Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19

Pada 16 Mac 2020 (Isnin), kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penyebaran wabak COVID-19 yang semakin bertambah di Malaysia.

Perintah kawalan pergerakan ini akan bermula pada 18 Mac 2020 (Rabu) sehingga 31 Mac 2020. Menerusi perintah ini, sepanjang tempoh perlaksanaan ini, kesemua premis kerajaan dan swasta diarahkan ditutup kecuali beberapa industri kritikal.

Sebenarnya, pada petang di mana poster pengumuman Perdana Menteri disebarkan, ABAH sudah rasa tidak sedap hati dan dapat merasakan bahawa satu tindakan drastik akan dilaksanakan kerajaan. ABAH dan Mama menganggarkan jika betul kerajaan akan melaksanakan ‘lockdown’, sudah pasti ramai akan buat pembelian panik, kedai akan penuh dan barangan akan habis.

perintah kawalan pergerakan

Jadi, selepas Maghrib lagi, walaupun belum pasti apa perutusan khas yang bakal diumukan oleh PM, ABAH sudah pergi ke kedai berdekatan untuk menambah beberapa barangan makanan, terutamanya yang mempunyai shelf life yang tinggi, seperti sardin, pasta, dan makanan dalam tin yang lain. Alhamdulillah, waktu ABAH pergi ke kedai, masih tenang dan tidak ramai orang.

Bekerja dari Rumah

Antara industri yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini merupakan industri berkaitan kewangan. Jadi, adakah Permodalan Nasional Berhad juga dibolehkan beroperasi sepanjang PKP ini? Masih banyak persoalan yang tak jelas. Disebabkan 17 hb Mac masih lagi belum dilaksanakan PKP ini, maka, ABAH akan ke pejabat seperti biasa.

17 Mac 2020. Seperti dijangka, kesemua orang di PNB membincangkan tentang nasib kami sewaktu perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini. Semua masih tidak jelas tentang apa akan berlaku.

Pada jam 3:47 petang, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, En Jalil Rasheed menghantar emel kepada semua staff di mana beliau mengumumkan bahawa kesemua warga PNB akan bekerja dari rumah mulai 18 Mac 2020, kecuali mereka yang diminta bertugas oleh bos mereka. Bos ABAH, Irwan pun mengarahkan kesemua staf Private Markets Division untuk bekerja dari rumah mulai 18 Mac ini. ABAH memaklumkan Mama di rumah mengenai keputusan ini.

Jam 4:50 petang, ABAH berkemas nak balik ke rumah, cuma kali ini, ABAH membawa banyak barang dari pejabat, termasuk set monitor komputer ABAH dengan segala kabel yang berkaitan. ABAH ada beritahu Mama yang ABAH akan bawa pulang monitor, terkejut juga Mama. tempoh 2 minggu bekerja dari rumah ni penting juga untuk cukup selesa dan cukup peralatan bagi membolehkan ABAH bekerja secara efektif di rumah.

Mulai esok ABAH akan bekerja dari rumah. Mari tengok macamana keadaannya nanti!