Nurseri Pokok di Maluri – Cari Pokok Hiasan

Semalam Mama ada menyatakan hasrat untuk mencari pokok-pokok hidup untuk dibuat hiasan di dalam rumah. Asalnya, Mama ajak ABAH untuk pergi ke Sungai Buloh untuk mencari pokok-pokok hiasan ini. Allah, jauhnya! Lalu ABAH memberi alternatif untuk ke nurseri tumbuhan yang berdekatan sahaja. ABAH ada pernah nampak satu nurseri pokok di Maluri, agak besar juga. Jom ke sana!

Nurseri Pokok di Maluri

ABAH pun tidaklah tahu nama nurseri pokok di Maluri ni, semuanya berpandukan ingatan. Jadi, jam 10 pagi, kita bertolak keluar dari rumah menuju ke Maluri. Masuk ke Jalan Jejaka ke arah Aeon Maluri, di sebelah kiri, di bawah pencawang elektrik, terletaknya nurseri pokok yang besar.

Dah nak sampai, baru ternampak papan tanda nurseri ni. Premis ini diberi nama “Taman Bunga Shou Tu”. Bagi yang nak ke sini, peta tempat ini adalah seperti ini:-

Sebenarnya, drop pin atas ni pun macam tak tepat. Nurseri pokok tu terletak di seberang jalan daripada drop pin tu.

Parking nurseri ini luas, di tanah lapang yang terletak hanya di luar pagar nurseri pokok ini. Cuaca hari ini sangat panas dan terik, tapi semua anak-beranak nak juga untuk keluar, sebab anak-anak terutamanya dah lama tak diberi kebebasan keluar. Walaupun masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”), tapi ABAH Mama bagi juga anak-anak keluar memandangkan ini adalah kawasan terbuka. Cumanya kena jaga supaya amalkan penjarakan sosial antara orang-orang dalam nurseri ni.

nurseri pokok di maluri

Mama mencari pokok hiasan

Masuk sahaja ke pagar nurseri pokok ini, mata Mama segera meliar mencari pohon hiasan yang diingini. ABAH pula, membawa Taqi, Amir dan Amirah berjalan-jalan dalam kepanasan ni untuk tengok pokok-pokok yang menarik di sini.

Punyalah banyak pokok di sini, yang paling Taqi, Amir dan Amirah minat adalah pokok-pokok kaktus, mungkin sebab tu yang paling semua anak-anak ABAH tahu. Ni ada video anak-anak cuba pegang kaktus. walaupun awalnya Amir terutamanya takut sakit sebab tajam, tapi ABAH yakinkan yang kalau pegang perlahan-lahan, tidak akan rasa sakit.

Selepas tengok banyak kaktus ni, Taqi mula nyanyi lagu Cactus Gonna Poke, yang Taqi biasa dengar daripada video Badanamu:

Selain kaktus, ada juga anak-anak tengok pokok-pokok bonsai, buluh hiasan, kelapa hiasan dan banyak lagi. Seronok juga sebenarnya, tapi sebab cuaca yang sangat terik dan panas buat semua anak-anak jadi kurang tenang.

Amir pegang pohon bonsai
Cuaca panas sampai susah buka mata
nurseri pokok di maluri
nurseri pokok di maluri
Mama sibuk membeli di latar belakang

Dalam sejam juga kita di sini, akhirnya, Mama telah selesai membeli pokok-pokok dan perkakas menanam yang beliau mahukan. ABAH, Taqi, Amir dan Amirah dah siap-siap masuk ke kereta dari awal sebab cuaca yang terlalu terik dan panas.

Antara perkara yang ABAH kurang berkenan di sini adalah banyak betul anjing-anjing dibiarkan berkeliaran di sekitar nurseri pokok ini. Tapi anjing-anjing ni nampaknya agak jinak dan tidak agresif, cuma ABAH kena sentiasa perhatikan anak-anak supaya tidak memegang anjing-anjing ni atau lebih bahaya, digigit anjing-anjing liar ni.

PKP Bersyarat akan berakhir mulai 10 Jun 2020 (lusa) dan akan digantikan pula dengan PKP Pemulihan sehingga hujung Ogos. Harapnya keadaan menjadi lebih baik dan kita dapat kembali beraktiviti sekeluarga dengan lebih bebas dan lebih banyak pilihan!