Big Tas Tea Reko Sentral

Mama dah ajak ABAH untuk makan di Big Tas Tea Reko Sentral ni sejak seminggu lepas, sejurus selepas restoran ini baru dibuka. Dan memandangkan hari ini, pada sebelah pagi, abah servis kereta, kemudian kita beraktiviti naik bas di Kuala Lumpur, sebelah petang tiada aktiviti lain, jadi, apakata kita makan malam awal di Big Tas Tea Reko Sentral?

Sebenarnya ABAH mengetahui mengenai restoran ini kerana pengusahanya merupakan kenalan ABAH di United Kingdom dahulu, sewaktu ABAH belajar. Taqi panggil beliau uncle Q. Uncle Q sekeluarga agak rapat dengan keluarga kita dan sudah tentu, kita sangat seronok apabila ada kenalan yang menjalankan perniagaan.

Lokasi

Lokasi restoran ini adalah di Kajang, kalau melalui Kajang Silk, boleh terus keluar di exit Jalan Reko. Dari Ampang ni, perjalanan mengambil masa dalam 40 minit pada hari Sabtu, sebab kesesakan lalu lintas di MRR2 nak masuk ke Cheras tu.

Restoran ini terletak berdekatan Econsave Bangi dan memang di kawasan ini terdapat banyak kedai makan Melayu. Memang pusat tumpuan warga Bangi dan Kajang menjamu selera rasanya.

Waktu Operasi Big Tas Tea Reko Sentral

Menurut Facebook restoran ini, restoran beroperasi setiap hari dari jam 3:30 petang sehingga 11:30 malam kecuali pada hari Jumaat, iaitu antara jam 3:00 petang sehingga 11:00 malam. Jadi, memang kurang sesuai kalau nak makan tengahari (sebab terlalu lewat), tetapi sangat sesuai untuk minum petang atau makan malam.

Isnin3:30PM – 11:30PM
Selasa 3:30PM – 11:30PM
Rabu 3:30PM – 11:30PM
Khamis 3:30PM – 11:30PM
Jumaat 3:00PM – 11:00PM
Sabtu 3:30PM – 11:30PM
Ahad 3:30PM – 11:30PM

Tiba di Restoran dan Memesan Makanan

Jam 4:45 petang barulah kita tiba di restoran ini. Parking di sekitar restoran agak padat, namun, disebabkan ini adalah kawasan rumah kedai, terdapat banyak ruang parking di sekitar, cumanya perlu jalan sikit.

Ketika kita tiba, hujan renyai mula membasahi bumi. ABAH cepat-cepat dukung Amir dan Mama pimpina Taqi dan Amirah menyeberangi jalan untuk ke restoran.

Dari jauh, kelihatan restoran agak ramai pengunjung. ABAH dah mula risau takut tak cukup tempat duduk. Mujurlah ada beberapa meja kosong. Kita duduk di sebuah meja 4 kerusi, dan ABAH mengambil satu kerusi tambahan daripada meja sebelah.

Hiasan dalaman restoran ini kelihatan minimalist dan rustic. Mejanya kayu berpetak dengan kaki meja diperbuat daripada besi yang dicat hitam. Kerusinya besi berwarna hitam. Suasananya seperti dalam kafe hipster.

Restoran ini bersifat open air, bermakna, tiada penghawa dingin walaupun duduk di dalam restoran. Namun, terdapat banyak kipas di siling restoran yang menjadikan restoran tidak terlalu panas. Tambahan pula waktu kita tiba ni, hujan mulai mencurah-curah turun dengan lebat, menambahkan kesejukan petang Sabtu ni.

Melihat kita beru tiba dan duduk, pekerja restoran pantas membawakan menu dan membersihkan meja. Konsep order di sini adalah kita perlu menulis kod makanan dan minuman yang nak dibeli pada sehelai kertas, kemudian hanya berikan kertas pesanan itu kepada petugas restoran untuk order kita diproses. Jam 4:50PM, order kita sudah diambil.

Masa Menunggu

Sambil menunggu makanan, ABAH pun berjalan-jalan lah melihat fasiliti di sini.

1) Tandas

Terdapat 2 tandas disediakan untuk pengunjung. Satu tandas duduk dan satu tandas cangkung. Terdapat satu sinki membasuh tangan di luar tandas ini. Tandas kelihatan bersih dan terurus kalau diikutkan jumlah pengunjung yang ada di luar restoran. Cumanya, pemulas flush tandas duduk tu dah putus dan tidak boleh digunakan.

2) Surau

Terdapat juga ruang solat di sebelah tandas itu, jadi pengunjung beragama Islam tiada alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai Muslim dalam kita menjamu selera. Cuma ABAH tak masuk pula untuk lihat bahagian dalaman surau tersebut.

Review Makanan & Minuman

Kita menunggu hampir 25 minit sebelum hidangan pertama tiba. Pasta carbonara untuk anak-anak. Pelik juga sebab makanan sampai dahulu sebelum minuman.

