Trip ke Jepun – Day 3: Menaiki Shinkansen

Hari ketiga (keempat kalau diikutkan hari sampai) mengikut itinerari trip ke Jepun. Sudah dua hari penuh kita meneroka dan menjelajah bandar Tokyo. Boleh baca dalam post-post terdahulu:

Trip ke Jepun: Day 1 dan Trip ke Jepun: Day 2

Hari ini, kita sudah mahu mula beransur daripada Tokyo dan akan bergerak ke bandar kedua kita di Jepun ini: Osaka. Dan pada hari pertama kita di Jepun, sewaktu ABAH redeem JR Pass di stesen JR Shinjuku, ABAH turut menempah tempat duduk Shinkansen dari stesen JR Tokyo ke JR Shin-Osaka pada jam 12:04 tengahari hari ini.

Fahami Geografi Jepun

Sepertimana yang semua dah sedia maklum, negara Jepun merupakan negara kepulauan di lautan Pasifik. Jepun dibahagikan kepada 8 kawasan yang besar: Hokkaido, Kanto, Chubu, Tohoku, Kansai (atau Kinki), Shikoku, Chugoku dan Kyushu. Untuk lebih jelas, boleh rujuk peta di bawah:-

itinerari trip ke jepun
Peta kredit kepada https://web-japan.org/

Kalau dilihatkan dalam peta di atas, Tokyo terletak dalam kawasan Kanto manakala Osaka terletak dalam kawasan Kinki (Kansai). Jarak antara Tokyo dan Osaka adalah melebihi 500km dan untuk sampai ke Osaka dari Tokyo dengan memandu kereta akan mengambil masa lebih 6 jam. Namun, dengan menaiki Shinkansen (bullet train) yang biasa, perjalanan mengambil masa kurang 3 jam sahaja. Efisyen bukan?

Itinerari Trip ke Jepun: Bertolak Ke Tokyo Station

Dari Malaysia lagi, untuk itinerari trip ke Jepun ni, ABAH dan Mama sudah merancang untuk kita ‘travel light’. 2 bagasi pakaian yang dibawa bukanlah bagasi bersaiz paling besar, ianya bagais saiz sederhana dan satu hand luggage kecil. Di samping tu, ada 2 stroller untuk Amir dan Amirah.

Walaupun dah plan ‘travel light’, masih penuh cabaran memikirkan perlu menolak 2 beg besar pakaian bersama 2 stroller di samping perlu pegang tangan Taqi untuk berjalan ke stesen Metro terdekat (Shinjuku sanchome) apatah lagi nak mengangkut stroller menuruni tangga bersama-sama 2 bagasi besar tu.

Jadi, ABAH berkeputusan untuk kita mengambil teksi sahaja dari AirBnB di Shinjuku ke Tokyo Station walaupun menelan air liur mengenangkan harga yang jauh lebih mahal berbanding naik Metro.

Di Jepun, hampir tiada servis ride-sharing atau e-hailing macam Uber dan Grab kerana dilarang oleh kerajaan. Di sini, memang perkhidmatan hantar orang ni dimonopoli oleh syarikat-syarikat teksi. Tetapi, teksi-teksi di sini juga cukup efisien apabila mereka sendiri melancarkan aplikasi untuk buat booking dan reserve teksi.

Untuk mudah book teksi di Jepun ni, boleh install je aplikasi mobile “Japan Taxi”:

Japan Taxi (Android) atau Japan Taxi (Apple). Dicadangkan untuk install dan set up apps ini di Malaysia lagi sebab Apps ni terus linkkan perkhidmatan teksi dengan kad kredit kita, jadi, berkemungkinan memerlukan verification SMS untuk aktifkan perkhidmatan. Tak perlulah nak bayar roaming fee semata-mata nak terima SMS pengaktifan apps kan?

Waktu Check out AirBnB kita di Shinjuku ni adalah pada jam 10 pagi. Jam 9:30 pagi, kita sudah siap mengemas dan bersiap mandi semua. Jam 9:45 pagi, ABAH sudah memanggil teksi menerusi App Japan Taxi tu. Mudah sahaja, dan memang boleh je guna bahasa Inggeris menerusi Apps tu. Macam Grab, hanya perlu letakkan destinasi yang nak dituju dan tekan button booking. Dalam 2-3 minit sahaja, sebuah teksi telah ditempah dan sedang menuju ke AirBnB kita.

Beg-beg dipunggah ke seberang jalan, ABAH memastikan tiada barang tertinggal di AirBnB, semua suis ditutup, pintu dikunci dan kunci dikembalikan ke dalam peti surat berkod. InsyaAllah, semua OK dah ni.

itinerari trip ke jepun
Teksi dah sampai

Sepertimana dalam GPS di Apps Japan Taxi tu, kelihatan dari jauh, teksi yang kita tempah mendekati kawasan menunggu kita. Seorang pemandu berumur lewat 40-an keluar daripada teksi itu dan tunduk kepada kita. Sepertimana kebanyakan orang Jepun yang lain, pemandu ini pun mungkin tidak mahir atau tidak tahu berbahasa Inggeris. Tapi beliau dengan baik hati membantu memasukkan bagasi ke dalam bonet kereta. Taqi duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu dan memakai tali pinggang keledar, ABAH, Mama, Amir dan Amirah duduk di kerusi belakang.

itinerari trip ke jepun

Dari AirBnB Shinjuku ke Tokyo Station mengambil masa hanya 20 minit. Tokyo Station ni pun besar, jadi, ABAH siap-siap bagitahu kepada pemandu teksi yang kita akan menaiki Shinkansen, beliau mengangguk faham dan memang memberhentikan kita betul-betul di pintu masuk Tokyo Station yang betul-betul platform Shinkansen.

