergerak menaiki Hanzomon line ke Shibuya metro station.

Dalam perjalanan inilah Amir yang sedang duduk dalam stroller pantas betul tangannya menekan button SOS di dinding tren tu. Lalu di interkom ditanya ada apa-apa masalah ke, tapi ABAH tidak tahu nak jawab apa (sebab dalam bahasa Jepun). Dalam 3 minit tren berhenti lalu kemudian seorang pegawai masuk tanya apa jadi, so ABAH pun tunjuk dalam bahasa isyarat yang budak-budak ni tertekan. Lalu pegawai tu kata OK, keluar dan tren pun berjalan kembali. Fuh, nasib baik takde apa-apa, cuma orang dalam tren tu memandang tajam je kita. ABAH pun peluk Amir kuat-kuat.

Sampai je di Shibuya, terasa kesesakannya. Ramai sungguh orang di crossings tu. Sekali dia hijau, macam kena tarik dengan ombak sebab orang berpusu-pusu melintas. ABAH dan Mama tak sempat nak ambil gambar atau video di sini sebab terlalu kalut nak pastikan anak-anak tak hilang.

Begitu juga di patung Hachiko, ramai sungguh orang di situ ambil gambar. Ini pun ABAH dan Mama tengok dari jauh je dan kita kembali ke dalam station Shibuya untuk menaiki JR Train ke Shinjuku.

8) Shinjuku

6:15 PM: Hanya ambil kurang 10 minit sahaja dari Shibuya ke Shinjuku. Kalau ikutkan, boleh je ABAH dan Mama ambil metro dari Shinjuku ke Shinjuku San-chome untuk balik ke AirBnB kita, tapi saja ABAH nak kita keluar di stesen Shinjuku untuk melalui jalanraya utama pulang ke AirBnB.

Shinjuku ni merupakan bandar metropolitan dan bandar shopping. Waktu kita tiba ni, sudah hampir Maghrib dan cuaca sudah menjadi semakin gelap. Lampu-lampu kedai dah dihidupkan. Di sini ada banyak kedai-kedai jenama besar seperti Uniqlo, Isetan dan jenama-jenama Eropah yang lain. Disebabkan ABAH dan Mama memang tiada rancangan untuk shopping, jadi, kita hanya berjalan memerhatikan sekeliling sahaja.

Perlahan-lahan kita berjalan, menjelang jam 7:15 petang, kita kembali tiba di sekitar AirBnB kita. Sebelum pulang, kita singgah di 7-Eleven berdekatan untuk membeli susu segar anak-anak, serta makan malam kita. Makan malam kita adalah nasi putih, ikan bakar (dah siap bakar), kicap yang dibawa dari Malaysia, salad dan mayonnaise Kewpie yang dibawa dari Malaysia. Simple, tapi sebab lapar dan letih, sangat menyelerakan.

Bila dah sampai AirBnB, ABAH dan Mama lenguh dan sakit pada kaki. Jauh juga berjalan hari ini, hampir 8km keseluruhannya, termasuk sesat dalam stesen keretapi dan sebagainya. Malam ini, selepas mandi dan makan nasi, Taqi, Amir dan Amirah cepat sahaja tidur dan sangat nyenyak. Baguslah kita berehat untuk hari seterusnya pula!