Trip ke Jepun – Day 2

Hari kedua kita di Tokyo. Disebabkan semalam kita tidur awal, alhamdulillah harini semua boleh bangun seawal jam 7 pagi dan segar semuanya. ABAH dengan Mama je lah masih sakit-sakit kaki. Ini sebenarnya dah ABAH Mama agak kalau melancong Jepun dengan anak-anak.

Itinerari Melancong Jepun Dengan Anak-Anak – Hari Kedua

1) Tsukiji Honganji Temple

8 pagi: Selepas bersarapan nasi dan ikan sama seperti makan malam semalam, kita terus keluar daripada AirBnB kita dan berjalan dalam 15 minit menuju ke stesen metro Shinjuku-gyommae, ini stesen yang berlainan daripada yang kita naik semalam (Shinjuku san-chome). Stesen ini berdekatan dengan taman besar Shinjuku Gyoen.

8:20 pagi: Dari Shinjuku-gyommae, kita menaiki tren metro Marunouchi menuju ke stesen metro Kasumigaseki. Perjalanan mengambil masa 10 minit menaiki metro. Dari stesen Kasumigaseki, kita bertukar laluan metro menaiki metro Hibiya dan berhenti di stesen Tsukiji. Keluar sahaja stesen Tsukiji tu, telah ternampak bangunan unik yang megah dan besar, itulah dia Tsukiji Honganji Temple.

melancong jepun dengan anak-anak

Mengenai Tsukiji Honganji: Tsukiji Honganji ni merupakan salah satu kuil agama Buddha aliran Jodo Shinsu, sepertimana kebanyakan kuil di sekitar Jepun ni. Namun, apa yang menarik perhatian adalah senibina luaran Tsukiji Honganji ini yang mempunyai unsur dari Asia Selatan / India, dengan kubah tajam seperti kuil-kuil India. Mungkin senibinanya mempunyai pengaruh tempat asal Siddharta Buddha, iaitu India.

Sempatlah kita bergambar sejenak dalam 15 minit di sekitar Tsukiji Honganji ini.

melancong jepun dengan anak-anak
melancong jepun dengan anak-anak

9:00 pagi: Setelah berjalan-jalan dan bergambar sedikit di sekitar Tsukiji Honganji ni, kita menerima kehadiran Akito-san yang memakai pakaian samurai berwarna merah. Akito-san ini merupakan orang yang bertanggungjawab untuk Samurai Walk di Tokyo di mana ABAH telah beli pakej tour ini melalui AirBnB. Pakej ini akan membawa kita berjalan sekitar pasar ikan Tsukiji bersama-sama Samurai ini yang juga akan menjadi jurucakap dan memberi penerangan kepada kita dalam bahasa Inggeris. Lega sedikit bila ada orang yang boleh berbahasa tempatan. Lebih menarik apabila Akito turut bersama adiknya, Masa-san yang menjadi jurukamera menggunakan iPhone dan GoPro, dan gambar-gambar yang diambil akan diberikan kepada kita pada akhir sesi. Banyaklah dapat gambar kita sekeluarga. Melancong Jepun dengan anak-anak katakan!

Berikut merupakan link kepada tour ini di AirBnB:

https://www.airbnb.com/experiences/276394

Setelah berkenalan dengan Akito-san dan bergambar di hadapan Tsukji Honganji, Akito-san pun membawa kita berjalan ke Tsukiji Market, tujuan utama kita datang ke sini pagi-pagi ini.

2) Tsukiji Market

Tempat bermula tour

9:05 pagi: Kita memulakan tour kita di bahagian jalan luar Tsukiji Outer Market. Dari situ, kita dibawa menyusuri Tsukiji Outer Market, iaitu kawasan outdoor yang dipenuhi gerai-gerai menjual pelbagai hasil laut dan sayur-sayuran segar. Menarik juga lihat barangan-barangan segar dipamerkan.

9:15 pagi: Kita dibawa ke kompleks jualan pasar Tsukiji yang berhawa dingin. Kita dibawa masuk ke dalam pasar dan Akito-san menerangkan tentang hasil-hasil laut di dalam pasar itu. Masyarakat Jepun memang terkenal dengan menggemari makanan laut, jadi, mereka sangat menyukai makanan laut yang segar.

Taqi, Amir dan Amirah seronok melihat pelbagai hasil laut seperti ikan, udang, sotong dan kepah. Ada yang masih hidupdan bergerak-gerak.