Fettucini Carbonara (RM11.80)

ABAH seperti biasalah, menganalisa dahulu makanan yang sampai. Dari sudut rupa, nampak normal seperti fetucini carbonara di kedai-kedai lain. Dari sudut portion, nampak banyak sikit berbanding Secret Recipe. ABAH ambil garfu dan angkat pasta tu, kepekatan kuah nampak OK, tidaklah terlalu cair dan masih melekat pada pasta. Cebisan-cebisan ayam tu daripada potongan sosej atau salami, itu jelah kekurangan pasta carbonara ini. Kalau isinya potongan ayam yang betul, pasti lebih sedap.

Pasta Chicken Fetucini Carbonara: Rating ABAH (7/10)

Kemudian, barulah minuman yang kita pesan tiba. Tudiaaa, besar sungguh saiznya.

Sebenarnya waktu Mama order, tak perasan pula saiz Godzilla tu. Percaya tak harga permulaan air saiz Godzilla ni hanya RM5.50? ABAH order air Milk Tea Special saiz Godzilla (RM5.50) dan Mama order Green Tea Saiz Godzilla ditambah black pearl (RM5.50+RM1.50). Memang dekat sini signaturenya adalah air saiz Godzilla dan juga bubble tea yang sekarang trending ni.

ABAH menghirup air Milk Tea Special ABAH ni, slurrrpp. Wah, menyegarkan. Rasa teh tu kuat dan tak hilang oleh kemanisan susu. Boleh rasa kewangian daun teh tu. Senang cerita, ABAH lagi suka teh ni banding Tealive.

Signature Milk Tea: Rating ABAH (9/10)

Mama pula minum Green Tea with black pearl ni, menurut Mama, sangat sedap minumannya, seperti ABAH, terasa kewangian tehnya dan tidak terlalu manis. Black pearl dia kenyal dan rasa setanding Tealive. Saiz pearl dia juga konsisten. Terbaik.

Signature Green Tea with Black Pearl: Rating Mama (9/10)

Untuk makan, ABAH memilih untuk makan Lamb Grill. Menu ini berharga RM19.80. Lamb grill ABAH sampai ke atas meja tidak lama kemudian. Kepingan-kepingan daging kambing disalut brown sauce dihidang bersama kentang goreng, broccoli dan carrot rebus dan coleslaw. Daging kambing yang dihidang ini dipotong dengan potongan nipis bersama tulang dan kemudiannya dibakar / digoreng tanpa minyak.

ABAH tak sempat nak ambil gambar makanan ABAH sebab dah kelaparan.

Secara keseluruhannya, dengan harga sebegini, menu kambing ini memuaskan. Namun, adalah lebih baik andai kambing yang dihidang tidak terlalu dibanjiri brown sauce tu sebab macam ABAH, ABAH lebih suka rasa daging kambing berbanding rasa sos yang mendominasi. Mungkin lebih baik andai sos tu dihidangkan berasingan supaya pelanggan ada pilihan untuk makan sos mengikut citarasa.

Grill Lamb: Rating ABAH (6/10)

Makanan yang mama order pula adalah Fetucini with Chicken Grill. Dia sama je macam yang ABAH order untuk Taqi, Amir dan Amirah, tapi ditambah dengan ayam bakar.

Fettucini with Grilled Chicken (RM17.80)

Menurut Mama, ayam bakarnya juicy tetapi dimasak dengan baik sehingga ke tulang. Pastanya sama je dengan rasa pasta anak-anak. Harga menu ini RM17.80.

Fettucini with Grilled Chicken: Rating Mama (8/10)

Alhamdulillah, disebabkan portion makanan dan minuman di sini besar dengan harga yang murah, memang kenyang perut. Namun, perut kita sentiasa mempunyai ruang untuk pencuci mulut.

ABAH order sepotong Californian carrot & walnut cake. ABAH memang suka carrot cake dan kalau ada peluang di mana-mana kafe, memang ABAH akan cuba rasa carrot cake mereka.

Californian Carrot & Walnut Cake (RM10.80)

Menurut pemerhatian awal, kelihatan kek ini generous dari sudut bahan-bahan buat keknya. Potongan kek ini pun besar berbanding kek Secret Recipe. Kelihatan kacang walnut di merata-rata sekitar kek ini dan masih boleh juga kelihatan cebisan carrot di kek ini. Lapisan kek ini diselangi dengan lapisan cream cheese. ABAH mengambil sepotong, rasanya sedap, cumanya rasa kayu manis rasanya kuat sedikit. Kalau kurangkan sedikit kekuatan rasa kayu manis tu dah perfect.

Californian Carrot & Walnut Cake: Rating ABAH (9/10)

Kesimpulan

Secara umumnya, Big Tas Tea Reko Sentral ini merupakan restoran / kafe yang ABAH dan Mama akan datang lagi jika berkesempatan. Kita hanya sempat mencuba beberapa sahaja menu yang ada dan ada banyak lagi menu yang patut dicuba kalau perut mengizinkan.

Menu yang wajib dicuba di sini sudah pasti rangkaian minuman saiz Godzilla serta bubble tea yang berharga murah tetapi cukup puas hati. Makanan secara umumnya pun portion besar dan insyaAllah, dengan bajet sekitar RM60 sekeluarga, memang boleh balik dengan sangat kenyang.

Menu dan Harga Makanan Minuman Big Tas Tea Reko Sentral

ABAH letakkan di sini gambar-gambar menu berserta harga untuk rujukan.