Mandi Kolam a-la PKP

Taqi, Amir dan Amirah dah cukup bosan dah duduk di rumah dan tidak keluar dah lebih daripada sebulan secara berterusan. Dah nampak puas betul baca semua buku dan main semua permainan di rumah kita.

Jadi, ABAH dan Mama pun minta Taqi dan adik-adik untuk telefon Atok dan tanya samada boleh tak nak mandi kolam di rumah Atok. Atok pun dengan mudah membenarkan. Seronok betul Taqi, Amir dan Amirah. Sejak hari Jumaat lagi dah tanya bila nak pergi rumah Atok.

Pergi ke Rumah Atok

Jam 2 petang lagi, semua dah minta untuk pakai pakaian renang.

“Kita nak pergi rumah Atok jam 3 petang la”, ABAH terangkan pada anak-anak. Tapi semua tetap nak bersiap tukar pakaian renang juga, excited betul nak mandi di rumah atok.

Jam 3:15 petang, kita bertolak juga ke rumah Atok, singgah sebentar untuk beli sedikit apam balik untuk minum petang, lalu terus kita ke rumah Atok.

Di rumah Atok, Pak Long terus mengisikan air ke dalam kolam renang yang dah siap ditiup. Hannah (sepupu Taqi, Amir dan Amirah) pun seronok dengan kehadiran 3 beradik ni dan minta untuk tukar kepada pakaian mandi. Seronok 4 kanak-kanak ni main bersama-sama, walaupun kolam tu hanya kecil je pun.

Takut Bunyi Mercun

Hari ini juga merupakan hari Deepavali. Kebetulan pula jiran hadapan rumah Atok ni merupakan bangsa India beragama Hindu. Memang sanak saudara mereka datang dan menyambut perayaan dengan gembira, tapi mematuhi SOP berkaitan COVID-19.

Tapi, keseronokan Taqi, Amir, Amirah dan Hannah mandi dan main di kolam renang terganggu apabila kedengaran bunyi kuat letupan mercun yang dimainkan oleh jiran-jiran yang menyambut Deepavali ni. Berlari dan menangis anak-anak, terutamanya Amir. Nasib baik dah hampir 1 jam 30 minit berendam, lepas dengar bunyi mercun kuat ni, semua dah nak masuk rumah dan taknak berendam lagi.

Kita sekeluarga makan malam awal di rumah atok, sekitar jam 5:30 petang. Lauk sup fungus, sambal tumis, kari ayam dan ikan kembong goreng. Amir makan dengan sangat berselera, Atok Mak seronok betul tengok Amir makan berselera.

Kita bertolak balik rumah sekitar jam 6:15 petang, dengan sebekas sambal tumis Atok dibungkus. Sampai je di rumah, ABAH buat susu untuk semua, dan terus tidur dibuai mimpi. Letih semuanya.

Nanti ada peluang kita pergi ke pantai pulak ye anak-anak. Sabarlah!