Landak laut (Uni)
melancong jepun dengan anak-anak

Mujur juga ada Akito-san bersama kita. Mudah beliau nak menerangkan kepada kami mengenai hasil-hasil laut di sini dalam bahasa Inggeris di samping menjadi jurubahasa kami untuk berborak dan bertanya soalan dengan penjual tempatan. Akito-san juga banyak membantu kita dalam bertanya samada hasil laut yang telah dimasak mempunyai mirin atau tidak, dan ya, kebanyakan yang dimasak menggunakan kicap Jepun ini mempunyai mirin yang kita tidak boleh makan.

Di kedai tuna, Akito-san menerangkan bahawa terdapat 3 jenis isi tuna yang berbeza kualitinya. Ianya dibezakan menurut warna dan kuantiti minyak dalam isinya. Daripada seekor tuna bersaiz besar itu, kita boleh dapatkan ketiga-tiga jenis isi tuna ini pada bahagian yang berbeza. Yang paling mahal adalah isi tuna yang paling berminyak, berwarna merah cair.

melancong jepun dengan anak-anak

Mengenai Tsukiji Market: Tsukiji Market ini dahulunya terkenal dengan Tsukiji Inner Market, yang selalu dikunjungi untuk melihat lelongan tuna yang baru sahaja dinaikkan nelayan. Namun, bermula Oktober 2018, Tsukiji Inner Market ini telah ditutup dan aktiviti lelongan tuna ini dipindahkan ke fasiliti pasar baru, Toyosu market. Bangunan Tsukiji inner market ini pula diratakan untuk dibina fasiliti sukan Olimpik Tokyo 2020.

Walaupun tiada lagi aktiviti lelongan ikan di Tsukiji, namun, Tsukiji Outer Market masih beroperasi seperti biasa. Bekalan ikan-ikan segar Tsukiji ini juga masih diperoleh daripada Toyosu Market. Pengunjung masih boleh melihat produk-produk segar di Tsukiji Outer market dan boleh mencuba makanan-makanan laut segar di sini yang sangat banyak.

melancong jepun dengan anak-anak

3) Namiyoke Inari Shrine

Kemudian, kita semua dibawa melihat Namiyoke Inari Shrine, sebuah tokong Shinto yang terletak bersebelahan kawasan Tsukiji Outer Market ni. Namiyoke membawa maksud “perlindungan dari ombak”, kerana dahulunya, kawasan ini betul-betul di pinggir pantai (sekarang sudah dalam 10 minit berjalan kaki untuk sampai pinggir pantai). Kuil ini dibina bagi menyembah dewa yang memberikan keselamatan kepada masyarakat kuno Jepun daripada ancaman nami (ombak).

Di dalam kawasan kuil ini terdapat patung singa yang besar. Mengikut kepercayaan Shinto, singa atau harimau ini boleh mengawal angin atau petir. Antara pengaruh kepercayaan ini boleh dilihat dalam game atau anime Pokemon, di mana ada salah satu watak legendary pokemon bernama Raikou yang berupa seekor harimau dan mampu mengawal angin dan petir.

Raikou dalam anime Pokemon

Di sisi belah kanan dan kiri pintu masuk kuil ini pula terdapat dua kepala singa yang besar. Di sebelah kiri pintu masuk, merupakan kepala singa betina yang diberi nama Ohaguro-Shishi yang beratnya adalah 700kg. Di sebelah kanan pula adalah kepala singa betina yang diberi nama Yakuyoke Tenjo Dai-Shishi yang beratnya adalam 1000kg. Pada sebuah perayaan setempat yang dinamakan Tsukiji Lion Festival, dua-dua kepala singa yang berat ini akan diusung sekeliling kawasan Tsukiji ni.

melancong jepun dengan anak-anak
Yakuyoke Tenjo Dai-Shishi

Jam 9:45 pagi: Selepas kuil singa ni, kita dibawa sekeliling outer market Tsukiji yang sibuk dengan pengunjung dan masyarakat setempat yang nak membeli barang dapur secara fresh. Kelihatan banyak juga wasabi dalam bentuk tumbuhan lagi yang belum diproses menjadi paste dijual merata-rata.

Tumbuhan Wasabi sebelum diproses (tak semua orang Jepun tahu nak proses wasabi)

10:00AM: Tempoh tour telahpun tamat. Alhamdulillah, tour dengan orang tempatan ni, 1 jam boleh cover banyak tempat dan tahu kisah-kisah orang tempatan. Seronok walaupun penat. Sebenarnya jam 11:00 pagi kita dijadualkan untuk tour bersama Akito-san juga di Asakusa. Tapi Akito-san persilakan kita sekeluarga untuk mencuba sushi segar di Tsukiji dan boleh mula lambat sedikit daripada sepatutnya di Asakusa.