Menanti Masa Berlepas

Kita sampai sebenarnya agak awal, iaitu jam 10:30 pagi berbanding waktu dijadualkan berlepas iaitu pada jam 12:04 tengahari. Masa yang ada ni digunakan untuk ABAH dan Mama restock snek makanan dan minuman untuk bekalan hampir 3 jam di dalam Shinkansen nanti.

ABAH mendukung Amir menggunakan SSC Andrea dan memimpin tangan Taqi untuk ke 7-Eleven berdekatan bagi membeli snek-snek yang relevan manakala Mama dan Amirah duduk berehat dan menjaga bagasi-bagasi kita. 7-Eleven yang berdekatan ni boleh tahan jauh juga, adalah dalam 10 minit berjalan baru sampai. ABAH membeli onigiri salmon, susu segar, jus oren dan coklat Meiji sebagai bekalan di dalam Shinkansen nanti.

Amir pula dah terlelap dalam SSC dukungan ABAH tu. Kesian anak ABAH, letih ye. Bagus juga tidur sekarang, nanti boleh enjoy di dalam Shinkansen. Amir kan sangat suka tren.

ABAH berjumpa Mama dan Amirah kembali dan sempat membawa Amir menukar lampin di tempat persalinan lampin berdekatan. Kemudian, kita masuk ke platform untuk menanti tren kita ke stesen Shin-Osaka.

Menaiki Shinkansen

Kita masuk ke dalam platform awal juga, sekitar jam 11:30 pagi. Ada dalam 30 minit lagi sebelum tren kita tiba. Di atas platform itu, ada satu bilik berhawa dingin untuk para penumpang menunggu, disebabkan suhu di luar agak panas. ABAH dan Mama pun bawa semua anak-anak menunggu di dalam bilik tu untuk sejukkan badan.

itinerari trip ke jepun
Bilik menunggu berhawa dingin
Sempat bergambar dengan Shinkansen yang tidak bergerak (ini bukan tren yang kita naiki)

Jam 11:50, tren kita sampai. Hikari 471. Selepas sampai, kelihatan petugas-petugas tren dengan pantas membersihkan tempat duduk dan menukar arah kerusi. Pantas betul pekerja-pekerja ini menjalankan tugas mereka, sebab nak kejar ketepatan masa berlepas. Waktu ni semua dah beratur di hadapan pintu masuk. Kita akan menaiki coach bernombor 12.

Jam 12:00 tengahari, pintu dibuka dan penumpang dipersilakan masuk. ABAH meletakkan bagasi kita di bahagian belakang sekali tempat duduk yang memang untuk meletakkan barangan. Stroller dilipat dan diletakkan bersama-sama bagasi kita.

Tempat duduk yang ABAH tempah ada baris 13, kerusi A,B dan C. Kita terus duduk di tempat yang dah ditempah. Amir dan Amirah menumpang di celah-celah kerusi dan cukup kita berlima kongsi 3 kerusi.

Nak berlepas

Tepat jam 12:03 tengahari, tren berlepas meluncur laju meninggalkan Tokyo. Tren Hikari ni dijadualkan akan berhenti di beberapa stesen: Shinagawa, Shin-Yokohama, Nagoya, Kyoto dan barulah tiba di Shin-Osaka.

Di dalam Shinkansen ni, walaupun tren bergerak laju (laju maksimum mencapai 270km/j), namun, terasa lancar dan tidak terlalu bergegar. Penumpang boleh berjalan di sepanjang gerabak dan di hujung gerabak kita juga ada beberapa tandas (dan boleh berdiri melihat pemandangan luar tren). ABAH pun memang beberapa kali lah melawat tandas sebab Taqi, Amir dan Amirah bergilir-gilir membuang air.

Dari Tokyo sampai ke Nagoya tu ABAH rasa pemandangan biasa je, ada rumah-rumah, bangunan serta kilang-kilang. Tapi pemandangan yang cantik adalah dari Nagoya ke Kyoto, pemandangan sawah padi saujana mata memandang.

Pemandangan yang ABAH sempat ambil antara Nagoya dan Kyoto

Alhamdulillah, jam 3PM, kita tiba di Shin-Osaka. Anak-anak ABAH pun sangat baik dalam tren, sangat seronok naik Shinkansen. Shinkansen pula sangat selesa dan lancar perjalanan, jauh lebih baik berbanding kalau naik kapal terbang.

Seterusnya, jom jelajah Osaka!