PKP2.0 Sekadar Ke Taman Depan Rumah

Waktu ABAH menulis ni, dah lebih sebulan kita terkurung kembali dalam rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan 2.0. Abah kembali bekerja di rumah setiap hari, Taqi kembali bersekolah secara online sepenuhnya dan Amir dan Amirah? Bosan duduk di rumah.

Anak-anak dah Bosan di Rumah

Dah menjadi rutin kita, jam 7 pagi, semua bangun dan bermain apa-apa mainan di ruang tamu atau membaca buku-buku di almari tu. Menjelang jam 8 pagi, ABAH akan sediakan sarapan untuk anak-anak, samada cereal, roti telur atau ABAH akan keluar membelikan bihun goreng untuk anak-anak.

Menjelang tengahari, biasanya sudah mula ada bibit-bibit pergaduhan antara anak-anak. Bermain sudah mula secara kasar, baling-baling barang serta mula menjerit-jerit. Inilah kesan anak-anak tidak keluar rumah langsung. Tenaga anak-anak yang banyak ni tak tahu nak disalurkan ke mana, akhirnya kelihatan anak cranky atau tantrum.

Jadi, hari ini, ABAH dan Mama berkeputusan untuk membawa anak-anak bermain ringkas-ringkas di taman bawah rumah. Bukannya jauh mana, sekadar nak ada ruang cukup besar dan luas untuk anak-anak berlari-lari membuang tenaga.

Taqi akan mula sekolah secara online pada jam 9 pagi. Jadi, perlu untuk gerak awal pagi supaya dapat maksimakan masa di luar rumah sebelum perlu bergegas balik ke rumah sebelum jam 9 pagi.

Jadi, jam 7 pagi, kita sekeluarga dah mula bergegas keluar membawa kereta luncur Taqi, Amir dan Amirah. Kereta dimasukkan ke dalam bonet kereta dan kereta meluncur untuk singgah ke Family Mart untuk kita membeli sarapan yang mudah dan pantas. Seperti biasa, Mama yang akan keluar membeli dan ABAH dan anak-anak akan tunggu di dalam kereta.

Bermain di Taman Permainan

Memang Taqi, Amir dan Amirah bersinar mata melihat padang permainan. Bukannya besar mana, tapi sudah cukup buatkan anak-anak kesayangan ABAH gembira. Diambilnya kereta luncur dan terus berlari semua. Sebelum bermain, ABAH dan Mama suruh semua duduk bawah pokok besar di tengah padang tu untuk makan sarapan yang Mama beli tadi. Untuk ABAH dan Taqi, mama belikan croissant berisi keju dan ayam. Untuk Amirah, Mama belikan roti strawberry. Untuk Amir, Mama belikan sushi dan chicken ball berinti keju. ABAH yang paling berselera makan sebab anak-anak semua kalut nak main dah.

Taqi, Amir dan Amirah berpusing-pusing sekeliling padang (atas laluan joging) menggunakan kereta luncur tu. Lepas dah penat, masing-masing berlari kepada ABAH dan Mama yang duduk di bawah pokok besar di tengah padang tu.

Jam 8:30 pagi, anak-anak dah minta nak balik. Kita masuk kereta dan kembali ke rumah yang hanya terletak sebelah je dari taman ini.

Sabarlah anak-anak ye. Harapnya PKP ni akan berakhir tak lama lagi. Nanti lepas dah boleh berjalan jauh, kita pergi beach ye.