Kita mencari restoran yang menarik dan masuk ke dalam sebuah restoran. ABAH order satu set sashimi dan ikan bakar kosong dengan garam sahaja. Ini bukan restoran yang ada perisytiharan halal, sebab tepi-tepi pasar je, jadi, ABAH cuba untuk tiada kicap pekat yang digunakan dalam masakan.

Alhamdulillah, selesai tour Tsukiji, dan menjamah sedikit makanan segar, badan kembali bertenaga sedikit. Jom kita menuju ke Asakusa!

Jam 10:30 pagi: Kita bergerak ke Asakusa. Naik Metro Hibiya dari stesen Tsukiji menuju ke stesen Ginza. Dari situ, kita tukar metro Ginza menuju ke stesen Tobu-Asakusa. Disebabkan anak-anak ABAH menggunakan stroller, jadi, di stesen metro Tobu-Asakusa, kita mencari jalan keluar yang mempunyai lif ke tingkat atas. Oleh sebab itu, kita keluar di tempat keluar yang berbeza daripada yang telah berjanji dengan Akito-san. ABAH hubungi Akito-san melalui apps AirBnB dan beliau datang ke tempat kita menunggu dan membawa kita memulakan tour di Asakusa.

4. Asakusa Culture and Tourism Centre

11:40 pagi: Kita tiba di Asakusa Culture and Tourism Centre dan dibawa terus ke tingkat atas sekali (tingkat 7). Sedap dalam ni sebab ada aircond, bolehlah rehat kejap daripada terik panas cuaca luar.

Asakusa Culture and Tourism Centre ni merupakan satu bangunan 7 tingkat yang ada observatory di bahagian bumbungnya beserta sebuah kafe kecil. Dari atas bumbung ni, boleh nampak dengan jelas Sensoji Temple yang kita akan lawat selepas ini dan boleh juga nampak Tokyo Skytree yang dah pun kita pergi semalam. Di bahagian ground floor bangunan ini ada pusat maklumat untuk pelancong, bagi yang berminat.

Sensoji Temple dari atas bangunan

5) Sensoji Temple

Jam 11:50 pagi, kita mula turun daripada bangunan ni dan berjalan ke Sensoji temple. Dalam perjalanan, sempat berhenti mengambil gambar bangunan yang ikonik ini.

Bangunan emas dan arca di tepinya itu merupakan ibu pejabat Asahi, pengeluar arak terbesar di Jepun. Haish, haram!

Di Sensoji temple, memang sangat ramai pengunjung sampai jalan tu terlanggar-langgar. ABAH dan Mama yang masing-masing menolak stroller jenuh membelok kiri dan kanan nak elak lautan manusia daripada terlanggar stroller.

Di Pintu Masuk Sensoji Temple, Kaminarimon

Mengenai Sensoji Temple: Asakusa ni sendiri sebagai satu daerah dalam Tokyo merupakan kawasan tarikan pelancong. Dalam Asakusa ni pula, tarikan paling terkenal adalah Sensoji temple ini sendiri. Dibina pada tahun 645 Masihi, Sensoji merupakan kuil tertua di Tokyo.

Perjalanan kita bermula di pintu besar Sensoji temple ini yang dinamakan sebagai Kaminarimon (Thunder Gate). Di pintu gerbang ini, terdapat dua patung mengapit pintu masuk ke Sensoji temple. Di sebelah kiri merupakan Dewa Petir, Raijin dan di sebelah kanan merupakan Dewa angin, Fujin. Bagi yang pernah baca atau ikuti anime One Piece, akan dapati salah seorang musuh Monkey D Luffy, Enel adalah diilhamkan daripada Raijin.

Enel dalam anime One Piece

Dari pintu gerbang nak ke bangunan kuil utama, kita perlu melalui jalan yang dipenuhi gerai dan kedai. Jalan ini dinamakan Nakamise. Terdapat banyak snek jalanan yang dijual tapi kita perlu memilih supaya tidak termakan makanan yang haram. Selain makanan, terdapat juga banyak souvenir dan barangan kraf dijual.

Di dalam kompleks Sensoji temple ini, terdapat banyak kuil-kuil kecil dan terdapat satu pagoda lima tingkat. Keadaan yang terlalu ramai ditambah dengan cuaca panas terik membuatkan kita hanya mengambil gambar sahaja di sekitar kuil tersebut.

Hazomon gate dan pagoda
pagoda of sensoji temple
sensoji temple

Di sekeliling kompleks Sensoji ni, terdapat banyak gerai yang menjual snek yang hanya akan dijual pada musim panas sahaja. Antara yang banyak dijual adalah Kakigori, iaitu macam ais kepal yang dicurahkan sirap berperisa. Harganya pun murah, dalam JPY130 sahaja. ABAH membeli 2 Kakigori, satu berperisa sarsaparilla dan satu lagi berperisa lemon. Alhamdulillah, sungguh menyegarkan dalam hari yang panas terik ni.

Selepas itu, kita ternampak gerai menjual jus oren. Tapi yang menariknya, jus ni akan diblend secara direct dalam buah oren tu menerusi lubang kecil yang ditebuk. Straw terus diletakkan dalam buah tu dan diminum terus dari buah. Jimat bekas air dan lebih mesra alam sekitar sebab hanya buang sisa buah itu sahaja.

12:30PM: Dah hampir sejam juga kita berjalan bersama-sama Akito-san di sekitar Sensoji ni, tamatlah sudah sesi kita bersama Akito-san. Terima kasih diucapkan sebab banyak membantu, termasuklah bertanyakan penjual-penjual samada makanan diorang ni ada unsur haiwan atau alkohol.

Perut dah berkeroncong, tiba masa untuk makan tengahari. Menurut rancangan, ABAH dan plan untuk makan tengahari di Sushi-ken Asakusa, restoran sushi Halal.

6) Lunch di Sushi-ken Asakusa

Kita berjalan perlahan-lahan dalam 10 minit untuk ke Sushi-ken Asakusa ni. Kita berjalan bersama-sama dengan Akito-san yang menuju jalan yang sama ke stesen tren Asakusa.

Restoran Sushi-ken Asakusa ni terletak betul betul di hadapan stesen tren Asakusa. Memang kalau guna Google Map tu, boleh sampai terus di depan kedai.

Bagi yang mencari-cari makanan halal Jepun, memang akan nampak dari luar kedai lagi sebab logo Halal yang besar diletakkan di luar kedai.

Restoran ini diiktirah Halal oleh Japan Halal Foundation. Dan yang bestnya, ini merupakan makanan Jepun asli, bukannya makanan Turki, Pakistan apatah lagi makanan Malaysia. Yelah, kita ke Jepun, dah pasti nak merasa keunikan makanan asli Jepun sendiri.

Disebabkan ini merupakan waktu makan tengahari, kedai sedang mempunyai beberapa pelanggan. Menurut waiter, tempat kosong hanya di depan kaunter chef sushi. Wah, memang ini yang ABAH harapkan, makan di hadapan chef yang menyediakan sushi untuk kita.

Chef yang menyediakan sushi ini dipanggil sebagai “itamae”. Memang kerja beliau untuk sediakan sushi sahaja. Makanan selain sushi disediakan tukang masak di dapur yang tidak kelihatan di depan. ABAH order set sushi recommended, Mama order set nasi dan ikan.

Melihat Itamae menyediakan sushi
Set sushi ABAH, maaflah terlalu lapar tak sempat snap gambar penuh

Cara sushi di Jepun dibuat ada sedikit berbeza berbanding sushi yang biasa kita makan di Malaysia (baca: Sushi King). Kalau di Malaysia, kita boleh mencedok sendiri wasabi dan mencampurkannya dengan kicap cair, tapi di sini, itamae sendiri akan meletakkan sedikit wasabi di antara nasi dan ikan. Kita hanya perlu meletakkan sushi ke dalam pinggan berisi kicap dan terus makan (digalakkan makan sebiji terus supaya dapat balancekan rasa wasabi di tengah tu).

Setelah ABAH selesai makan set sushi ABAH, ABAH minta kebenaran orang kedai untuk menunaikan solat Zohor dan Asar. Di restoran ini terdapat ruang solat di tingkat atas restoran, cumanya tiada tempat wudhu disediakan. Kalau nak, perlu ambil wudhu di tandas, tapi kena pandai-pandailah supaya tidak basah lantai tandasnya.

7) Jalan-jalan Cari Snek Jalanan Asakusa

2:00PM: Jalan-jalan Asakusa. Bila perut dah kenyang, kita kembali berjalan sesama keluarga kita sahaja ke sekeliling Sensoji temple. Sepertimana yang ABAH sebut tadi, di sekitar Nakamise street ni, terdapat banyak snek jalanan yang boleh dibeli. Kita dah mencuba kakigori tadi, ABAH dan Mama nak tengok apa lagi yang boleh dimakan. Memang banyak snek, tapi nak mencari yang halal tu satu cabaran.

Makanan pertama yang kita cuba adalah daigaku imo. Ni adalah snek berupa ubi keledek yang dipotong dalam bentuk kiub, digoreng dan disalut dengan salutan gula dan madu yang pekat. ABAH membeli beberapa ketul untuk dicuba, dan ABAH beli beserta kamote (bijan). Terdapat 2 variasi daigaku imo ni, yang digoreng rangup di luar atau yang biasa. Memang masih panas lagi waktu ABAH beli ni.

Daigaku imo

Pendapat ABAH tentang daigaku imo ni? Rasanya ABAH rasa macam kuih keria gula melaka. Yelah, bahannya pun sama, ubi keledek digoreng dan disalut gula. Tapi sedaplah, boleh buat alas perut. Harganya, dalam JPY400 (RM20).

Rangup di luar, lembut di dalam

Snek kedua adalah ningyo yaki. Ningyo yaki ni macam bahulu, dibuat daripada sebatian tepung, telur dan gula yang dimasak di dalam acuan besi. Variasi yang ada kosong atau yang paling common berintikan kacang merah. Versi moden ada coklat, custard dan sebagainya. Yang confirm selamat bagi orang Islam makan adalah yang kosong dan yang berintikan kacang merah. Disebabkan kita di Sensoji, ningyo yaki yang kita makan ni berbentuk pagoda. Ada banyak lagi bentuk seperti burung, rumah dan sebagainya. Tapi kalau bentuknya ikan, dia akan dipanggil taiyaki.

Ningyo yaki berintikan kacang merah

Disebabkan ABAH memang tak gemar sangat kacang merah ataupun bahulu, ABAH rasa biasa je rasa ningyo yaki ni. Tapi ABAH gagahkanlah juga habiskan sekeping sebab nak merasa.

8) Lepak-lepak Tepi Laut Odaiba

Jam 3:00PM, disebabkan ABAH memang kosongkan jadual daripada sebarang aktiviti spesifik, jadi, kita berkeputusan untuk berjalan ke Odaiba.

Dari Sensoji, kita berjalan ke stesen metro Asakusa. Kita menaiki Metro line Ginza yang memakan masa 20 minit ke stesen Shimbashi. Di Shimbashi, kita perlu keluar dan menukar ke line Yurikamome untuk berhenti di stesen Daiba. Jumlah masa perjalanan ke stesen Daiba mengambil hampir 1 jam juga (maklumlah, ada 2 stroller).

Mengenai Odaiba. Odaiba merupakan pulau buatan manusia. Ianya zaman dahulu digunakan sebagai kubu pertahanan kerajaan daripada serangan laut. Namun, selepas zaman perang, semakin banyak tanah digunakan untuk menambahkan saiz pulau buatan itu. Kerajaan kemudiannya memajukan kawasan ini sebagai kawasan pelancongan, hiburan dan shopping yang moden.

Jam 4:00 PM: Perjalanan menaiki tren Yurikamome ni memang menarik sebab kita melalui kawasan pesisir pantai dan pelabuhan sebelum melintas teluk Tokyo menaiki Rainbow Bridge. Sampai je di stesen Daiba, stesen ini bersambung terus dengan Aqua City Odaiba melalui satu laluan pejalan kaki. Aqua City Odaiba ni shopping complex yang besar. Kita pun terus masuk ke dalam Aqua City bagi mendapatkan perlindungan daripada cahaya matahari.

Dari dalam Aqua City, kita turun ke tingkat bawah dan menyeberangi jalan untuk ke pesisir pantai Odaiba Seaside Park. Pantainya berbatu tapi dibentengi juga dengan baik. Ramai juga orang tempatan dan pelancong berada di sini. Kita mencari tempat yang strategik untuk berehat. ABAH ternampak satu kawasan teduh di bawah satu pokok besar, kita melabuhkan punggung di situ untuk minum air dan makan snek onigiri yang kita bawa.

Memang kita tak buat apa-apa di sini selain berehat dan menikmati pemandangan tepi laut berlatar belakangkan jambatan rainbow bridge. Sesekali adalah nampak ikan melompat di permukaan air serta bot pergi dan balik.

Budak ni segar sebab dah tidur dalam stroller

Sejam juga kita melepak di sini. Jam 5:00 PM, kita kembali bergerak pulang ke Shinjuku. Esok insyaAllah kita akan bergerak pula ke Osaka menaiki Shinkansen. Taqi dan tak sabar nak naik Shinkansen sebab selama ni asyik tengok je melalui Youtube.